Trofi yang menjadi rebutan dunia itu kembali singgah di Malaysia dalam Siri Jelajah Trofi Piala Dunia menjelang edisi 2026, sekali gus membangkitkan nostalgia serta menyuntik inspirasi baharu kepada peminat, pemain dan seluruh ekosistem bola sepak tempatan.Malaysia bertuah apabila dipilih sebagai antara 30 negara daripada 211 persatuan ahli Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menerima kunjungan eksklusif ini.Malah ia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang disinggahi, satu pengiktirafan tidak langsung terhadap kecintaan rakyat negara ini terhadap bola sepak.Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu menyifatkan detik itu sebagai bersejarah, khususnya buat generasi muda yang hanya mengenali Piala Dunia melalui skrin televisyen.
“Trofi ini akan melawat 30 negara melibatkan 75 perhentian sepanjang 150 hari penjelajahan di seluruh dunia. Sukacita dimaklumkan Malaysia adalah negara pertama Asia Tenggara yang menerima kunjungan trofi ini,” katanya ketika berucap pada siri jelajah trofi berpretij itu di Subang pada Rabu, 21 Januari 2026.

Gilberto turut menegaskan bahawa sokongan padu peminat dan kepercayaan terhadap proses pembangunan adalah elemen penting dalam membina pasukan yang lebih kukuh dan berdaya saing.
“Bola sepak adalah kerja keras untuk semua pihak. Apabila kita saling menyokong, segalanya menjadi lebih mudah. Kekalahan juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran,” jelasnya.

Pandangan Gilberto itu selari dengan realiti bola sepak Malaysia yang sedang melalui fasa pembinaan semula, khususnya pada peringkat akar umbi dan pembangunan pemain muda.
Di sinilah peranan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menjadi tumpuan menerusi pelantikan Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal baharu membawa harapan segar terhadap hala tuju jangka panjang bola sepak negara.
Kim Swee secara terbuka menyatakan impiannya untuk melihat pasukan bawah umur Malaysia layak ke Piala Asia dan seterusnya Piala Dunia, khususnya Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17).
“Matlamat utama kita adalah untuk layak ke Piala Dunia B-17. Ia memerlukan perancangan jangka pendek, pertengahan dan jangka panjang,” katanya.
Namun persoalan utama yang timbul ialah, sejauh mana impian itu realistik dalam konteks semasa bola sepak Malaysia yang masih bergelut di peringkat Asia Tenggara?
Kim Swee sendiri mengakui cabaran tersebut, sambil menekankan keperluan memperbaiki bukan sahaja aspek teknikal, tetapi pemikiran dan keupayaan membuat keputusan pantas dalam kalangan pemain muda.
“Dalam bola sepak moden, keputusan ketika permainan adalah perkara paling penting. Kita perlukan pemain yang berfikir pantas dan matang,” katanya.
Langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil alih peranan teknikal NFDP dengan sokongan pentadbiran oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dilihat sebagai usaha strategik untuk menyelaraskan pembangunan bakat secara lebih profesional dan berimpak tinggi.

Dalam konteks ini, kehadiran trofi Piala Dunia ke Malaysia mampu menjadi pemangkin psikologi -- satu peringatan visual bahawa pentas tertinggi bola sepak dunia bukan sesuatu yang mustahil, tetapi memerlukan kesabaran, konsistensi dan disiplin jangka panjang.
Bagi generasi muda, melihat trofi sebenar yang diangkat oleh legenda dunia boleh menjadi titik tolak untuk menanam impian lebih besar, bukan sekadar bercita-cita bermain di peringkat domestik.
Namun inspirasi sahaja tidak mencukupi tanpa pelaksanaan yang konsisten, struktur liga remaja yang kukuh, latihan berkualiti dan ekosistem sokongan menyeluruh.
Sejarah membuktikan bahawa negara yang berjaya di Piala Dunia bermula dengan pelaburan serius pada peringkat akar umbi, sesuatu yang kini cuba diperbetul menerusi NFDP.
Seperti yang ditegaskan Gilberto Silva, kegagalan perlu dijadikan medan pembelajaran, bukan alasan untuk berundur.
“Trofi ini melambangkan harapan dan inspirasi. Ia memberi motivasi kepada pemain dan kanak-kanak, lelaki dan perempuan, untuk mencintai bola sepak dan sentiasa meningkatkan diri,” katanya.
Ironinya, kehadiran trofi Piala Dunia ke Malaysia selepas 12 tahun bukanlah penamat sebuah kisah, tetapi pembuka kepada persoalan lebih besar -- sama ada negara ini benar-benar bersedia menukar inspirasi menjadi realiti.
Impian ke Piala Dunia mungkin masih jauh, tetapi dengan perancangan tersusun, kepimpinan teknikal yang jelas dan kepercayaan kolektif, perjalanan itu sekurang-kurangnya telah bermula. - KitaReporters
