Seni & Sukan 26 Aug, 2021

SMK kembali dalam norma baharu! Kelas PdPR! Artis terpaksa buat 'shooting' sendiri di rumah!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


SITUASI pandemik COVID-19 yang terus  bermaharajalela ketika ini menyebabkan sekolah-sekolah masih belum boleh dibuka demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dek kerana itu pelajar sekolah menengah kebangsaan (SMK) perlu mengadaptasikan pelajaran dengan norma baharu menerusi pengajaran dan pembelajaran dari rumah atau PdPR agar sentiasa #kekaldirumah dan menyesuaikan diri untuk berada jauh dari rakan-rakan sekelas. 

Cabaran-cabaran yang perlu mereka lalui inilah diketengahkan dalam satu penceritaan yang ‘dekat dengan hati’ melalui siri popular kegemaran pelajar, “SMK’ musim ketiga yang kembali di Astro Ceria (saluran 611) mulai 25 Ogos 2021, jam 9 malam, setiap hari Rabu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sekolah menengah



Geng SMK akan membawa penonton menelusuri pengembaraan yang menyeronokkan menerusi pengalaman pembelajaran PdPR dan bagaimana mereka perlu mengatasi cabaran  masing-masing.

Malah rata-rata barisan pelakon muda seperti Wafiy, Erissa Puteri, Mia Sara, Fikry, Rykarl, Aniq, Nabila Razali mahu pun yang lama seperti Emelda Rosmila, Zain Hamid dan pemain komedi, Nizam Jentik-Jentik berpendapat cabaran melakukan penggambaran di rumah satu pengajaran baharu  yang belum pernah dilalui.

“Bayangkan saya kena buat sendiri segalanya dari segi framing kamera, teknik audio, lampu dan sebagainya. Memang sukar apatah lagi apabila ada gangguan suara adik-adik di rumah,” ujar Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 16, dalam temu ramah yang berlangsung secara maya pada sidang media mempromosikan program “SMK’ pada 23 Ogos 2021.



Turut hadir Pengurus Saluran Astro Ceria, Cecilia Wong, pengarah Shamyl Othman dan barisan pelakon lain terbabit.

Pandangan Mia Sara itu bukan sahaja dipersetujui rakan-rakan lain yang hadir malah turut dirasai pelakon seperti Zain Hamid dan Emelda Rosmila yang terpaksa memasang sendiri peralatan penggambaran di rumah selepas menerimanya daripada syarikat produksi Red Communications selaku penerbit.



“Saya siap beli ‘coffee table’ lagi bagi meletakkan alat-alat penggambaran yang perlu dan terpaksa cari sudut yang mudah untuk mendapatkan cahaya semula jadi serta angle terbaik dan paling penting memastikan audio jelas,” cerita Zain Hamid (gambar atas) berhubung pengalaman baharunya itu.



Berlainan dengan isteri kepada pelakon dan pengarah Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosmila yang rasa bertuah kerana ada suami di sisi membantu dan melakukan segalanya.

“Saya rasa seperti diva pulak, selepas siap solek dan segalanya, saya hanya turun ke bawah dan semuanya dan siap disusun untuk shooting,” sambung Emelda yang membahasakan dirinya Mel.

Menurut Mel, pengalaman baharu yang dirasainya itu menyeronokkan dan bersyukur mempunyai suami yang dah pakar dalam selok belok penggambaran malah Adlinlah yang berkomunikssi dengan pengarah apa yang dikehendakinya. 



Kembalinya siri popular kegemaran ramai yang turut mengungguli kategori ‘Best Quarantine-Themed Drama/Feature/Programme’ di Anugerah Content Asia 2020 yang berlangsung pada tahun 2020 lalu ini, turut menampilkan pendatang baharu, Fara Nadiah dan Kiwi Chong bagi mewarnai lagi penceritaannya.

“Kejayaan yang dicetuskan dari dua musim pertama SMK dan SMK Study Squad menjadikan kami begitu teruja untuk menerbitkan naskhah musim ketiga. Ini merupakan tanda penghargaan kami kepada peminat yang selama ini menyokong setia siri ini dan menjadikan SMK rancangan akademik paling banyak ditonton di negara ini,” ujar Cecila Wong.

Menurut beliau, peka dan mengambil berat akan situasi yang perlu dihadapi anak-anak dan ibu bapa khususnya dalam mengharungi cabaran melaksanakan PdPR di kediaman masing-masing, pihak produksi SMK mengangkat topik dan kehidupan norma baharu itu dalam naskhah musim ini.



“Kami zahirkannya dalam suasana yang cukup santai dan sarat dengan elemen komedi,” sambung pengarahnya, Shamyl  Othman sambil memuji kesemua barisan pelakon mampu memberikan komitmen terbaik walau pun pertama kali terlibat dalam penggambaran secara dalam talian bagi menyelesaikan enam episod keseluruhannya.

Sementara itu, Cecila turut mengumumkan penonton yang berada di fasa persekolahan boleh melayari laman sesawang ‘Upped’, kendalian Astro di www.upped.com.my yang mana ia menyediakan bahan-bahan rujukan untuk subjek-subjek utama pembelajaran. 

'Upped’ merupakan portal yang menawarkan akses komplimentari kepada ratusan video pendidikan dan program-program berkaitan dengan silibus sekolah seperti TV Pendidikan, Misi Studi SPM, Pelan A+ SPM dan program menarik STEM seperti Dekoded dan Stemsasi, bertujuan untuk membantu pelajar mengulangkaji pelajaran dengan lebih efektif secara percuma.

Apa pun, untuk maklumat lanjut atau strim program-program pendidikan Astro boleh  layari https://astro.com.mu/HowTo. - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested