Seni & Sukan 12 Dec, 2020

Menakjubkan! Penduduk buat penahan ombak dengan kayu, pasir!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

PENDUDUK Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus, Terengganu bertindak dengan mengambil langkah bergotong royong membina benteng penahan ombak sepanjang kira-kira 200 meter yang diperbuat daripada kayu gelam dan pasir diisi ke dalam guni untuk mencegah ombak melanda dan menghanyutkan kawasan perkuburan kampung itu. : KitaReporters


SEBAHAGIAN penduduk yang terlibat gotong royong benteng pemecah ombak di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus, Terengganu pada 11 Disember 2020.


Lagi kisah-kisah berkaitan ombak:

https://kitareporters.com/search?search=ombak 


Usaha itu adalah sebagai langkah untuk mengatasi serta menyelamatkan kawasan perkuburan berkenaan yang berusia lebih 100 tahun itu daripada dihanyut ombak besar terutamanya pada musim tengkujuh. 

Kawasan Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Pengkalan Maras itu kini semakin hampir dengan pantai dan ia menempatkan kira-kira 600 kubur penduduk yang disemadikan di tanah perkuburan itu sejak dari dulu lagi. 



Bak kata perpatah orang-orang tua, kalaulah tiada rotan, akar pun berguna juga untuk menyempurnakan sesuatu perkerjaan sebagai mengatasi masalah tersebut walaupun ia tidak sempurna dengan sepenuhnya sebelum kerajaan membina benteng pemecah ombak baharu. 

BAZLAN Abdul Rahman sedang mengisi pasir ke dalam guni sebagai benteng penahan ombak. 


Pada Jumaat 11 Disember 2020, kira-kira 100 penduduk Kampung Pengkalan Maras bermuafakat untuk menjalankan kerja secara gotong royong bagi memacak kayu gelam dan meletak guni berisi di sepanjang kawasan tanah perkuburan untuk mencegah hakisan ombak. 

Sekiranya gotong royong seumpama itu tidak dilakukan, kawasan perkuburan berkenaan akan musnah akibat ombak besar dan keranda serta batu nisan  yang berada di situ akan hanyut dibawa arus ke laut.


BAZLAN Abdul Rahman (baju biru) sedang memikul kayu gelam bersama Shaharizukirnain Abdul Kadir (baju merah) sempena program gotong royong di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus, Terengganu pada 11 Disember 2020.


BAZLAN (kiri) mengangkat kayu gelam bersama Shaharizukirnain untuk dipancak di pantai Pengkalan Maras, Kuala Nerus.


Seorang penduduk, Rosli Omar, 55, ketika ditemui berkata usaha sedemikian sebagai langkah alternatif penduduk kampung terbabit untuk menyelamat kawasan tanah perkuburan daripada ditelan zaman begitu sahaja. 

Menurut beliau, beberapa tahun lalu kawasan hakisan pantai di kawasan itu tidak begitu teruk tetapi ombak besar yang melanda baru-baru ini menyebabkan kawasan pesisir pantai semakin membimbangkan kerana ia hampir dengan tanah perkuburan itu. 

``Sekiranya penduduk kampung tidak berbuat penghadang ombak secara itu kemungkinan kawasan kubur itu akan musnah kerana musim tengkujuh dan ombak besar masih berlaku lagi pada bulan Disember 2020 ataupun bulan Januari 2021. 


ROSLI OMAR


``Projek yang dilaksanakan hari ini adalah untuk sementara sahaja kerana kerajaan akan membina benteng penahan ombak di kawasan itu dan ia akan dilaksanakan dijangka pada bulan Febuari atau Mac 2021,’’ katanya ketika ditemui pada hari ini, Sabtu 12 Disember 2020. 

Sempena dengan program gotong royang yang dibantu dengan sebuah jentera kaut, penduduk kampung telah menyediakan 300 guni berisi pasir dan 350 batang pokok gelam untuk dibuat sebagai benteng penghadang ombak di situ. 



Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir hadir  pada program gotong royong tersebut.  

Kedua-dua pemimpin masyarakat itu turut bersama memikul beberapa batang kayu gelam untuk dibawa ke lokasi benteng ombak itu.

Bazlan  begitu bangga dengan sikap serta kerjasama golongan tua dan muda dalam kalangan penduduk kampung terbabit bagi mengatasi masalah kawasan kubur itu daripada hakisan ombak jika berlaku musim tengkujuh pada masa akan datang.

``Syabas dan terima kasih banyak-banyak kepada penduduk  yang terlibat. Semoga usaha mereka  yang baik itu untuk menyelamatkan kubur sanak saudara, ibu bapa dan nenek moyang kita yang berada di situ akan mendapat ganjaran daripada Allah,’’ katanya. - KitaReporters

2
1
0
1
0
You will be interested