Seni & Sukan 16 Nov, 2025

Video| Ziarah Madani! Santuni Bapa Animasi Malaysia, Hassan Muthalib! Penerima Anugerah Khas Karyawan!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM34) pada Sabtu, 1 November 2025 lalu yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur telah diperkenal satu anugerah baharu iaitu Anugerah Khas Karyawan. 



Penerima pertamanya ialah Hassan Abdul Muthalib, 80,  Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Hassan dikenali sebagai ‘Bapa Animasi Malaysia’ kerana menjadi perintis utama dalam dunia animasi dan sinema negara. 

Kerana tidak sihat memandangkan sedang dirawat di sebuah hospital  kerana perlu menjalani pembedahan  pemulihan vertebra pada Rabu, 5 November 2025. Trofi anugerah itu diambil oleh dua anaknya.

Kerana tidak hadir di majlis gemilang itu dan setelah Hassan selesai menjalani pembedahan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) melakukan ziarah madani ke atas ‘Bapa Animasi Malaysia’ di rumahnya di Pandan Jaya, Kuala Lumpur pada Khamis, 13 November 2052.

Selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran;  dan Ahli Perbadanan FINAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Rozaidi Abd Jamil atau Zed Zaidi.



Dan Hassan terkejut dan tergamam apabila melihat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut menyertai rombongan itu dan menyampaikan sumbangan wang tunai dan beberapa barangan. Mereka berbual secara santai.



Pemilihan Hassan sebagaI pemenang pertama Anugerah Khas Karyawan memang tepat dan dia memang layak diberi gelaran ‘Bapa Animasi Malaysia’. 

Dia adalah animator, pelukis, pengarah filem animasi, pengkritik filem dan penulis. 

Hassan dilahirkan pada 3 November 1945, di Alor Setar, Kedah, tetapi dibesarkan di Pulau Pinang. Dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah George Town, Pulau Pinang.

Semasa zaman persekolahannya, dia aktif dalam seni lukisan dan kurang berminat membaca. 

Hassan berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1964 ketika berusia 19 tahun dan bekerja di Gedung Beli-belah Robinson di mana dia bergiat aktif dalam seni komersial. 

Empat tahun kemudian, iaitu pada 1968, dia menyertai Filem Negara Malaysia (FNM) sebagai pelakar tajuk filem, seterusnya menghasilkan animasi.



Hassan menghasilan animasi pendek untuk Filem Negara termasuk ‘Bunuhlah Nyamuk Aedes’, ‘Jimatkan Elektrik’ dan ‘Silinder Gas’. 

Hassan diberi kepercayaan menghasilkan animasi ‘Sang Kancil’ yang bersiaran di RTM pada 1980-an. Animasi ‘Sang Kancil’ dianggap animasi pertama Malaysia.

Dia menamatkan kerjayanya di FNM pada 1995 selepas berkhidmat selama 27 tahun.

Pada 1998, Hassan mengarahkan filem animasi pertama Malaysia, ‘Silat Lagenda’ yang mula ditayangkan pada 27 Ogos 1998.

Hassan turut mengarang buku bertajuk ‘Malaysian Cinema in a Bottle’ (Pawagam Malaysia di dalam Botol) yang diterbitkan pada 2014.

Dua tahun kemudian, Hassan mengarang buku keduanya, ‘From Deer Mouse to Mouse: 70 Years of Malaysian Animation’ yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-70 animasi Malaysia.


Pada 3 September 2018, Hassan bersama-sama Tokoh Akademik, Khoo Kay Kim terpilih sebagai penerima Anugerah Merdeka 2018 yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Hassan turut menerima sejumlah anugerah lain. Antaranya Bapa Animasi Malaysia (2012), Perintis Animasi Asia, Ikon Animasi Kolej Komuniti (2010), Kesan Khas Terbaik (1990), Tokoh Seni Dalam Buku Pendidikan Seni Sekolah Tingkatan 1,  Anugerah Juri Dokumentari Terbaik (1989) dan Anugerah Seri Angkasa 1983. 

Hassan bapa kepada tiga anak. Dua anak lelakinya, Samad Hassan dan Ahmad Hassan, juga terlibat dalam animasi.

Sementars itu FINAS, merancang untuk menerbitkan semula karya dan buku ilmiah Hassan bagi memastikan warisan beliau terus menjadi rujukan kepada penggiat filem dan animasi tempatan.

Fahmi berkata, karya Bapa Animasi Negara itu akan ditempatkan sebagai koleksi di perpustakaan FINAS bagi membolehkan produser, pengarah dan penggiat industri lain mengakses serta mempelajari teknik, idea dan pengalaman Hassan dalam pembikinan filem dan animasi. - KitaReporters



Antara karya seni Hassan Mutalib

  1. Hapuskan Nyamuk Aedes: Gunakan Ubat Jentik-Jentik (1977) 
  2. Selamat Hari Natal (1979) 
  3. Ikuti Peraturan Penggunaan Gas Memasak (1981)  
  4. Hikayat Sang Kancil (1983)  
  5. Mekanik (1983) 
  6. Hikayat Sang Kancil dan Monyet (1984)
  7. Gagak Yang Bijak (1985) 
  8. Singa Yang Haloba (1986) 
  9. Arnab Yang Sombong (1986) 
  10. Hikayat Sang Kancil dan Buaya (1987)
  11. Jagalah Kebersihan Tandas (1987)
  12. Hormatilah Tangki Gas Anda (1987) 
  13. Mat Gelap (1990)
  14. Silat Lagenda (filem animasi; 1998)
  15. At the End of Daybreak (2009) 
  16. Zombiku Zombimu Jua (sisipan dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah; 2010) 
  17. Return to Nostalgia (2015)
  18. The Unsung Hero - Mat Sentol (2016) 
  19. Thottam: The Garden (2017) 
  20. SEA Director Focus (2017)
  21. Kicklip (2020)


7
10
0
12
0
You will be interested