Seni & Sukan 01 Nov, 2021

Keliru! Pening! PSM lawan PSM 2.0! 2 tekong rebut 1 regu? Akram, Markiman libas-melibas hujah!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

PSM melangsungkan EGM pada 30 Oktober 2021 dengan 12 ahli gabungannya termasuk lapan yang pernah mengumumkan penarikan diri keluar. 


PERSEKUTUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) baru dibentuk oleh Selangor, Putrajaya, Sarawak dan Perlis pada 29 Oktober 2021. 


ANTARA Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), siapa yang lebih berhak mentadbir perjalanan dan pembangunan sepak takraw negara sekarang?

Yang pertama mendakwa mahu meneruskan tradisi dan legasi sukan ciptaan bangsa Melayu ini sejak penubuhannya pada 25 Jun 1960 dengan nama asal, Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu (PSRPTM) dan yang terbaharu pula cuba memperjuangkan pentadbiran yang lebih beramanah dan berintegriti kerana telah hilang kepercayaan kepada kepemimpinan sedia ada.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sepak takraw

SIAPA berhak menjadi 'tekong' antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia atau Persekutuan Sepak Takraw Malaysia? - Kredit foto: KC


Konflik ini tampak bakal berpanjangan selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PSM asal pada 30 Oktober 2021 tetap dilangsungkan tanpa pembabitan tiga ahli gabungan yang cuba menubuhkan Persekutuan atau digelar 'PSM 2.0'.

Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSNS) dikatakan tidak diundang menyertai EGM di sebuah hotel di ibu kota itu.

Persatuan Sepak Takraw Negeri Perlis (PSNPs) turut menyokong penubuhan Persekutuan memandangkan statusnya sebagai ahli gabungan PSM dibatalkan pada 16 Oktober 2018 yang didakwanya dijalankan tanpa alasan dan prosedur yang adil, betul dan berwibawa.

Diketuai Presiden PSS, Datuk Markiman Kobiran, dokumen pendaftaran Persekutuan sudah diserahkan kepada Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan, Hatta Mohd. Yasin di Bukit Jalil pada 29 Oktober 2021.


AKRAMUDDIN Aziz (dua dari kiri) memangku jawatan Presiden PSM selain masih menjadi Timbalan Presiden persatuan itu sejak 13 September 2014. - Kredit foto: PSM


MARKIMAN Kobiran (tiga dari kanan) menyerahkan dokumen pendaftaran Persekutuan Sepak Takraw Malaysia kepada Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan, Hatta Mohd. Yasin di Bukit Jalil. - Kredit foto: SASA


“(Tindakan) ini amat mengelirukan. Kami panggil mereka bersama, mereka tidak mahu. Kenapa hendak tubuhkan badan induk lain?

“Satu kapal dua nakhoda, jalan mana harus dituju sedangkan sepak takraw ini permainannya di mana-mana pun timang bola tiga kali,” kata Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Aziz selepas EGM tersebut.


ASTAF telah menyingkirkan PSM sekali gus menggugat penyertaan skuad negara pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand pada Julai 2022. 


Tanggal 20 Mei 2021 merupakan detik hitam yang telah mencemarkan imej, maruah dan martabat sukan sepak takraw negara pada mata dunia apabila PSM disingkirkan daripada menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).


MARKIMAN KOBIRAN

AKRAMUDDIN AZIZ


Kata Markiman dalam siaran media 29 Oktober 2021: “Sudah pasti Astaf mahukan satu kepemimpinan dan badan induk kebangsaan baharu yang lebih bersih, amanah, telus dan berintergriti untuk diterima kembali sebagai kerabat Astaf.

“Justeru kami dan beberapa negeri lagi mengusulkan satu permohonan baru kepada Pesuruhjaya Sukan untuk menubuhkan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi menggantikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang sudah disingkirkan oleh Astaf dan tidak lagi relevan dengan fungsinya,” kata bekas Naib Presiden PSM ini.

Kumpulan empat persatuan ini katanya, turut akan menghantar sesalinan dokumen pendaftaran Jawatankuasa Penaja penubuhan Persekutuan kepada Astaf sebagai membuktikan kesungguhan tinggi mereka untuk membina semula keyakinan badan induk Asia itu menerima kembali Malaysia sebagai ahli gabungannya.

Mendakwa tidak diundang bersama-sama Pestap dan PSNS menyertai EGM, PSS juga mengeluarkan satu notis guaman pada 27 Oktober 2021 yang menuntut PSM membatalkan mesyuarat 30 Oktober 2021 itu atau berdepan tindakan undang-undang daripadanya di mahkamah.   

PSM selain itu menerusi EGM itu, turut mengubah draf pindaan asal yang pernah dipersetujui dengan Pesuruhjaya Sukan dan 'Kumpulan Markiman' itu antaranya membenarkan pemegang jawatan kanan peringkat ahli gabungan, dicalonkan bagi pemilihan pucuk pimpinan PSM biarpun belum cukup sepenggal di negeri-negeri.

Tidak adil kata Akramuddin untuk mengetepikan langsung jika ada pemimpin sepak takraw peringkat negeri yang didapati berwibawa bagi dicalonkan sebagai sama ada Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden mahupun dilantik menjadi Setiausaha Agung dan Bendahari PSM pula. 

“Kami tidak sisihkan malah tetap akan undang empat negeri itu (Selangor, Putrajaya, Sarawak dan Perlis) menyertai liga kebangsaan yang dijangka pada Disember 2021 atau Januari 2022 melalui majlis sukan masing-masing,” katanya yang juga Timbalan Presiden PSM.


PERSEDIAAN skuad negara ke Sukan SEA Hanoi, Mei 2022 dikhuatiri terjejas dengan kemelut PSM-PSM 2.0 ini. - Kredit foto: KC


AKSI liga kebangsaan dijamin PSM akan tetap disertai Selangor, Putrajaya, Sarawak dan Perlis. - Kredit foto: PSM


Sebanyak 51 perwakilan menghadiri EGM itu manakala bagi Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka) dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan (PSWPL) diadakan secara dalam talian.

Ahli-ahli gabungan yang kini bersama PSM ialah Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam), Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (Pesenang),  Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip) dan PSWPL.

Mereka termasuk lapan yang pernah mengumumkan penarikan diri keluar sejak 9 Mei 2021 hingga 11 Jun 2021 iaitu Gabungan Sepak Takraw Kelantan, Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Astaka dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP).  

"Kami juga meminda pengundian pada pemilihan akan datang, daripada angkat tangan kepada secara sulit," kata Akramuddin yang juga Presiden Pastam. 

Mandat pucuk pimpinan PSM sekarang ialah 2018 hingga 2021, namun Akramuddin mengandaikan pemilihan baharu mampu diadakan secepat mungkin yang tidak akan lewat dari Jun 2022.


PUCUK PIMPINAN PSM 2018-2021

Pemangku Presiden: Datuk Akramuddin Ab. Aziz (Melaka)

Timbalan Presiden: Datuk Akramuddin Ab. Aziz (Melaka)

Naib Presiden: Datuk Abdul Halim Suleiman (Johor), Datuk Awang Sham Amit (Sabah), Datuk Mohd. Sumali Reduan (Kuala Lumpur) dan Datuk Abd. Jalil Ariffin (Pulau Pinang)*

Setiausaha Agung: Datuk Abidullah Salleh (Melaka)*

Bendahari: Datuk Paruwadi Musa (Sarawak)* 

* Penyandangnya dilantik 


'SERVIS' atau khidmat tadbir urus sepak takraw negara siapa yang paling berjaya, berwibawa dan berintegriti antara Persatuan atau Persekutuan Sepak Takraw Malaysia?. - Kredit foto: AB

12
12
0
13
0
You will be interested