Seni & Sukan 23 Apr, 2022

Video| Gara-gara sering dipanggil Kapten Mukhriz! Raja Afiq mahu watak antagonis! Nak cabar diri!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


PELAKON muda, Raja Afiq, 27, mengakui masih dipanggil peminat dengan nama Kapten Mukhriz walaupun drama bersiri 23 episod, ’Sayangku Kapten Mukriz’ sudah lama ditayangkan pada 2016 arahan Idora Abdul Rahman.

“Sebilangan besar daripada peminat masih memanggil saya dengan nama Kapten Mukhriz apabila bertemu ataupun melayankan mesej dalam platform Instagram,” ujar Raja Afiq atau nama sepenuhnya, Raja Muhammad Afiq Raja Razali ketika ditemui pada majlis pengumuman program Raya Awesome TV di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Esekutif Awesome TV, Dato Adam Ilyas; Pengarah Urusan Awesome TV, Johan Ishak; Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzil; pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi; dan penyanyi Dato DJ Dave.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Awesome TV

Dari kiri: DJ Dave, Johan Ishak, Adam Ilyas, Ezzan Zalilah dan Pak Nil.


Berkongsi lanjut, Raja Afiq  memberitahu beliau tidak menolak sekiranya diberikan tawaran untuk terus berlakon watak sama andai kata ada  kesinambungan drama tersebut kelak.

Pun begitu, pelakon yang dicungkil bakatnya melalui Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) pada 2014 ini melahirkan harapan dapat melakonkan watak antagonis bagi mencabar dirinya yang sering dilihat mampu berlakon watak romantis sahaja sesuai dengan wajahnya yang kacak dan ‘jambu'. kata orang.

“Saya impikan watak antagonis agar tidak dilihat hanya sesuai dengan watak seperti Kapten Mukhriz tetapi mahu melihat reaksi peminat jika berlakon yang di luar daripada kemampuan kebiasaannya. 

"Saya mahu dilihat sebagai seorang pelakon versatil," tambah Raja Afiq yang turut  berminat  untuk berlakon dalam cerita bergenre aksi malah akan menjadikan pelakon senior, Zul Ariffin dan Aaron Aziz sebagai contoh terbaik sebagai seorang pelakon filem aksi. 

Terbaharu, suami kepada penyanyi ‘Suara Viral’, Soffwany Yusoff, 31, ini bakal muncul dalam slot ‘Ohsem Tele’ dengan sebuah telefilem berjudul ‘Syurga Nur Muhammad’ yang diterajui bersama Puteri Sarah, Danish Hazriq, Badrul Muhayat dan Lan Siro.



Raja Afiq bersama isterinya, Soffwany.


 'Sementara itu, bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV meneruskan kesinambungan sajian kandungan menarik sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak dengan menghimpunkan lebih 150 buah pengisian istimewa menerusi kempen ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat Dengan-Nya’ sempena musim perayaan secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) mulai 2 Mei ini.

Memberitahu demikian, Ezzan Zalilah Zulfadzli  berkata, ‘Bagi meraikan semangat hari lebaran menerusi kempen ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat Dengan-Nya’, Awesome TV menjanjikan kandungan yang cukup komprehensif sepanjang Syawal sebagai tanda penghargaan demi menambat hati para penonton yang tidak henti-henti menghulurkan sokongan sejak hari pertama ia beroperasi sehingga kini”.

Menurut Ezzan, musim perayaan adalah masa terbaik untuk  meluangkan masa berkumpul di samping keluarga tercinta dan sahabat handai sambil menonton pelbagai aneka program menarik di televisyen yang sudah menjadi aktiviti wajib untuk dibuat bersama-sama.



Antara barisan artis lain yang hadir di majlis program Raya Awesome TV.


“Pengisian Syawal Awesome TV bakal dirancakkan dengan himpunan lebih 150 program istimewa yang disusun tanpa henti merangkumi pelbagai genre seperti kandungan hiburan berbentuk ‘spin-off’, variasi, muzikal, sketsa, komedi, telefilem, drama bersiri, koleksi filem terlaris tempatan dan antarabangsa termasuklah filem-filem Bollywood, naskhah klasik malar segar serta banyak lagi,” ujar Ezzan. 

Sebagai langkah awal menghidupkan suasana malam raya, Awesome TV bakal mempersembahkan ‘Konsert Mic On! Raya’ yang dijadualkan untuk bersiaran pada jam 8.30 malam dengan penampilan istimewa Mas Idayu, Black, Tomok, Ajak Shiro, Ropie serta peserta program ‘Mic On!’ musim pertama dan kedua. 

Telefilem hebat ‘Takbir Semalam’ lakonan mantap Fauziah Nawi, Syafie Naswip, Syazwan Zulkifly, Wan Sharmila dan Siti Hariesa pula bakal menyusul pada jam 10.30 malam yang pastinya akan meruntun jiwa.

Pendek kata banyak lagi yang ‘ohsem’ bakal memenuhi waktu luang penonton dan untuk mengetahui apakah rancangan-rancangan lain yang disediakan boleh layari www.awesometv.my. - KitaReporters


14
16
0
6
0
You will be interested