Seni & Sukan 07 Oct, 2021

Video| Jaring 2 gol sendiri konon untuk gagalkan bookie! Rupanya turut sama atur perlawanan!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


Pemain bola sepak Ghana, Hashmin Musah pernah dijulang sebagai hero kerana menjaringkan dua gol sendiri bagi membantu pasukan lawan, Ashantigold mengalahkan kelab diwakilinya, Inter Allies FC 7-0 dalam aksi Liga Ghana, pada 17 Julai, 2021 lalu tapi kini berdepan kemungkinan digantung seumur hidup atas dakwaan dia juga mengatur perlawanan!

Hashmin, 24, mengejutkan bola sepak Ghana apabila bertindak menjaringkan dua gol sendiri secara sengaja selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada ketika pasukannya sedang ketinggalan 0-5 kepada Ashantigold.

Namun, Hashmin kemudian menerima pujian atas tindakannya itu serta dianggap wira apabila dia mendedahkan beraksi ‘luar kewarasan’ semata-mata mahu menggagalkan rancangan pengatur perlawanan (bookie).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak

HASHMIN MUSAH


Menurut Hashmin, sebelum perlawanan, dia mendapat maklumat bahawa ada pemain dalam pasukannya yang menjual perlawanan itu agar mereka kalah 1-5.  Justeru, dia yang ketika itu berada di bangku simpanan meminta kepada jurulatih agar dimasukkan dengan misi menggagalkan rancangan berkenaan.

Hashmin dimasukkan pada minit ke-47, ketika Inter Allies sudah ketinggalan 0-5 dan dia mendakwa 'menggagalkan rancangan jual perlawanan itu dengan menjaringkan dua gol sendiri pada minit ke-78 dan 82 sebelum dikeluarkan pada minit ke-83 menjadikan kedudukan Ashantigold 7 Inter Allies 0. 


Hashmin menjaringkan dua gol ke atas pasukannya sendiri kerana mendakwa mahu menggagalkan rancangan menjual perlawanan yang diatur bookie. Kredit video: Kessben Sports.


“Saya mendengar di hotel bahawa ada orang bertaruh kami akan kalah 5-1,” kata Hashmin dalam sidang media selepas perlawanan itu.

“Saya memutuskan untuk memberitahu kamu semua tentang perkara ini dalam sidang media kerana saya sangat menentang pengaturan keputusan perlawanan dan pertaruhan.

“Ada rakan-rakan saya yang membocorkan tentang perkara itu kepada saya. Dan saya mahu menghentikan mereka,” kata Hashmin.


Pasukan Inter Allies mengalami kekalahan 0-7 kepada Ashantigold dalam perlawanan Liga Perdana Ghana pada 17 Julai, 2021 lalu.


Bagaimanapun kenyataan Hashmin itu disanggah oleh pasukan Ashantigold. Melalui kenyataan oleh pasukan itu, mereka menafikan sekeras-kerasnya terbabit dengan sebarang salah laku dalam perlawanan berkenaan.

“Ashantigold bermain secara kompetitif sepanjang perlawanan itu dengan pemain menjaringkan lima gol yang hebat hasil kerja keras dan semangat sepasukan pada minit ke-15, 26, 42, 49, dan 77 permainan.

“Kami langsung tidak tahu mengapa pasukan lawan menjaringkan gol sendiri selepas kami mendahului lima gol ketika perlawanan berbaki 13 minit lagi.

“Kami bersungguh-sungguh sepanjang perlawanan, kami bermain berhabis-habisan untuk menunjukkan kemampuan kami dan kami bukan bermain untuk mana-mana pihak yang mengatur perlawanan sebagaimana digembar-gemburkan.

“Oleh itu, kami menafikan sekeras-kerasnya dan menolak dakwaan yang kami terbabit mengatur perlawanan serta bersekongkol dengan mana-mana individu atau  organisasi yang terbabit dengan salah laku menetapkan perlawanan,” kata kenyataan itu.


 

Hashmin dituduh berkomplot dengan pemain Ashantigold untuk memastikan Inter Allies kalah 0-7.  - Kredit foto: FB Inter Allies FC.


Video dua jaringan sendiri oleh Hashmin telah tular melalui media sosial dan pemain itu menerima pujian serta dijulang sebagai wira kerana dianggap berjaya menggagalkan rancangan rasuah bola sepak.

Begitupun, selepas siasatan dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Ghana (GFA) berhubung insiden itu, Hashmin dan enam pegawai dari kedua-dua pasukan kini berdepan tuduhan terbabit dalam skandal perlawanan tersebut.

Menurut laporan, rupa-rupanya, di sebalik dakwaan cuba menggagalkan rancangan bookie, Hashmin sebenarnya berkomplot dengan tiga pemain mengatur perlawanan agar Inter Allies kalah 0-7!

Dia didakwa mereka-reka cerita kononnya sengaja menjaringkan dua gol sendiri bagi menggagalkan rancangan pertaruhan perjudian yang mahu pasukannya kalah 1-5.


Hashmin berdepan gantung permainan seumur hidup jika gagal dalam rayuannya.


GFA dalam kenyataan mereka berkata, jawatankuasa disiplin badan bola sepak itu telah mengenakan hukuman ke atas empat pemain atas pelbagai kesalahan ketika aksi perlawanan ke-34 Liga Perdana Ghana pada musim 2020/21 antara Ashantigold dengan Inter Allies di Stadium Len Clay pada 17 Julai, 2021.

Hashmin dikenakan tindakan atas empat kesalahan berkaitan dengan pelanggaran peraturan Artikel 34(12), Artikel 34(5)(a), Artikel 34(6)(d) – peraturan Liga Perdana GFA dan juga Artikel 11(2)(d) Kod Disiplin GFA.

Sementara itu, rakan sepasukan Hashmin, Danso Wiredu Mensah dan pemain Ashantigold, Seth Osei didapati bersalah melanggar Artikel 34(5)(a) Peraturan Liga Perdana GFA dalam perlawanan melibatkan kedua-dua kelab.

Jawatankuasa disiplin GFA juga mengenakan tindakan ke atas pemain Ashantigold, Same Mohamed atas pelbagai kesalahan berkaitan Artikel 12(1)(b) Kod Disiplin GFA, Artikel 34(6)(d) dan Artikel 34(5)(a) peraturan Liga Perdana GFA. Kesemua keempat empat pemain menghantar kenyataan membela diri sebelum Jumaat, 24 September 2021 lalu.

Hashmin ketika ini digantung daripada bola sepak dan diberikan peluang untuk mencabar keputusan GFA itu. Jika gagal dalam rayuannya, dia berdepan risiko digantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak. - KitaReporters


 

 

15
5
0
8
0
You will be interested