KEGELISAHAN masyarakat Islam khususnya di Selangor mengenai masalah tidak dapat berjemaah di masjid dan surau kira-kira tiga bulan 18 hari akhirnya terlerai setelah Sultan Selangor memberikan kebenaran untuk semua institusi rumah ibadat umat Islam itu beroperasi sepenuhnya untuk solat Jumaat dan fardu bermula Jumaat, 3 Julai 2020/ 11 Zulkaedah 1441 Hijrah ini. : KitaReporters
Kenyataan media Sultan Selangor yang membenarkan masjid dan surau di negeri itu beroperasi sepenuhnya dengan SOP ditetapkan mulai Jumaat, 3 Julai 2020. - Kredit foto: Pejabat Diraja Selangor.
Kebenaran ini diberikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah Alhaj melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Diraja Selangor pada Rabu, 1 Julai 2020 setelah baginda diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dato' Indra Dr. Sha'ari Ngadiman serta mendapat pandangan dan nasihat dari Jabatan Mufti Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkitan perkembangan terkini wabak COVID-19 dinegeri ini.
Semua masjid dan surau di Selangor dibenarkan beroperasi sepenuhnya untuk solat Jumaat dan fardu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) setelah tertangguh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Kini Malaysia pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) pemulihan yang bermula daripada 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.
Bagaimanapun jumlah dan bilangan jemaah yang boleh mendirikan solat Jumaat dan fardu pada satu-satu masa bergantung kepada status sesebuah masjid atau surau berkenaan.
Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah Alhaj mahu setiap jemaah sama ada di masjid mahupun di surau mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semasa menunaikan solat Jumaat dan fardu. - Kredit foto: Malaysia Gazette.
Jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan fardu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam (masjid negeri), Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya ditetapkan 1,000 orang tidak termasuk pegawai dan ahlijawatankuasa masjid.
Manakala jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan fardu di semua masjid lain ditetapkan maksimum 500 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid tertakluk kepada kapasiti masjid berkenaan.
Jumlah kehadiran jemaah di surau kebenaran Jumaat bagi mendirikan solat Jumaat dan fardu ditetapkan 40 orang. Manakala kehadiran jemaah bagi surau untuk solat fardu seramai 40 orang.
Jumlah jemaah kedua-dua kategori surau berkenaan tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa.
Masjid Negeri Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam ditetapkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa solat sama ada solat Jumaat mahupun fardu. - Kredit foto: Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Sultan Selangor pada kenyataan itu turut bertitah supaya ibadah penyembelihan korban sempena Hari Raya Aidiladha 1441 Hijrah/2020 Mashi yang jatuh pada 10 Zulhijah 1441; Jumaat ,31 Julai 2020 hanya dilaksanakan di masjid-masjid sahaja.
Bagaimanapun bagi surau-surau yang sudah merancang melakukan ibadah tersebut boleh melaksanakan di masjid-masjid berhampiran.
Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato' Mohamad Munir Bani, segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran secara terperinci berkaitan titah terbaharu Sultan Selangor akan dikeluarkan oleh Pengarah JAIS, Mohd Shahrizan Ahmad serta jawatankuasa-jawatankuasa masjid dan surau berkaitan.
Masjid Tengku Ampuan Jemaah,Bukit Jelutong antara masjid yang diberi kebenaran mengadakan sembahyang jemaah samada solat Jumaat maupun fardu dengan kehadiran maksima 1,000 orang.
Katanya, Sultan Selangor mahu setiap jemaah wajib mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak JAIS khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup mulut dan hidung ketika hadir ke masjid dan surau serta mengamalkan penjarakan sosial.
Bagi mereka yang tidak sihat mereka dilarang solat di masjid dan surau.
Menurut beliau, Sultan Selangor sentiasa mengikuti perkembangan dan pematuhan mengenainya dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan kehadiran jemaah di masjid dan surau di Negeri Selangor.
Katanya, baginda juga mahu jemaah kekalkan displin dan patuhi segala garis panduan ditetapkan. - KitaReporters
Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di Cyberjaya antara masjid di Selangor yang memberi ruang kepada umat Islam bersembahyang Jumaat dan fardu dengan mematuhi SOP disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.