PERIBAHASA bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian yang membawa maksud setiap kejayaan yang ingin dikecapi pasti akan melalui waktu yang susah dahulu.
Maksud
peribahasa itu sesuai diberikan kepada perjalanan Showcase Amal Keluarga
Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang dianjurkan oleh Nizam Laksamana Production.
Sebelum acara kemuncak berlangsung di Grand Ballroom, Bangi Resort Hotel, 4 Jun 2022 lalu, Nizam Laksamana atau nama sebenarnya Mohd. Nizam Pechok, 55, bimbang kerana program edisi ketiganya sukar untuk mendapat tajaan.
Ke hulu ke hilir penyanyi itu mencari penaja namun agak mengecewakan kerana syarikat besar tidak memandang usaha murninya yang mahu membantu pesakit dan bekas pesakit kanser.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan selebriti legenda
Setiap penyanyi mendendangkan lagu-lagu hit masing-masing sewaktu Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 di Bangi Resort Hotel, baru-baru ini.
Apapun rintangan, dia harus meneruskan projek tersebut kerana janji telah dikotakan dengan pengerusi dan pengasas Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal, seorang aktivis dari Jitra, Kedah yang sering membantu pesakit kanser.
Jika nawaitu kita baik, Allah pasti tolong dalam pelbagai cara. Siapa sangka pada saat akhir showcase yang menampilkan penyanyi, Rahmad Mega, Daqmie, Bagio, Ibnor Riza, Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Tam Spider dan Ramlah Ram itu mendapat sambutan dan jualan tiket untuk 46 meja habis terjual.
“Alhamdulillah, bukan saja jualan tiket sold out, malah semakin hampir acara, pelbagai pihak tampil untuk menaja dalam pelbagai bentuk. Walaupun bukan dalam bentuk wang ringgit, saya amat berterima kasih kepada penaja yang sudi membantu saya merealisasikan showcase ini.
Mohammad Anas Ibrahim daripada KKKL antara penyumbang untuk showcase anjuran Nizam Laksamana Production yang memberi sumbangan kepada Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal.
“Jutaan penghargaan diberikan kepada pihak TNB yang menghulur sumbangan menerusi Kelab Kilat Kuala Lumpur (KKKL) tidak jemu membantu projek saya sejak edisi pertama lagi. KKKL bukan saja memberi sumbangan kepada tabung Cancer Survivors Malaysia, malah turut menyumbang untuk perjalanan showcase ini.
"Turut membantu saya menjayakan projek ini adalah wakil pejabat Tan Sri Noh Omar dan FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia),” katanya.
Johan Aziz berkongsi pengalamannya sebagai pesakit kanser dengan penonton.
Nizam yang
terharu dengan sumbangan daripada pelbagai pihak dan sokongan padu peminat
berkata, walaupun hasil jualan tiket akan disalurkan kepada Cancer Survivors
Malaysia, namun dia tidak dapat mendedahkan jumlah tersebut.
“Kalau boleh saya mahu beritahu berapa jumlah yang diserahkan kepada Puan Zuraini tapi atas permintaan penderma, saya terpaksa akur. Ada penderma yang membeli meja tapi mereka tak dapat datang.
“Tujuan penganjuran showcase ini bukan sekadar hiburan semata-mata tapi sebagai platform untuk kita sama-sama membantu penghidap dan bekas pesakit kanser.
Daqmie mengembalikan kenangan Barongan dengan mendendangkan lagu Liya Juwita kumpulan tersebut.
“Saya juga
mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan artis yang sudi
menerima pelawaan saya tanpa seorang pun bertanya soal bayaran. Mereka terus
bersetuju dengan hanya satu penggilan telefon,” katanya bangga dengan sokongan
teman-teman seperjuangan.
Nizam yang turut mendendangkan lagu Gugurnya Bunga Cinta dan Mendung Tak Bererti Hujan bersama Ramlah Ram menegaskan yang isterinya, Salwati Zulkifli tidak akan menerima sesen pun sumbangan daripada kutipan amal tersebut.
Zarul mendendangkan dua lagu popular dendangannya untuk pendengaran penonton.
“Saya nak bagi
tahu yang program ini bukan sumbangan untuk isteri saya. Malah isteri saya
datang pun dia bayar sendiri, anak-anak pun dia bayar, jadi tidak ada yang
free. Isteri saya tak akan terima satu sen pun daripada sumbangan yang dapat
tu.
“Ikutkan dia
layak tapi bagi saya cukuplah kalau orang ramai doakan isteri saya sihat, bagi
saya itu dah cukup dan sangat besar buat saya. Saya boleh cari duit sendiri
dengan menjual muruku dan buat sewa PA Sistem. Alhamdulillah anak-anak semua
dah kerja. Saya kira orang lain lebih berhak untuk menerima,” jelasnya bagi
mengelak salah faham orang ramai.
Sebaliknya, sewaktu acara berlangsung, Nizam sempat mengajak Johan Aziz, yang pernah mengurus kumpulan Slam sebelum ini, naik ke pentas bercerita pengalamannya sebagai pesakit kanser.
Nizam dan Ramlah berduet mendendangkan lagu Mendung Tak Bererti Hujan, sebagai penutup persembahan.
Hanya pesakit
dan mereka yang berada dalam kalangan pesakit saja tahu betapa peritnya melawan
penyakit tersebut, selain memerlukan kos yang tinggi untuk rawatan.
Nizam
berharap usaha kecilnya itu sedikit sebanyak dapat membantu pesakit dan bekas
pesakit kanser di luar sana.
Selain itu,
Nizam turut berkongsi kisahnya bersama dengan Allahyarham Gmie Screen yang
meninggal kerana masalah buah pinggang pada 10 Disember 2021.
Katanya, Gmie atau nama sebenarnya Hajmi Ibrahim adalah seorang sahabat yang baik dan pernah membantunya ketika susah. Malah sahabatnya itu juga adalah di antara penyanyi yang bersedia untuk menjayakan Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0.
Ibnor Riza juga tidak mahu ketinggalan dalam menyantuni pesakit kanser.
“Arwah Gmie
dengan saya amat rapat, dia banyak membantu saya waktu showcase 2.0. Dia banyak
membantu saya dari segi kewangan, dia tolong saya untuk jelaskan sesuatu yang
mana saya tak dapat buat bayaran ketika itu.
“Gmie sentiasa ada dalam hati saya kerana jiwanya sama dengan jiwa saya. Bila arwah sakit saya sempat ziarahnya beberapa kali. Saya kata, bro kau kena sihat sebab kau kena nyanyi untuk projek aku,” katanya.
Penonton yang hadir pada malam itu pasti berpuas hati kerana kesemua penyanyi mendendangkan lagu hit masing-masing. Bukan saja lagu dendangan artis tersebut sedap didengar, malah makanan makan malam yang disajikan oleh pihak hotel pun enak.
Rela Kupujuk, antara lagu yang didendangkan oleh Tam Spider.
Lagu-lagu yang didendangkan adalah Takdir dan Waktu, Bayangan Gurauan (Rahmad Mega), Liya Juwita, Tangis Sebatang Tamar (Daqmie), Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Sufi (Bagio), Mimpi Yang Tak Sudah, Berdiri Seorang Perindu (Ibnor Riza), Jesnita, Mengintai Dari Tirai Kamar (Ezad Lazim), Bukalah Hatimu, Ramalanku Benar Belaka (Zarul Umbrella), Kasih Latifah, Jangan Kau Berputus Asa dan Relaku Pujuk (Tam Spider) dan Ramlah Ram mendendangkan lagu Zapin Yang Tinggal dan Kau Kunci Cintaku. - KitaReporters
Penonton bukan sekadar menonton, mereka turut menyanyi bersama penyanyi.