Seni & Sukan 29 Jan, 2022

Tahniah Zulin Aziz! Jodoh dah sampai, dilamar Farhan ketika umrah! 20022022 tarikh pernikahan!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this


BUKAN gimik untuk video muzik seperti yang didakwa oleh netizen sebelum ini. Kali ini pelakon Zulin Aziz benar-benar bertunang dan bakal mendirikan rumah tangga, Februari 2022 ini.

Tahniah diucapkan kepada Zulin atau Farah Azleenda Abdul Aziz, 33, yang sebelum ini pernah dikecewakan oleh jejaka durjana yang menghilangkan diri sebelum majlis perkahwinan.


Lagi ceria-cerita menarik berkaitan pertunangan

Zulin Aziz kini menjadi tunangan kepada Farhan Norzaini. - Kredit foto: khanz_photograffiti



Malam Jumaat, 28 Januari 2022 lalu, kira-kira pukul 9 malam, termeterailah ikatan pertunangan antara  Zulin dengan Farhan Norzaini, 35.

Majlis diadakan secara tertutup dan sederhana selain dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak di kediaman abang Zulin di Segambut Dalam, Kuala Lumpur.

Menurut Zulin, dia dan tunang sepakat memilih untuk melangsungkan pertunangan pada hari tersebut, selepas pulang dari mengerjakan ibadah umrah pada hujung tahun 2021 lalu.


Zulin bakal berkahwin dengan Farhan pada 20 Februari 2022.


Pada majlis berkenaan, Zulin turut menerima dua bentuk cincin (merisik dan bertunang) daripada tunangnya.

"Alhamdulillah, Farhan melamar saya ketika berada di Madinah. Sebenarnya sudah lama kami merancang, akhirnya Allah memperkenankan doa saya ketika berada di Tanah Suci.

"Majlis pada malam ini (28 Januari 2022) juga diadakan serba ringkas. Malah atas permintaan keluarga kami hanya menjemput keluarga terdekat sahaja demi menjaga prosedur operasi standard (SOP)," kata Zulin.

Malah Zulin sempat berkongsi berita gembira tersebut dengan peminat dalam Instagramnya dengan mengesahkan yang dirinya kini berada dalam fasa ‘darah manis’.


Dilamar sewaktu menunaikan umrah dan mengambil keputusan bertunang akhir tahun 2021 lalu.


“Kami memilih tarikh ijab kabul pada 20.02.2022. Doakan semoga segala urusan kami dipermudahkan. Ini juga berkat doa dari kalian semua selama ni barakallah,” katanya.

Ditanya mengenai Farhan yang berjaya memenangi hatinya sehingga terbuka hati untuk memilih lelaki itu sebagai teman sehidup semati, bekas penyampai radio Suria FM, percaya Farhan mampu membimbingnya ke jalan yang diredai.

"Dia seorang yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga seorang pendengar yang setia. Saya selesa bersama dengannya dan boleh meluahkan apa sahaja kepadanya," ujar Zulin.


Farhan secara terbuka berkongsi kisah percintaannya dengan wargamaya di Instagram.


Sementara itu, Farhan menyifatkan Zulin sebagai seorang yang mempunyai hati yang tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarganya.

"Dia berada bersama saya pada saat saya mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika saya kehilangan arwah ibu pada Oktober tahun lalu (2021).

"Di situ saya tahu bahawa dialah wanita yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya. Dan Zulin ada ciri-ciri itu," kongsinya.


Zulin miliki ciri-ciri wanita idaman Farhan.


Menyingkap kembali momen saat pertama kali mereka berkenalan, kata Farhan, dia yang memberanikan diri menghantar mesej kepada Zulin menerusi Instagram (IG) selepas menonton rancangan Melodi di TV3.

"Waktu itu saya sedang menonton rancangan Melodi bersama arwah ibu. Kebetulan ada paparan cerita Zulin tak jadi kahwin. Lepas tu arwah ibu cakap dia rasa kasihan dengan Zulin. Malah tak semena-mena, arwah ibu tiba-tiba cakap tak kisah andai Zulin menjadi menantunya.

"Seterusnya, adik saya yang mendesak supaya mengirimkan mesej langsung kepada Zulin dalam IG. Saya memberanikan diri dan tak sangka dia membalas mesej. Masa itu saya fikir tak mungkin Zulin membalas mesej itu kerana saya hanya orang biasa di antara jutaan pengikutnya yang lain," kata Farhan.

Pasangan ini menetapkan tempoh kurang dari sebulan untuk ikatan pertunangan dan merancang untuk berkahwin pada 20 Februari 2022 ini.

Mereka sepakat memilih 20 Februari 2022 kerana tarikhnya cantik selain tidak mahu bertunang lama-lama dan mempercepatkan benda baik.


Foto yang dikongsi Zulin sewaktu majlis bersejarah adik Farhan membuatkan ramai beranggapan bahawa itu adalah majlis mereka.


Terdahulu, kisah keintiman pasangan ini mula dihidu sejak tahun 2021 lalu apabila Zulin berkongsi gambar bersama Farhan dalam Instagram pantas mencetuskan spekulasi.

Tanpa berselindung, Zulin sekitar Mac 2021 lalu menerusi entri gambar berdua dala Instagram (IG) yang dimuat naik turut berani memanggil Farhan dengan gelaran 'B' atau 'Baby' dalam ruangan kapsyen.

Bagaimanapun ketika itu, Zulin diibaratkan hanya berkongsi 'teaser' mengenai hubungan mereka dan belum selesa bercerita lebih mendalam.

Namun kunjungan mereka berdua ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah terus menguatkan lagi spekulasi bahawa hubungan mereka serius.

Ramai rakan artis yang mengucapkan tahniah kepada Zulin dan berdoa agar segala urusan berjalan lancar dan hubungan kekal hingga ke Jannah. KitaReporters


16
15
0
5
0
You will be interested