Seni & Sukan 08 Nov, 2025

Penganjur WWC mohon maaf! Tiada acara perlawanan sukan tempur kanak-kanak B-15! Satu kesilapan!

@amirul
Pernah berkhidmat sebagai wartawan. Meminati bidang pertulisan dan akan terus menulis selagi mana ada peluang dan ruang.

Share this

Selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk pekeliling baharu dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS), penganjur Warzone World Championship (WWC) memilih untuk tidak menyenaraikan perlawanan melibatkan kanak-kanak Bawah 15 Tahun (B-15) pada hari kejohanan nanti. 


Foto: WWC


Penganjur sukan tempur WWC, Yusof Azmi menyatakan pihaknya mengambil langkah pantas untuk memastikan segala peraturan dan kekurangan yang ada sebelum ini dapat dipenuhi agar acara itu boleh berlangsung seperti tarikh yang ditetapkan iaitu pada 6 dan 7 Disember 2025.

Malah, bagi memastikan program itu berjalan lancar, WWC juga sudah menghantar surat rasmi kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk pendaftaran. 

Menurut Yusof Azmi, beliau berharap permohonan itu dapat diluluskan dan mendapat khabar baik mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat.

“Untuk makluman, WWC pada awalnya mempunyai kategori khas yang tidak melibatkan perlawanan fizikal berisiko tinggi, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek seni, teknik, dan disiplin bela diri. Penilaian berdasarkan kemahiran teknikal, disiplin dan etika sukan, bukan kemenangan dalam perlawanan.

“Kami ingin menegaskan bahawa WWC menolak sebarang bentuk eksploitasi atau pendedahan berlebihan terhadap kanak-kanak dalam aktiviti berisiko,” katanya pada sidang media pada 8 November 2025.


Penganjur WWC, Yusof Azmi. 


Tambah Yusof Azmi, beliau turut memohon maaf atas kesilapan yang terjadi sebelum ini dan mengakui mereka tersilap langkah sehingga menimbulkan kemarahan segelintir rakyat terutama gimik melibatkan kanak-kanak pada sidang media baru-baru ini.

Susulan kejadian itu, ia mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk KBS dan Menterinya, Hannah Yeoh yang tegas menyatakan semua pihak atau organisasi yang menganjurkan sukan tempur tidak boleh melibatkan atlet B-15 dalam acara sentuhan penuh tanpa pelindung keselamatan dan perlu mengikut peraturan badan pengelola kebangsaan masing-masing.

Ia bertujuan memastikan keselamatan peserta dan mengelakkan salah laku yang boleh memberi mesej kurang baik kepada golongan kanak-kanak mahupun remaja.

Menurut Hannah Yeoh, penyertaan peserta B-15 untuk sukan tempur seperti MMA, kickboxing (tomoi), Muay Thai, dan tinju hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi anjuran Persatuan Sukan Kebangsaan atau Persatuan Sukan Negeri yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

KBS turut memaklumkan, mana-mana penganjur yang ingin mengadakan program pertandingan perlu memohon kelulusan rasmi daripada pihak berwajib dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh kejadian.

Acara WWC 2025 dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 7 Disember 2025 bertempat di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan. Jualan tiket juga kekal tersedia untuk peminat sukan tempur. - KitaReporters

10
9
0
12
0
You will be interested