Seni & Sukan 24 Nov, 2021

Video| Kontroversi Terengganu lawan JDT! Pengadil jangan takut! Guna kuasa diberi! - Subkhiddin

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Tuan Mohd Yassin Mohd Hanafiah (tengah) pengadil yang ditugaskan mengadili perlawanan antara Terengganu menentang JDT pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia. - Kredit foto: Terengganu FC


Pengadil yang diberi tanggungjawab mengendalikan sesuatu perlawanan tidak patut berasa takut untuk membuat keputusan sebaliknya perlu menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka dengan berani serta bijaksana.

Pandangan ini disuarakan oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Subkhiddin Mohd Salleh sebagai mengulas kontroversi mutu pengadilan yang dianggap lemah membabitkan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Isnin, 22 November, 2021.

Subkhiddin yang kini merupakan tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), berkata, berdasarkan beberapa footage yang dihantar kepadanya, beliau mengakui memang terdapat kelemahan dalam beberapa keputusan pengadil.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pengadil

Subkhiddin Mohd Salleh. Kredit foto: BH Online


“Saya tidak boleh mengulas panjang lebar berkaitan isu ini kerana secara jujurnya saya tidak sempat menonton perlawanan itu secara keseluruhan kerana terlalu sibuk.

“Tapi, ada yang menghantar footage beberapa insiden dalam perlawanan itu dan meminta saya memberi pandangan. Selepas menonton sedutan itu, saya akui memang ada beberapa keputusan pengadil yang dianggap lemah dan boleh dipertikaikan.

“Begitu pun, adalah tidak adil untuk saya menyatakan bahawa mutu pengadilan pada perlawanan itu adalah lemah kerana saya tidak menontonnya secara keseluruhan. Mungkin, selain insiden yang dinyatakan, dalam sebahagian besar perlawanan itu pengadil menunjukkan prestasi memuaskan.

“Tapi, biasalah, sebagai pengadil, anda perlu menerima hakikat bahawa 70 peratus kecemerlangan yang anda tunjukkan sepanjang perlawanan akan dimuasnahkan oleh 30 peratus kesilapan yang anda lakukan.

“Sebab itu, pengadil perlu konsisten dari minit pertama perlawanan hingga ke wisel penamat. Seorang pengadil yang bagus, dia boleh mengendalikan apa sahaja situasi sepanjang perlawanan.

“Kita kena ingat, emosi pemain berubah mengikut keadaan yang kadangkala mencetuskan provokasi, kekasaran atau pergaduhan. Jadi, pengadil juga perlu mengubah corak pengadilan mengikuti situasi, ada masa boleh berlembut dan ada masa perlu bertegas,” ujar Subkhiddin.


Aksi menarik perlawanan Terengganu-JDT pada separuh akhir pertama Piala Malaysia yang berkeputusan seri 1-1. - Kredit foto: MFL


Mengenai tanggapan peminat bahawa pengadil terlalu takut untuk menjatuhkan hukuman ke atas pemain daripada sesetengah pasukan, Subkhiddin menegaskan ia tidak patut berlaku.

“Jika ini benar-benar berlaku, ia adalah sesuatu yang menyedihkan kerana sebagai pengadil, anda sudah diberi kuasa mutlak untuk mengendalikan perlawanan tanpa perlu dipengaruhi oleh sebarang sentimen.

Jangan takut, jangan risau untuk membuat keputusan walaupun ia mungkin tidak disenangi sesetengah pihak. Kalau anda perlu hukum pemain itu atas kesalahan dilakukannya, hukumlah tanpa rasa takut.

Kalau anda takut dan melepaskan pemain itu, anda bukan sahaja akan dicemuh penyokong malah turut tidak dihormati pemain.  Akhirnya ia akan menyebabkan anda tidak mampu mengawal perlawanan atau akan mencetuskan insiden lebih buruk. Oleh itu pengadil perlu gunakan kuasa yang diberi kepada mereka tapi secara bijak dan adil, bukannya dengan cara yang salah,” katanya.

Pada masa sama Subkhiddin berharap isu mutu pengadilan yang sering diperkatakan kebelakangan ini perlu dijadikan ‘wake up call’  oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“FAM perlu mencari jalan untuk mempertingkatkan kualiti pengadilan kerana perkara ini (kelemahan pengadil) sudah berulang kali terjadi. Mungkin mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar tapi ia mesti dilakukan,” ujar Subkhiddin.


Insiden membabitkan pemain pertahanan JDT, Shane Lowry dan penyerang Terengganu, Jordan Mintah yang mencetuskan kontroversi.


Mutu pengadilan Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah yang mengendalikan perlawanan Terengganu-JDT pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu pada Isnin, 22 November, 2021 menjadi sorotan utama selepas kedua-dua pasukan seri 1-1. Ia ekoran beberapa insiden yang jelas mendedahkan kelemahan pengadil dalam menangani situasi serta membuat keputusan.

Dalam insiden pertama yang berlaku pada minit ke-70, pemain pertahanan JDT, Shane Lowry jelas cuba ‘menyerang’ Jordan Mintah yang sudah terjatuh selepas persaingan mereka di depan pintu gol Terengganu.

Pemain import Australia itu kemudian menolak penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin yang cuba menenangkannya sehingga pemain itu turut jatuh. Walau bagaimana pun, pengadil tidak mengenakan sebarang tindakan ke atas Lowry.


Pemain JDT, Naxto Insa tidak dikenakan sebarang hukuman walaupun menyepak bola sebagai memprotes keputusan pengadil.


Pada insiden kedua pula yang membabitkan pemain kacukan Malaysia-Sepanyol, Naxto Insa, Yassin sekali lagi dilihat tidak tegas apabila sekadar memberi amaran lisan apabila pemain JDT itu sengaja menyepak bola sebagai tanda protes selepas pengadil memberi sepakan percuma kepada Terengganu ekoran kekasaran dilakukannya. Mengikut peraturan, kesalahan sedemikian sepatutnya dilayangkan kad kuning. 

Kejadian ketiga pada penghujung perlawanan mungkin yang paling ketara Insa jelas dengan sengaja melakukan kekasaran dengan melanggar seorang pemain Terengganu dan ia merupakan kesalahan yang sepatutnya diberikan kad kuning. Tapi, sekali lagi Yassin sekadar memberi sepakan percuma kepada Terengganu.

Pada April 2020 lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM telah menjatuhkan penggantungan dua perlawanan dan denda RM10,000 kepada Insa berikutan tindakannya menolak pengadil dalam satu perlawanan.

Namun dia hanya digantung satu perlawanan dahulu dan penggantungan satu perlawanan lagi ditangguh sekiranya didapati sekali lagi mengulangi kelakuan yang tidak bersemangat sukan berkuatkuasa serta merta.


Ketidaktegasan pengadil menangani insiden ini mencetuskan kemarahan penyokong Terengganu.


Ketidaktegasan Yassin bukan sahaja mengundang kemarahan penyokong Terengganu malah turut mendapat teguran pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Tunku Ismail mengakui, mutu pengadilan pada aksi itu memang buruk malah berkata isu pengadilan teruk bukan sahaja berlaku dalam permainan tersebut, malah kebanyakan perlawanan Liga Malaysia (Liga M), dan ia terjadi setiap tahun.

Ref (pengadil) teruk. Bukan game (perlawanan) ini sahaja. Majority (Kebanyakan) games (perlawanan) setiap tahun. Sabah lwn (lawan) Terengganu, JDT lwn Kelantan, Negeri Sembilan lawan Sarawak dan lain lain. Setiap tahun benda yang sama. Kami perlu improvement (penambahbaikan) dan FAM mesti ambil tindakan,” tulis Tunku Ismail menerusi akaun Twitter.




Dalam perlawanan separuh akhir pertama itu, Terengganu dan JDT seri 1-1. Sementara itu dalam satu lagi aksi separuh akhir, tuan rumah, Kuala Lumpur City turut diikat 1-1 oleh Melaka United.

Keempat-empat pasukan akan membuat perhitungan separuh akhir kedua pada Khamis, 25 November, 2021 bagi menentukan pasukan ke pentas final yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 November, 2021. – KitaReporters


Mintah dan Lowry saling bersaing sepanjang perlawanan sehingga mencetuskan insiden yang menjadi kontroversi. - Kredit foto: Terengganu FC

 

8
10
0
11
2
You will be interested