Seni & Sukan 30 May, 2022

Drama Lockdown 2 kisah benar! Bagi buka mata masyarakat! Pengorbanan frontliners selamatkan negara!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


DRAMA bersiri ‘Lockdown 2’ yakni terbitan U2 Media Sdn Bhd memaparkan kisah masyarakat yang terpaksa menempuhi cabaran-cabaran selepas negara dilanda wabak Covid-19 dan impaknya terhadap kehidupan setiap manusia

Drama terkini keluaran Astro Ria ini, menurut kenyataan media pada 30 Mei 2022, merupakan kesinambungan daripada musim pertama yang mengimbau kembali kesusahan serta pengorbanan barisan ‘Frontliners’ dalam usaha menghentikan penularan wabak ini.

Penceritaan menerusi 20 episod ini mengisahkan kehidupan empat buah keluarga dalam menghadapi impak Covid-19 sepanjang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam situasi yang berbeza. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan drama bersiri




Cerita pertama mengisahkan Kak Sal yang perlu menghadapi cabaran disebabkan kerenah anak-anaknya yang sentiasa tidak mendengar kata sepanjang pandemik berlaku serta keadaan ibunya yang sudah larut usia.  

Penceritaan drama ini disambung pula dengan kisah pengorbanan sebuah pasangan suami isteri, Fitrah dan Ramadhan yang bertugas sebagai frontliner ketika pandemik. 

Dengan peningkatan kes-kes Covid-19, Fitrah dan Ramadhan perlu menghadapi cabaran apabila kesemua hospital penuh dengan pesakit-pesakit yang dijangkiti, termasuklah ibu bapa Fitrah sendiri. Keadaan menjadi lebih serius apabila Fitrah yang juga sedang hamil dijangkiti wabak ini sehingga meragut nyawanya. 




Kisah seterusnya berkisar tentang Radhi, seorang peniaga yang mementingkan diri hanya untuk keuntungan dirinya sendiri. 

Radhi telah dijangkiti  Covid-19 tetapi dia mengelak daripada memberitahu orang sekelilingnya. Malah, dia masih pergi ke pasar malam untuk berniaga dan berjumpa dengan ‘Reseller’. 

Oleh kerana sikapnya yang tidak bertanggungjawab, rakan seniaganya, Kamarul juga dijangkiti wabak ini. Kamarul menjaga SOP dengan ketat walaupun berkuarantin di rumah kerana tidak mahu berjauhan dengan isterinya yang sarat mengandung. 

Namun, takdir tidak dapat diubah apabila ia akhirnya membawa kematian kepada isterinya yang bakal melahirkan anak mereka dalam masa dua minggu lagi.



Drama yang penuh dengan pengisian kisah benar ini mengangkat nama-nama barisan pelakon yang hebat seperti Janna Nick sebagai Lola, Rozita Che Wan sebagai Kak Sal, Shera Aiyob sebagai Fitrah, Zahiril Adzim sebagai Ramadhan dan Amerul Affendi sebagai Kamarul yang mampu membuka mata masyarakat tentang usaha pihak frontliners kita yang sudah bersusah-payah menyelamatkan negara.  

Menurut kenyataan itu lagi, drama ‘Lockdown 2’ ini merupakan arahan sutradara yang berbakat besar, Izuan Mokhtar dan turut didukung oleh barisan pelakon hebat seperti Mimi Ernida, Wan Maimunah, Dini Schatzmann, Zulaika Zary dan Sabhi Saddi

Drama ‘Lockdown 2’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin, jam 11.00 malam bermula 6 Jun 2022 secara eksklusif dalam saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel. - KitaReporters


Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Ria

"Selepas negara kita dilanda wabak Covid-19, pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat kita. Sebagai sebuah platform yang ditontoni semua, kami ingin membawa kandungan yang mampu membuka mata semua rakyat tentang isu-isu yang dihadapi bukan sahaja kepada sebuah keluarga, tetapi juga kepada mereka yang berada di barisan hadapan yang menjaga keselamatan kita semua. 

Penceritaan drama ini diambil daripada kisah benar yang berlaku kepada masyarakat kita. Menerusi drama ini, kami berharap agar para penonton menghargai pengorbanan-pengorbanan mereka yang penat lelah mengawal penularan wabak Covid-19. Malah tatkala kita berada di rumah bagi menghentikan penularan wabak ini, ada yang masih berjuang untuk terus hidup. 

Selain itu, drama ini memaparkan situasi-situasi yang berbeza dengan memberi penekanan terhadap setiap pihak yang mengharungi pandemik ini. Ada yang berjuang untuk keselamatan keluarga, ada yang hilang punca mata pencarian, ada juga yang terkesan dengan kehilangan ahli keluarga dan sebagainya. 

Keaslian yang ditunjukkan oleh pengarah serta penerbit harus diberikan pujian kerana mampu membangkitkan rasa tanggungjawab dan rasa cinta terhadap negara serta masyarakat di kalangan penonton. Inilah antara mesej yang kami ingin terapkan dalam drama ini. 

Kisah yang menarik hati inilah yang kami ingin jadikan paparan untuk para penonton di platform kami. Dengan penceritaannya yang penuh dengan nilai-nilai murni, kami berharap agar para penonton lebih menyedari akan usaha-usaha yang dimainkan oleh pelbagai pihak untuk keselamatan dan keharmonian negara kita."


Izuan Moktar, Pengarah Drama ‘Lockdown 2’

"Dalam negara dilanda wabak Covid-19 pada akhir tahun 2019, ramai orang terkesan dengan impak-impaknya sehingga meragut nyawa orang yang tersayang. 

Penerbitan drama ini adalah salah satu usaha saya untuk membuat negara sedar akan pengorbanan-pengorbanan mereka yang telah terkesan dan juga mereka yang bersusah-payah ingin menghentikan penularannya. 

Antara cabaran dalam menghasilkan drama ini adalah apabila saya dan ahli produksi bekerja di dalam keadaan pandemik. 

Kami semua perlu patuhi pelbagai prosedur sehingga membuatkan kerja-kerja kami di dalam kawalan yang ketat dan terhad. Namun, saya sangat bersyukur kerana sepanjang kami bekerja, tiada seorang pun yang dijangkiti wabak merbahaya ini sehingga selesai penggambaran.

Selain itu, saya juga bersyukur apabila dapat bekerja dengan semua pelakon yang hebat. Penceritaan drama ini sangat serius tetapi mereka semua memberi komitmen yang penuh dan menghidupkan setiap watak yang diberi dengan baik, lantas ia lebih memudahkan perjalanan penggambaran drama ini. 

Penceritaan ‘Lockdown 2’ juga adalah berbeza dengan ‘Lockdown 1’ kerana untuk episod-episod kali ini, kami bukan sahaja menonjolkan apa yang masyarakat kita telah lalui di sepanjang lockdown, malah kami juga menceritakan pengorbanan setiap frontliners yang terpaksa dihadapi ketika waktu-waktu getir. Oleh itu, penceritaannya kali ini penuh dengan pengajaran

Saya juga banyak mengetengahkan setiap perkara yang disarankan oleh kerajaan kita pada rakyat Malaysia agar rakyat Malaysia lebih sedar bahawa semua yang disarankan sebenarnya banyak kebaikannya kepada kita. 

Drama ini diharap dapat memberi kesedaran kepada semua bahawa dalam negara kita sedang pulih, banyak pengorbanan yang kita tidak mengetahuhi. 

Saya sarankan agar semua yang tonton drama ini untuk patuhlah dengan segala SOP yang telah ditetapkan walaupun kita sudah berganjak ke fasa endemik kerana nyawa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. 

Banyak yang saya pelajari daripada bekerja dalam keadaan pandemik ini kerana kita terpaksa bekerja dalam skala yang kecil dan terhad demi mengelakkan diri daripada dijangkiti wabak ini. Jadi, saya berharap penonton juga dapat belajar untuk menyesuaikan diri dengan menjadi lebih berdisiplin serta sentiasa mengambil berat terhadap orang sekeliling kita. 

Marilah kita bersama-sama membantu frontliners menghentikan penularan wabak ini supaya negara dapat pulih seperti sebelum ini."


11
13
0
11
0
You will be interested