PANAS!
Panas! Jika sebelum ini Pengurus Home Of Champions (HOC) hanya membuat
kenyataan biasa-biasa saja apabila Amy dan Nasir mendakwa beliau tidak mendapat
kebenaran untuk mengeluarkan produk dan aksesori rasmi Search daripada pihak Search
sendiri.
Namun pada 28
Mei 2021, menerusi sidang akhbar secara maya, Mozylir Mokhtaruddin menjawab segala
persoalan dan sekali gus mendedahkan sikap sebenar Amy dan Nasir yang mendakwanya
tidak bertanggungjawab itu.
Beliau menafikan
kenyataan Nasir dan Amy yang mereka nyatakan menerusi kenyataan media (21 Mei 2021)
yang menuduh HOC menggunakan nama Search tanpa kebenaran untuk menjual pakaian
dan aksesori.
Setiap dakwaan dijawab oleh Mozylir dengan penerangan serta bukti yang beliau ada berurusan dengan bekas vokalis dan pemain bes kumpulan Search itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Search
Mozylir (kanan) bersama Din Search yang banyak berusaha untuk menyatukan anggota kumpulan Search.
“HOC mendapat persetujuan dan kebenaran bagi mengeluarkan produk dan aksesori rasmi Search daripada pihak Search iaitu Noordin Mohd. Taib (Din), Hamzah Mohd. Taib (Kid) dan Nasir Daud (Nasir) sebelum ini.
“Kami
terlibat secara langsung untuk menjual pakaian (T-shirt) dengan nama Search
sejak Februari 2020. Nasir telah menghubungi saya, memaklumkan perkara ini pada
14 Januari 2020.
“Dua hari
selepas itu (16 Januari 2020) Nasir datang berjumpa saya dan berbincang
berkenaan konsert yang akan dibuat pada Mac 2020. Nasir beritahu yang beliau perlukan
RM40,000 untuk menampung kos penganjuran konsert tersebut kerana pihak
penganjur kekurangan dana.
“Sebagai pulangan, Nasir menawarkan saya untuk menjual T-shirt konsert Search semasa penganjuran konsert tersebut. Beliau meminta saya menghadiri mesyuarat pertama berkenaan konsert tersebut pada 20 Januari 2020 yang diadakan di Majestic Hotel, Kuala Lumpur,” jelasnya secara terperinci.
Amy dan Nasir mengeluarkan kenyataan mendakwa Mozylir menggunakan nama Search untuk perniagaan tanpa kebenaran. Foto: media sosial
Tambah Mozylir,
mesyuarat tersebut turut dihadiri Din, Kid dan Datuk Awie serta beberapa
individu yang dipercayai dari pihak penganjur iaitu Datuk Zaharul (Fenomena
Music) dan Amir Shah (Imaginex).
Namun
katanya, Konsert Apologia tidak dapat diadakan kerana PKP tetapi T-shirt konsert siap
dicetak dua minggu awal. Apabila perkara tersebut berlaku, HOC mempunyai
lambakan stok T-shirt Konsert Apologia yang telah siapkan.
“HOC
mempunyai hampir 1,000 helai T-shirt yang tidak dapat dijual apabila konsert
ditangguhkan. Saya mengambil inisiatif menjual T-shirt tersebut di platform dalam talian (online) secara beransur-ansur sementara menunggu tarikh baharu
konsert tersebut. Nasir telah diberitahu tentang perkara tersebut.
“Selain itu,
pada 19 Jun 2020, HOC mengambil inisiatif menempah 100 unit CD (cakera padat) Apologia
Jamming Edition daripada Fenomena Music dan menjualnya dalam bentuk jualan
kombo (T-shirt, CD, sticker dan poster).
“Dalam perkara ini, Nasir juga terlibat sewaktu rundingan pembelian CD ini daripada Fenomena Music. Untuk makluman, reka bentuk kulit album CD ini juga, diambil dan diguna pakai untuk pengeluaran CD tersebut atas permintaan Fenomena Music melalui Nasir, dengan kebenaran saya dan tanpa mengenakan bayaran kepada mana-mana pihak,” katanya lagi.
Mozylir menjelaskan bahawa Nasir telah diberitahu tentang semua perkara mengenai Search yang dilakukan oleh HOC sebelum ini.
Jelas
Mozylir, sejak penglibatan HOC dengan Search sebelum ini, Amy sudah mengundurkan
diri sebagai vokalis. Kenyataan yang dibuat oleh Nasir juga tidak benar kerana
beliau lebih tahu tentang penglibatan HOC sejak dari tahun lepas (2020).
“Dengan
dakwaan dan tuduhan yang dibuat oleh Amy dan Nasir menerusi kenyataan media
sebelum ini terhadap HOC, kami telah melantik Tetuan Sharif Ridzuan & Co.
yang diwakili Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar dan Noorizwa bagi
memperhalusi segala dakwaan dan tuduhan yang telah dibuat.
“Sekiranya
ada asas, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini ke muka
pengadilan dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya
tanpa berselindung.
Tambah
beliau, sepanjang pembabitan HOC berkenaan dengan perkara tersebut, Nasir telah
menerima beberapa kali bayaran pendahuluan daripadanya.
Ujarnya,
Nasir juga telah mengambil beberapa kuantiti T-shirt yang bernilai lebih kurang
RM5,000 dengan alasan ingin menjual kepada peminat-peminat yang rapat dengan
beliau. Sehingga kini, bayaran untuk T-shirt tersebut belum lagi dijelaskan
kepada pihaknya.
Menurut Mozylir, setelah beberapa kali ditangguhkan, HOC ada mengemuka cadangan dan idea untuk meneruskan aktiviti perniagaan dan pemasaran bersama pihak Search iaitu Din, Kid dan Nasir.
Amy tidak memberi respons apabila dihubungi dan sebaliknya membalas pada 3 April 2021 sebelum showcase di Melaka. - Kredit foto: Media sosial.
“Perbincangan
telah dilakukan bersama pihak Din dan Nasir sebelum ini. HOC telah menyiapkan
kertas cadangan yang dinamakan Search Blurprint 2021-2022. Didalam kertas
cadangan tersebut ada dinyatakan cadangan aktiviti Search, penjenamaan dan
pemasaran komersial yang dirangka.
“Segala
perancangan ada di dalam Blueprint tersebut termasuk beberapa cadangan yang
difikirkan relevan, antaranya Rokumentary Search, Branding Partnership dengan
jenama-jenama antarabangsa termasuklah mengeluarkan produk-produk dan aksesori
rasmi Search. Projek ini boleh dikatakan sebagai projek kerjasama HOC dan Search,”
katanya.
Sementara
itu, kata Mozylir, beliau turut menghubungi Amy menerusi panggilan telefon dan
WhatsApp untuk membincangkan tentang beberapa perkaraan berkenaan projek tersebut,
tetapi tiada respons.
Ujarnya, walaupun
Amy sudah mengundurkan diri, atas menghormati beliau sebagai sahabat selama 40
tahun, Din mengambil inisiatif untuk
menghubungi Amy bagi tujuan membincangkan beberapa perkara dan menyatakan untuk
berjumpa Amy sekitar penghujung Disember 2020 tapi Amy tidak memberi respons.
“Setelah
beberapa usaha menghubungi dan untuk berjumpa Amy gagal, saya dan Din mengambil
keputusan meneruskan projek ini walaupun tanpa kehadiran dan persetujuan Amy. Nasir
pula akan memaklumkan segala info mengenai projek kepada Amy jika beliau dapat
menghubungi Amy dan menghubungi waris keluarga arwah Yazit bagi menyatakan
perkara ini.
“Pada 3
April 2021, sebelum showcase di Melaka berlangsung, buat pertama kalinya, saya
menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada Amy tentang beberapa perkara
yang HOC lakukan bersama Search.
“Amy
menyatakan rasa tidak puas hatinya dan saya cuba menerangkan perkara yang jelas
agar beliau tidak tersalah anggapan menerusi info-info yang tidak tepat melalui
sumber yang tidak sahih. Pada 6 April 2021, sekali lagi Amy menghantar mesej
dengan menghantar mesej memaki hamun saya.
“Dari tarikh itu, saya tidak lagi membalas segala mesej-mesej beliau yang dihantar kepada saya. Mesej terakhir beliau kepada saya adalah pada 30 April 2021. Sepanjang Mei, saya juga ada terima mesej isteri Amy, Nourish melalui aplikasi WhatsApp dengan bahasa-bahasa kesat. Saya juga tidak membalas mesej beliau, dan beranggapan cara beliau adalah tidak sopan dan tidak beradab,” katanya tentang perangai Amy dan isteri.
Amy mengambil keputusan tinggalkan Search pada Mac 2020. Foto:IG Amy
Kata
Mozylir, segala cadangan yang dinyatakan, telah mendapat persetujuan dan dalam
pengetahuan Din, Kid dan Nasir termasuklah pembahagian bayaran setiap anggota Search
sama ada yang masih kekal atau tidak termasuklah pembahagian bayaran untuk
waris arwah Yazit Ahmad.
“Segala
butiran telah dipersetujui dan ditandatangani Din. Segala butiran cadangan
ada dimaklumkan kepada Nasir dan saya ada menyatakan kepada Nasir, akan
menyerahkan butiran tersebut melalui emel sebagai rujukan beliau dan
mengemukakan cadangan jika ada yang perlu.
“Dengan penjelasan ini, saya menafikan kenyataan Nasir dan Amy yang mereka nyatakan menerusi kenyataan media beliau sebelum ini serta menuduh HOC telah menggunakan nama Search tanpa kebenaran untuk menjual pakaian dan aksesori,” katanya. - KitaReporters