Rus Mat Ali terharu menerima bantuan sukarelawan PJNH dan PJMM untuk membantu membersih pakaian ahli keluarganya yang dicemari lumpur.
TURUT terkesan ditimpa banjir besar pada 2014, menjadi pengalaman menakutkan kepada keluarga yang mendiami 130 rumah di Taman Paya Taram, Kerdau, Temerloh, Pahang apabila terancam dalam banjir pada 19 Disember 2021 lalu.
Pengerusi
Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu,
Nordin Mohd Sharif, berkata pengalaman kira-kira lapan tahun lalu itu menjadi
iktibar menyebabkan penduduk membuat persediaan awal dengan menyimpan barangan
penting terutama dokumen keluarga di tempat selamat.
Nordin Mohd Sharif
Menurutnya, selepas hujan lebat berlarutan selama tiga hari, sebahagian daripada kami mengambil langkah segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh kemudian diikuti penduduk lain keesokannya.
Katanya, atas nasihat dan keprihatinan Penghulu Mukim Kerdau, Ahmad Kaha Mohd Taib dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Abdul Raghani Jaafar mereka berada di PPS itu selama enam hari sebelum dibenarkan pulang untuk melihat keadaan rumah digenangi banjir sedalam antara 0.9 meter dan 1.2 meter.
“Walaupun kurang mengalami kerosakan harta benda kerana sudah membuat persediaan awal namun kami tetap berasa sedih kerana awal tahun 2021 sudahpun digenangi air Sungai Pahang yang melimpah dan banjir pada Disember (2021) lalu merupakan kali kedua dalam setahun.
Penceramah Bebas, Alias Ahmad (kiri) yang menyertai sukarelawan PJNH dan PJMM memberi kata-kata semangat dan motivasi kepada penduduk Taman Paya Taram.
“Kesedihan kami terubat apabila banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir bagi membantu membersihkan rumah selain mengagihkan barangan keperluan asas.
"Sebagai pengerusi KRT saya pastikan semua penduduk mendapat bantuan dan tiada yang tercicir,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bantuan mangsa banjir oleh Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang dan Pusat Jagaan Mahmudah (PJMM), Semenyih, Selangor pada 2 Januari 2022 lalu.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; dan 15 sukarelawan pusat jagaan berkenaan yang turut serta bagi mengagihkan bantuan banjir serta membantu penduduk melakukan kerja pembersihan dan sebagainya.
Barangan keperluan asas itu adalah dana yang dikumpul daripada sumbangan individu dan orang ramai bagi membantu mangsa banjir yang dikelolakan oleh PJNH dan PJMM.
Jalilah Sappari (tiga dari kiri) bersama-sama Azman Rasman (kiri) dan ahli keluarga yang terpaksa bermalam di PPS untuk beberapa hari.
Pengerusi Jiran Wanita KRT taman itu, Jalilah Sappari, berkata dengan dibantu oleh suaminya, Sudarmin Kamarudin dan beberapa ahli mereka melawati mangsa banjir khusus kaum Hawa bagi memberi nasihat dan mengenal pasti bantuan yang mereka perlukan.
“Saya membuka bilik khas untuk memberi motivasi dan memulihkan semangat kaum Hawa terutama warga emas yang sudah pasti sedih melihat rumah diseliputi lumpur dan mereka tiada sumber pendapatan bagi membiayai kos membaikpulih rumah dan sebagainya,” kata beliau.
Penduduk Taman Paya Taram, Kerdau, Temerloh, Pahang bersama-sama barangan keperluan asas yang disumbangkan oleh PJNH dan PJMM pada 2 Januari 2022 lalu.
Seorang mangsa banjir yang disantuni sukarelawan PJNH dan PJMM di Kampung Batu Kapor Sekolah, Mentakab, Pahang, yang teruk dilanda banjir, Mohd Nazri Alias, berkata rumah dia digenangi banjir hampir 2.7 meter iaitu mencecah atas rumah yang menyebabkan terpaksa berpindah segera ke PPS di SMK Seri Semantan, Mentakab.
Menurutnya, hampir seminggu berada di PPS itu dia berasa amat sedih dan terkejut selepas dibenarkan pulang untuk melihat keadaan rumah apabila banyak barangan seperti perabot, tilam, pakaian diseliputi lumpur.
Isteri
beliau, Norhaiza Samsudin, berkata dia terpaksa reda dan berasa terharu apabila
beberapa barangan elektrik yang dibeli menerusi dalam talian diterima dua hari sebelum
dilanda banjir itu turut rosak dan tidak boleh digunakan lagi.
“Kerepek pisang yang baru saya buat dan disimpan dalam bekas plastik sebelum dibungkus untuk dijual ke kedai sekitar kampung sebagai sumber pendapatan sampingan juga hanyut dibawa arus sungai,” katanya.
Pegawai Sosial Perubatan, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Azhar Ahmad (kanan) membantu Mohd Nazri Alias dan Norhaiza Samsudin membersih Al-Quran yang dipenuhi lumpur.
Bagi bekas
atlet negara dalam sukan olahraga tahun 70-an, Rus Mat Ali yang menetap di
Kampung Gajah Mati, Mentakab, Pahang, terpaksa reda nasib menimpa dia
sekeluarga apabila banyak barangan rumah rosak digenangi air banjir.
Beliau yang disantuni sukarelawan pusat jagaan berkenaan untuk membersihkan timbunan pakaian yang dikotori lumpur sungai sebelum dihantar ke kedai dobi untuk dibasuh dengan sempurna melahirkan rasa terharu dengan bantuan yang dihulurkan itu. - KitaReporters
Mohiadin Bahado (kiri) bersama-sama sukarelawan PJNH dan PJMM membersih pakaian keluarga Rus Mat Ali yang diseliputi lumpur.