Seni & Sukan 11 Apr, 2022

Keluarga Malaysia beri cermin mata percuma! Warga emas dapat membaca, bertadarus! Barulah nampak!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


APABILA keadaan kita yang semakin dimamah usia dan dikategori pula sebagai warga emas serta menghadapi masalah pelbagai penyakit termasuk tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung secara tidak langsung memberi kesan kepada penglihatan.

Pada Ramadan penuh keberkatan ini menjadi gangguan pula kepada mereka untuk bertadarus secara bersendirian atau berkumpulan di surau atau masjid apabila penglihatan menjadi kabur dan sukar untuk membaca al-Quran

Sebagai inisiatif bermanafaat dan membantu warga emas khasnya mengatasi masalah itu, Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat, Johor, mengadakan program mengedarkan cermin mata percuma kepada mereka yang berumur antara 40 tahun dan 90 tahun, di Pasar Tani Jalan Omar, Batu Pahat, Johor, pada 7 April 2022 lalu. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan cermin mata

Hamidi Mat Tap bersama-sama ratusan cermin mata sumbangan dermawan yang diberi percuma kepada warga emas.


Pengerusi biro berkenaan, Hamidi Mat Tap, berkata langkah itu diambil bagi membantu dalam kalangan warga emas apabila ada antara mereka yang tidak berkemampuan membeli cermin mata bagi digunakan untuk membaca serta melaksanakan tugas seharian.

Menurutnya, berkebetulan pula pada Ramadan sekarang cermin mata itu amat diperlukan warga emas terbabit yang menghadapi masalah penglihatan apabila menyertai program tadarus al-Quran di surau, masjid atau bersendirian di rumah.

Jelasnya, program itu juga atas cadangan pelbagai peringkat ahli UMNO bahagian itu yang menyuarakan keprihatinan mereka terhadap warga emas yang menghadapi masalah penglihatan apabila hendak melakukan tugas harian termasuk ketika membaca al-Quran.


Suraya Abdul Kahar (dua dari kiri), Hamidi dan ahli Nona Penggaram menunjukkan contoh cermin mata yang diberi percuma.


“Apabila program ini diuar-uarkan dalam kalangan ahli UMNO, ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seorang dermawan bersetuju menyediakan cermin mata untuk diagihkan secara percuma kepada warga emas yang memerlukan.

“Seawal jam 9 pagi pada hari berkenaan ramai warga emas menyerbu gerai yang mengedarkan secara percuma cermin mata ini dan mereka diberi kesempatan untuk memilih cermin mata yang bersesuaian dengan masalah penglihatan yang dialami,” kata Hamidi yang juga Ketua Kampung Parit Jorak Elahi.

Pelbagai ahli NGO seperti Nona Penggaram, Happy Care dan sebagainya turut turun padang untuk memberi nasihat dan membantu warga emas memilih cermin mata yang bersesuaian.


Warga emas memilih cermin mata diedarkan secara percuma oleh Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat, Johor, di Pasar Tani Jalan Omar pada 7 April 2022.


Menurut Hamidi, program edaran percuma cermin mata itu adalah kali pertama diadakan dan mendapat sambutan luar biasa daripada warga emas sekitar daerah berkenaan yang berasa terharu dengan pihak yang prihatin dengan masalah penglihatan mereka. 

Beliau berkata, bagi sesetengah warga emas itu yang bekerja sendiri dengan punca pendapatan tidak menentu memang menjadi beban kepada mereka membeli atau menempah cermin mata yang bersesuaian dengan tahap penglihatan.

“Apabila dimaklumkan ada pihak yang akan mengedarkan secara percuma cermin mata, mereka ini tidak segan untuk datang seawal pagi bagi mendapatkan cermin mata sambil membeli belah di pasar tani untuk keperluan pada Ramadan,” katanya.


Ahli Nona Penggaram membantu warga emas memilih cermin mata yang bersesuaian dengan masalah penglihatan mereka.


Pengerusi Nona Penggaram, Suraya Abdul Kahar, berkata beliau bersama-sama ahli dan NGO lain membantu mengedarkan hampir 500 cermin mata kepada warga emas pada hari berkenaan yang rata-rata melahirkan kesukaran penglihatan apabila hendak bertadarus. 

Tambahnya, selain itu warga emas terbabit juga melahirkan kepayahan mereka membeli cermin mata apabila harga agak mahal dan mereka pula tidak mempunyai pendapatan tambahan kerana sebahagian besarnya bekerja kampung.

“Kami ahli NGO turut berasa gembira dan terharu dengan kesediaan dermawan menghulurkan sumbangan bagi mendapatkan cermin mata berkenaan yang turut membantu dalam kalangan warga emas wanita untuk membaca serta urusan kerja mengambil upah menjahit pakaian,” katanya. - KitaReporters


Suraya membantu seorang warga emas wanita mencuba cermin mata yang bersesuaian.

________________________________

33
13
1
13
0
You will be interested