Seni & Sukan 07 Aug, 2020

Musim Haji 1441 istimewa! Norma baharu tunaikan ibadat haji!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
DENGAN selesainya Tawaf Widaq (Tawaf Selamat Tinggal) yang dilakukan para jemaah haji istimewa musim Haji 1441 Hijrah/2020 Masihi pada Ahad 2 Ogos 2020 (12 Zulhijah 1441) lalu, maka secara rasminya berakhirlah musim haji pascapandemik COVID-19 yang berbeza sama sekali dengan tahun-tahun sebelumnya. : KitaReporters

Para jemaah haji istimewa tahun 2020 melakukan Tawaf Qudum (Tawaf Selamat Datang) dengan penuh keselesaan disebabkan jumlah mereka yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.


Logo Haji musim 1441 Hijrah/2020 Mashi yang begitu ringkas tetapi sangat bermakna.



Di sebalik pelbagai kelainan yang terpaksa dimanfaatkan para jemaah melalui norma baharu dengan mematuhi setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menjamin kelancaran setiap amalan rukun haji yang disertai juga, sudah tentulah ia suatu episod kenangan indah bakal menjadi tatapan sepanjang hidup individu haji dan hajah berkenaan. 

Namun di sebalik keistimewaan dikecapi setiap jemaah haji terpilih ini tidak kurang pula mereka yang sudah tersenarai menerima panggilan mengerjakan haji tahun ini terpaksa meredakan ketentuan Allah yang ditunda ke tahun hadapan jika umur panjang kerana Kerajaan Arab Saudi terpaksa bertindak drastik dalam usaha mengekang penularan wabak penyakit berbahaya ini daripada terus meningkat dengan hanya membenarkan mereka yang tinggal di negara itu termasuk rakyat asing sama ada bekerja atau belajar diberi kebenaran  mengerjakan rukun Islam kelima berkenaan.

Ini semua ketentuan Allah sekalipun kita telah menerima panggilan bagi tujuan yang suci ini sama ada melalui Lembaga Urusan Tabung Haji (Tabung Haji) mahupun jemputan terus melalui Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, bagaimanapun pada saat akhir terbatal berikutan langkah keselamatan dan kesihatan yang terpaksa diambil oleh kerajaan negara berkenaan.

Syed Salleh Syed Abdul Rahman (kiri) diwawancara oleh Azman Shah (tengah) dan Hafiz Haneefa dalam episod terakhir (16 siri) Rancangan Salam Baitullah: Suatu Kerinduan terbitan RTM1. - Kredit foto: RTM1, AFP, TV Al Haramain, Al-Jazeera dan Agensi Berita Arab Saudi. 


Sekali pun fenomena ini terjadi, namun pada musim haji istimewa tahun ini, sembilan rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di negara itu merupakan antara 1,000 jemaah yang yang terpilih lulus permohonan bagi mengerjakan haji musim 1441 Hijrah/2020 Masihi.
Perkara ini disahkan oleh Pengurus Besar Kanan Haji merangkap Ketua Rombongan Haji TH Malaysia, Dato' Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman, sekalipun sebelum ini media melaporkan bahawa lapan rakyat Malaysia terpilih mengerjakan ibadah haji pada musim haji 1414 Hijrah/2020 Mashi.

Beliau memberitahu memperolehi maklumat mutakhir dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Jumaat 31 Julai 2020 dan memaklumkan perkara ini dalam wawancara bersama Azman Shah (Che Man) dan Hafiz Haneefa pada siri terakhir (16 Siri) Salam Baitullah: Suatu Kerinduan terbitan RTM 1 pada Sabtu 1 Ogos 2020.

Pada rancangan itu, beliau menasihatkan 31,600 bakal jemaah haji yang terpilih tahun ini tetapi tidak dapat melakukannya kerana kemudaratan reda dengan ketentuan Allah dan insya-Allah pemergian mereka ditunda ke tahun hadapan jika diizinkan.
Katanya, untuk pergi mengerjakan haji setiap individu perlu mempunyai keikhlasan yang tinggi, kesabaran tanpa batas dan masa untuk bersedia menimba ilmu pengetahuan. Malahan syarat wajib haji juga melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan.

Azman Shah (Che Man) kanan bersama Hafiz Haneefa merupakan pengacara yang menjayakan siri akhir Salam Baitullah Suatu Kerinduan untuk tahun 2020.

Dua rakyat Malaysia yang tinggal di Arab Saudi dan terpilih mengerjakan Haji Istimewa untuk tahun 2020, Fatin Daud (kiri) dan Munirah (kanan) bersama dua staf Kementerian Kesihatan Arab Saudi ketika mereka berada di Mekah.


Menurutnya, qouta haji untuk Malaysia ialah seramai 31,600 orang setiap tahun, bagaimanapun rundingan sentiasa dijalankan antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi untuk pertambahan qouta tersebut setiap kali musim haji.

Katanya, jika seseorang mendaftar untuk pergi haji tahun ini individu berkenaan perlu menunggu giliran selama 127 tahun baru dapat menunaikan rukun Islam kelima itu.
Bagaimanapun beliau menasihatkan rakyat negara ini jangan risau dengan keadaan angka yang agak mengerunkan itu kerana kerajaan Arab Saudi mempunyai misi meningkatkan jumlah jemaah haji daripada 3  juta kepada 7 juta orang dalam jangka masa beberapa tahun ini mengikut perancangan yang disusun atur bermula sekarang.

Syed Salleh memberitahu tahun ini sahaja, seramai 130,000 rakyat negara ini telah membuat rayuan untuk menunaikan ibadat haji. Berikutan penundaan pemergian ke Tanah Suci Mekah pada tahun hadapan, semua rayuan tersebut terbatal dan mereka yang terlibat perlu membuat permohonan rayuan semula bagi tahun 2021, sekiranya ingin menunaikan haji pada tahun hadapan.

Menurutnya, Tabung Haji mendapat pengiktirapan Kerajaan Arab Saudi atas perkhidmatan mengendali urus jemaah haji dengan baik lagi bersistem. Malahan Kementerian Haji dan Umrah negara itu menyifatkan jemaah haji Malaysia  berdisplin dan berhemah tinggi.

Sebahagian jemaah wanita memohon doa sementara menunggu untuk meneruskan rukun haji selanjutnya.
TH juga katanya, meluluskan 24 syarikat untuk urusan haji dan umarah bagi mengelakkan adanya pihak tertentu yang mengambil peluang serta kesempatan bagi kedua-dua urusan ibadat berkenaan dengan menawarkan harga di luar munasabah kerana dibimbangi jika orang ramai berurusan hasrat untuk melakukan ibadah berkenaan tidak tercapai mungkin timbul berbagai masalah termasuk visa dan sebagainya. 

Oleh itu masyarakat dan orang ramai terutama daripada kawasan luar bandar hendaklah berhati-hati untuk mendaftar bila hendak mengerjakan haji atau umrah supaya tidak tertipu kepada golongan yang mengambil kesempatan itu.

Beliau memberitahu, TH buat masa ini tidak lagi membenarkan mana-mana individu yang pernah mengerjakan haji untuk berbuat demikian bagi memberi peluang kepada mereka yang belum pernah melakukanya disebabkan qouta menunggu terlalu ramai di mana sejumlah 3.4 juta orang telah mendaftar dengan TH untuk pergi menunai haji setakat ini.

Indah dan bersemangatnya para jemaah yang terpilih mengerjakan haji tahun ini melakukan tawaf di hadapan Kaabah.


Musim haji 1441 Hijrah/2020 Mashi yang bermula pada 8 hingga 12  Zulhizah (29 Julai hingga 3 Ogos) merupakan musim haji teristimewa dengan bilangan jemaahnya terlalu kecil 1,000 orang sahaja di samping 10,000 petugas tidak ada masalah kesesakan melampau jika dibandingkan lebih 2.5 juta pada tahun tahun tahun sebelumnya.

Mereka diberikan layanan penuh istimewa dengan tempat menginapan bertaraf kelas pertama dan mewah, kawalan keselamatan yang ketat, khemah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk sofa, keadaan lapang dan selesa semasa di Padang Arafah. Tidak ada masalah kesesakan sama ada oleh kalangan para jemaah mahupun kenderaan yang bertali arus di jalanan .
Bagaimanapun isu ekonomi mungkin suatu yang negatif terhadap penduduk setempat di Kota Mekah pada musim haji kali ini kerana tidak ada urusan perniagaan dan aktiviti jual beli sama ada sebelum atau selepas ibadat haji berlangsung disebabkan

SOP yang mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan telah menyekat sama sekali kegiatan tersebut.

Hikmah pandemik COVID-19 yang melanda dunia sekarang ini banyak memberi pengajaran dan tauladan kepada kehidupan termasuk masyarakat di Arab Saudi yang menjadi tuan rumah bagi ibadah haji. Jika kita muhasabah diri segala yang berlaku daripada Allah dan ketentuan-Nya sudah tentulah hikmah ada yang positif dan negatif. - KitaReporters

Para jemaah melontar dengan penuh semangat sebagai simbolik melontar syaitan di Jamrah ketiga (Jamratul Salis)

Kemudahan yang selesa bertaraf kelas pertama disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk jemaah haji pada musim haji tahun 2020 di khemah-khemah di Arafah.

Para jemaah haji berbaris mengikut SOP penjarakan sosial  masuk ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf.

Setiap jemaah haji perlu melakukan Tawaf Widaq (Tawaf Selamat Tinggal) sebagai melengkapkan rukun haji. Malahan dengan melakukan tawaf berkenaan selesailah ibadah haji tahun 2020.

1
0
0
0
0
You will be interested