Seni & Sukan 27 Aug, 2021

JPKD Penggaram, MPBP edar Jalur Gemilang! Suntik semangat patriotisme sambut hari kemerdekaan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


UNTUK menyemaikan semangat patriotik dan menghayati Hari Kebangsaan Ke-64, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) Penggaram, Johor melancarkan program Lambaian Merdeka 2021 pada 22 Ogos 2021 lalu.

Bagi memeriahkan program berkenaan 100 Jalur Gemilang diedarkan kepada teksi bandar sebanyak 60, lori tunda (20), van jenazah (10) dan masing-masing lima untuk kenderaan berat serta hilux yang berlangsung di Jalan Pejabat, Batu Pahat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kemerdekaan


Pengerusi Kebajikan JPKD Penggaram, Hamidi Mat Tap, berkata mengibarkan Jalur Gemilang menerusi kenderaan bergerak itu diharapkan dapat menyuntik semangat patriotisme cintakan tanah air kepada generasi muda hari ini.

Menurutnya, inisiatif yang dilakukan oleh Pengerusi JPKD Penggaram, Zaidi Japar bersama-sama MPBP adalah suatu yang membanggakan khusus kepada penduduk di Batu Pahat yang tetap bersemangat menyambut hari kemerdekaan negara walaupun dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sekarang.  

Beberapa kenderaan yang menunggu giliran untuk menerima agihan Jalur Gemilang di Jalan Pejabat Batu Pahat.


Katanya, walaupun terkesan dengan PKP yang menyebabkan pergerakan terbatas namun rakyat sepatutnya tidak lupa untuk menghargai jasa mereka yang berjuang mempertahankan negara bagi menuntut kemerdekaan dan perkara itu perlu difahami generasi sekarang.

“Bermula jam 9 pagi, keadaan hujan lebat tidak menghalang kenderaan terbabit untuk beratur di sepanjang Jalan Pejabat bagi menerima Jalur Gemilang yang diedarkan oleh Zaidi, Nona Penggaram dan pegawai dari MPBP.


Zaidi Japar memasang Jalur Gemilang pada sebuah kenderaan.


“Keadaan semakin meriah apabila sesetengah pemandu kenderaan yang dipasang Jalur Gemilang melaungkan jeritn merdeka, manakala Zaidi mengetuai Ahli JPKD Penggaram bersama-sama Nona Penggaram yang diketuai Pengerusinya Suraya Abdul Kahar turut melaungkan merdeka di bangunan utama jalan berkenaan,” kata Mohd Hamidi.


Suraya Abdul Kahar menunjukkan isyarat bagus selepas memasang Jalur Gemilang pada sebuah kenderaan.


Sementara itu, Zaidi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat turut memeriahkan Program Agihan Bubur Asyura anjuran JPKD Penggaram bersempena sambutan 10 Muharam pada Khamis 19 Ogos 2021 lalu.

Sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP bubur Asyura itu dimasak tiga lokasi yang berbeza membabitkan 20 petugas untuk setiap tempat iaitu di Kampung Parit Bilal, Parit Besar dan Taman Bukit Perdana di Batu Pahat.

Mohd Hamidi yang juga Pengerusi Teraju Kebajikan UMNO bahagian itu, berkata Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad turut menyumbangkan peruntukan bagi membolehkan 20 periuk besar bubur Asyura dimasak sekali gus menghasilkan 5,000 bekas untuk diagihkan.


Zaidi turun padang mengacau bubur Asyura pada Program Agihan Bubur Asyura bersempena Sambutan 10 Muharam di tiga lokasi berasingan.


Menurut beliau, bubur Asyura itu diagihkan kepada barisan hadapan pandemik Covid-19, petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Jubli Intan, kakitangan kerajaan, agensi swasta seperti bank dan kepada penduduk kampung dalam 38 cawangan UMNO DUN Penggaram.

“Diharapkan agihan bubur Asyura itu akan membawa keberkatan apabila turut menjadi juadah kepada penduduk kampung yang berpuasa pada hari itu dan mereka yang terkesan dengan PKP pandemik Covid-19. 

“Aktiviti gotong-royong memasak bubur Asyura ini memang sudah lama menjadi program tahunan JPKD Penggaram bagaimanapun sejak tahun lalu terpaksa dilakukan dalam norma baharu pandemik Covid-19 yang mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuklah Nona Penggaram, Puteri UMNO Bahagian Batu Pahat dan Pas Kawasan Batu Pahat,” katanya. - KitaReporters


Zaidi menyerahkan bubur Asyura kepada salah seorang wakil barisan hadapan pandemik Covid-19.

14
0
0
0
0
You will be interested