Seni & Sukan 25 Dec, 2021

Video| Tentang rasa: Single terbaharu Yuka Kharisma! Kembalikan momen romantis bersama suami!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


NEGARA tumpah darahnya ialah di seberang di Aceh, Indonesia, namun jodoh penyanyi Yuka Kharisma, 34, ditakdirkan dengan jejaka dari Tanah Melayu, seorang yang turut berjiwa seni iaitu pemuzik Ahmad Jeffny Kamar, 36, lebih lima tahun lalu.

Tampil dengan single terbaharunya di bawah naungan Rocketfuel Entertainment berjudul 'Tentang Rasa', Yuka cukup teruja memandangkan lagu tersebut turut mendapat sentuhan suaminya sendiri sebagai pencipta bersama.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan single terbaharu

Yuka bersama suami tercinta, Ahmad Jeffny Kamar.


Menurut Yuka, lagu 'Tentang Rasa' telah diilhamkan beberapa tahun lalu dan ketika itu, beliau masih lagi belum berstatus seorang isteri dan sedang mencari-cari arah seterusnya dalam kerjaya seninya sehinggalah pintu hatinya diketuk.

“Lagu ini sudah lama saya ciptakan, bahkan sebelum saya menikah lagi. Saya sangat suka dengan lirik dan melodinya yang sangat ringkas, romantik ibarat sebuah rasa cinta yang tulus dan murni tanpa ada maksud tersembunyi, hanya menyayangi dengan sepenuh hati.

Tentang Rasa menceritakan tentang perasaan kepada seseorang yang sangat murni, jujur, dan tulus. Sepasang kekasih tersebut saling mengisi serta  melengkapi satu sama lain.

“Saya temui kebahagiaan sebenar apabila mendirikan rumah tangga dengan orang Malaysia, indah bukan aturan jalan Sang Pencipta,” ulasnya memberikan bayangan barangkali lagu itu menceritakan perihal dirinya sendiri.



Perjalanan seni Yuka ibarat bahtera melayari samudera yang berombak dan ada pasang surutnya. 

Pelayaran seninya dari tanah seberang ke pesisir Malaysia bermula sebagai peserta separuh akhir Indonesian Idol musim ke-5 sehinggalah berlabuh di Malaysia pada tahun 2008

“Banyak yang telah saya lalui sepanjang bergelar anak seni. Perjalanan saya bukannya mudah, di tambah pula dengan keadaan berjauhan dari keluarga tercinta terutamanya ibu yang berada di Bandung, Indonesia, kadang-kadang memeritkan,” ujar Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) ke-15 ini.

Meskipun begitu kata Yuna, kini beliau menganggap Malaysia ibarat separuh jantungnya, sebuah negara yang penuh nostalgia.



“Di sinilah tempat saya mengejar impian, cinta dan cita-cita.  Kalau dulu Malaysia seperti rumah kedua, namun jujur saat ini Malaysia adalah rumah pertama saya. Saya menyukai Malaysia kerana di sinilah saya temukan matlamat hidup yang sebenarnya,” tambah Yuka.

Sambil berharap single ‘Tentang Rasa’ dapat menghadirkan suasana romantis kepada sesiapa pun yang mendengarnya serta membawa nama Yuka Kharisma lebih kuat dan dikenali.

Tambah Yuka, jika di dengar ‘Tentang Rasa’ punyai melodi ‘tenang’ dengan alunan gitar akustik yang mengasyikkan lantas menggamit memori indah masa-masa bersama  dan dikategorikan dalam genre ‘folk’ malar segar.



“Saya memperuntukkan tempoh seminggu bagi menyiapkan lagu ini dan terima kasih buat sang suami, Ahmad Jeffny yang banyak membantu dan turut bertindak sebagai penulis lirik dan komposer bersama.

“Sepanjang proses rakaman berlangsung, saya tersenyum ketika menyanyikannya kerana ia membawa kembali memori manis masa-masa nak menikah dulu,” kongi Yuka dalam nada gembira.

Sementara itu, Ketua Label & Penerbitan, Rocketfuel Entertainment, Jipie, menyifatkan sebagai penyanyi, Yuka mempunyai tona vokal istimewa yang jarang didengari dan sedap didengar malah karya-karya bersama suami ada kualiti yang tersendiri.

“Semoga ‘Tentang Rasa’ mampu melonjakkan lagi nama Yuka Kharisma dan terus mendapat tempat di hati pendengar muzik tempatan,” harapan Jipie. - KitaReporters


21
12
0
9
0
You will be interested