Seni & Sukan 21 Oct, 2021

Video| Konsert Rockestra Nostalgia! Tampilkan 6 artis rock otai! Ruhil Amani kembali beraksi!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


ENAM penyanyi rock ‘otai’ bakal beraksi di atas satu pentas bagi hangatkan Panggung Anniversari di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur yang sepi sejak dilanda pandemik Covid-19 untuk Konsert Rockestra Nostalgia pada 30 Oktober 2021 depan.

Mereka terdiri daripada artis legenda seperti Rahim Maarof, Man Bai, Ruhil Amani, Asheed (Def Gab C), Rahmad (Mega) dan Ito (Blues Gang).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan artis legenda


Dari kiri: Asheed (Def Gab C), Rahmad (Mega), Man Bai, Ito (Blues Gang), Rahim Maarof dan Ruhil Amani.


Konsert yang bakal dihoskan oleh Lando Zawawi dan Nadia Hasnan itu akan menyaksikan keenam-enam artis rock berkenaan menyampaikan kira-kira tiga buah lagu kegemilangan pada era masing-masing.

Sidang media 'Rockestra Nostalgia bersama 45 pemuzik Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)' telah diadakan pada 20 Oktober 2021 yang turut dihadiri Pengurus Kebudayaan Jabatan Kebudayaan, Kesenian Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Fauzi Ahmad.

Kapasiti penonton bagi menyaksikan konsert secara percuma itu dihadkan seramai 250 orang sahaja sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP). 


RUHIL AMANI


Satu-satunya penyanyi wanita yang bakal beraksi, Ruhil Amani Hussain, 46, berkata dia akan mendendangkan dua lagu popularnya seperti 'Kawan' serta sebuah lagu baharu berentak rancak. 

‘Selepas berkahwin saya menumpukan perhatian membesarkan anak-anak dan kini baharulah ada masa untuk kembali beraksi kerana minat terhadap menyanyi sejak berusia 13 tahun lagi tidak pernah padam.

"Sebagai persediaan, saya perlu mantapkan kemampuan vokal dan stamina pada Konsert Rockestra Nostalgia ini nanti. Saya mahu buktikan mampu beraksi hebat sama seperti lima artis rock lelaki lain di atas pentas nanti.

"Saya akan berusaha berikan persembahan terbaik nanti dan tidak mahu penonton menganggap diri sudah tidak boleh menyanyi sekiranya persembahan diberikan kurang mantap. Penglibatan ini juga diharap mengubat kerinduan peminat," katanya.


Lagu berjudul Kawan antara lagu popular Ruhil Amani sepanjang perjalanan kariernya sebagai penyanyi


Tambah ibu kepada Ruhil Ariana Wilson, 17, dan Raayan Alexander Wilson, 10, beliau berhasrat ingin melahirkan album atau 'single' pada tahun 2022 dan telahpun punyai 12 lagu baharu dalam simpanan.

Menyambung perancangan untuk kembali mewarnai industri muzik rock wala pun ia kini sudah dibanjiri dengan anak-anak muda khususnya penyanyi hip hop, Ruhil tidak merasa gentar disebabkan mempunyai peminatnya yang sentiasa menyokong meskipun sudah lebih 18 tahun menyepi tanpa album baharu.

Terakhir Ruhil melancarkan album kompilasi ‘Abadi’ sebelum bernikah dengan pemain gitar, pencipta lagu, penerbit album dan pengubah susunan muzik, Jamil Wilson Abdullah atau Jamie Wilson.

Dalam pada itu, Ruhil akui perlu banyak belajar menggunakan sosial media memandangkan beliau tidak aktif pada platform itu kecuali sekali sekala melalui facebook.



“TikTok pun saya tidak ada malah baharu ada satu pos dalam Instagram yang mempunyai lebih kurang 3,470 pengikut sahaja,” tambah Ruhil ketawa.

Tidak menolak sekiranya ada penyanyi baharu yang mahu berkolaborasi, Ruhil bagaimana pun lebih berminat untuk berduet atau bergabung dengan artis artis rock lama seperti antaranya Amy Search dan Uncle Ito (Blues Geng).

“Saya terbuka menerima sebarang tawaran namun haruslah lagu-lagu bergenre rock yang menjadi minat saya, “ ujar Ruhil sambil menamakan artis baharu seperti Ernie Zakri dan Aina Abdul sebagai antara penyanyi mempunyai vokal mantap.


Ruhil Amani (2019). - Foto kredit: NSTP/Zulfadhli Zulkifli.


Jadi, jika anda peminat Ruhil dan lima lagi artis rock yang bakal tampil pada Konsert Rockestra Nostalgia secara percuma ini, pastikan anda hadir pada malam 30 Oktober 2021, pukul 8.30 malam untuk menyaksikan kembali kemeriahan senario persembahan pentas ibu kota yang telah sunyi sekian lama.

“Penganjuran juga bagi menggerakkan kembali ekosistem seni budaya yang bakal memberi manfaat kepada para penggiat seni,” akhiri Fauzi. - KitaReporters 


21
3
0
7
0
You will be interested