Seni & Sukan 25 Jul, 2021

Video| Penerusan busana tradisional di Sukan Olimpik! Kontinjen Hang Tuah berarak! Demi Malaysia!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

LEE Zii Jia membawa Jalur Gemilang dan diiringi Goh Liu Ying, mengetuai kontinjen Malaysia dalam perarakan sempena upacara pembukaan rasmi Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) di Stadium Olimpik, Tokyo pada 23 Julai 2021. - Kredit foto: MSN


ZII Jia (kanan) dan Liu Ying segak dan manis dengan persalinan ala Laksamana Hang Tuah dan baju kurung. - Kredit foto: MOM


KONTINJEN Malaysia tampil menyertai acara perarakan negara-negara peserta Sukan Olimpik 2020 (2021) pada 23 Julai 2021 dengan berpersalinan ala Laksamana Hang Tuah dan baju kurung.

Kontinjen negara menjalani agenda penting upacara pembukaan rasmi Olimpik di Stadium Olimpik, Tokyo, Jepun itu dengan diketuai dua pembawa Jalur Gemilang, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying daripada sukan badminton.

Warna pakaian perarakan kontinjen Malaysia ini turut diadaptasikan daripada bendera negara. Pakaian perarakan ini dilengkapi tanjak pada kepala atlet dan pegawai lelaki


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik

KONTINJEN Malaysia yang segak berbaju Melayu dan baju kurung pada Olimpik Rio 2016 diketuai Datuk Lee Chong Wei. - Kredit foto: MOM


KONTINJEN Malaysia pada Sukan Olimpik London 2012 turut pernah tampil memakai tanjak dan baju ala pahlawan silam Melayu. - Kredit foto: MOM



Pakaian hasil karya Fakulti Seni dan Reka Bentuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini, turut mempamerkan pengayaan dan suntikan elemen segar dan corak geometrik.  

Tatacara pemakaian lelaki lengkap bertanjak, baju sikap dan samping berbaju Melayu melambangkan kejituan rasa cinta kepada negara Malaysia dan baju kebangsaan.

Persalinan wanita pula yang lengkap berdokoh dan berselendang, mencerminkan identiti Malaysia yang kaya dengan budaya tersendiri.


PARA atlet wanita Malaysia sempat berswafoto di luar Stadium Olimpik Tokyo sebelum perarakan kontinjen negara peserta Sukan Olimpik. - Kredit foto: MOM


Corak geometrik berasaskan segi tiga atau chevron memberi kesan rangsangan arah tuju yang jelas dalam mencapai matlamat pingat yang terbaik untuk negara.

Antara atlet dan pegawai yang turut menyertai perbarisan kontinjen negara ialah pemenang pingat gangsa akuatik terjun wanita Olimpik London 2012 dan perak Rio 2016, Pandelela Rinong Pamg.

Atlet-atlet lain termasuk Welson Sim Wee Sheng (akuatik renang), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik wanita) dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib.


LEE Zii Jia menggantikan pemanah, Khairul Anuar Mohamad sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama Goh Liu Ying, pemenang pingat perak beregu campuran Olimpik Rio 2016. - Kredit foto: MSN


Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo (Togoc) dan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menetapkan giliran ke-177 bagi kontinjen Malaysia untuk berarak di stadium itu.

Giliran berkenaan bergantung kepada bahasa rasmi negara tuan rumah Olimpik dan protokol IOC yang memutuskannya menerusi mesyuarat Lembaga Eksekutif pada 3 Disember 2019.

Sebanyak 206 kontinjen negara mengambil bahagian dalam Olimpik edisi ke-32 ini yang ditunda setahun dari 2020 kerana pandemik Covid-19.

Malah sebagai langkah pencegahan penularan, tiada penonton dibenarkan hadir ke stadium untuk menyaksikannya, sekali gus menghilangkan banyak elemen kemeriahan dan seri upacara perasmiannya.

Prosedur operasi standard (SOP) perarakan kontinjen Olimpik juga mewajibkan penjarakan fizikal sesama mereka dengan satu barisan hanya mengandungi lima orang dan memakai pelitup muka. - KitaReporters


MOHD. Nazifuddin Mohd. Najib (dua dari kanan) bergaya dengan pakaian kontinjen Malaysia bersama pegawai sekretariat MOM sebelum berarak dalam upacara perasmian Sukan Olimpik Tokyo. - Kredit foto: MOM


KONTINJEN Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 1964 dengan berpakaian kot dan bertali leher, diketuai pembawa Jalur Gemilangnya, Kuda Ditta (olahraga). - Kredit foto: IOC

3
0
0
0
0
You will be interested