SERAMAI 22 pelajar dan tenaga pengajar Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) Tengku Ampuan Besar Meriam, Kampung Pulau Keladi di Pekan, Pahang melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menenun selendang Tenun Pahang Diraja sepanjang 22 meter selama 22 jam.
Tugasan itu dilaksanakan sebagai gimik sempena majlis perasmian Festival Kraf Tekstil Pantai Timur 2022 pada pada Sabtu, 19 Februari 2022 lalu di kompleks beli-belah East Coast Mall, Kuantan, Pahang.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan hasil kraf tangan
Festival yang berlangsung selama 10 hari bermula pada 17 hingga 26 Februari 2022 itu melibatkan 60 lot usahawan kraf seluruh Pantai Timur yang mengetengahkan pelbagai bidang kraf dan seni warisan seperti tekstil, kayu, logam dan hasil rimba.
Menurut Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang, Juhari Azmi, beliau berbangga apabila para pelajar dan tenaga pengajar IKTPD berjaya menyiapkan selendang Tenun Pahang Diraja bercorak tradisional yang dikenali sebagai Corak Orang Kenamaan dalam tempoh masa yang singkat.
“Bukan mudah untuk menyiapkan kain Tenun Pahang Diraja yang dibuat secara tradisional tanpa menggunakan mesin namun mereka berjaya merealisasikannya.
“Saya sendiri mencetuskan idea tersebut memandang IKTPD kini mempunyai pelajar seramai 22 orang dan kena pada tahun 2022,” katanya kepada KitaReporters.
Umum mengetahui bahawa proses menenun tradisional bukan perkara yang mudah dan mengambil masa yang agak lama bagi menjaga keunikkan seni warisan fabrik Tenun Pahang Diraja itu sendiri.
Sementara itu, berkongsi pandangan daripada Pegawai Bengkel Tenun Pahang Diraja Penjara Penor, Inspektor Penjara Naddzrey Hi Fi Syam Ahmad Jamil berkata, kebiasaannya penenun tradisional ‘handmade’ hanya mampu menghasilkan kira-kira lima inci kain dalam tempoh sehari bekerja iaitu lapan jam.
"Kadangkala masa menghasilkannya bergantung pada jenis reka corak kain tenun yang akan dihasilkan kerana setiap kain Tenun Pahang Diraja adalah berbeza motif, teknik dan warna.
"Namun, kebiasaannya tenun tangan ini mampu menghasilkan lima inci sehari,” katanya. - KitaReporters
Pameran hasil daripada fabrik Tenun Pahang Diraja oleh pelajar IKTPD Tengku Ampuan Besar Meriam di Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada Festival Kraf Tekstil Pantai Timur 2022.