Seni & Sukan 03 Nov, 2025

Video| Biar Gambar Bicara! Kolaborasi Azharina, Nana! Satukan dua negara dalam irama penuh emosi!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Dua nama hebat dari dua negara serumpun, Azharina Azhar, 40,  dari Malaysia dan Nana Karia, 45, artis versatil dari Singapura, akhirnya bergabung dalam sebuah kolaborasi istimewa menerusi lagu kontemporari pop, jazz & soul penuh emosi berjudul “Biar Gambar Bicara”. 


 


Lagu ini bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga sebuah kisah perjalanan, kepercayaan dan rasa yang telah dibina sejak bertahun lamanya. 

Kerjasama ini bermula sejak hujung tahun 2023 melalui satu panggilan telefon antara mereka. 

Azharina dan Nana sebenarnya telah saling mengenali sejak 2016, namun hanya pada penghujung 2023 mereka berbicara secara serius tentang impian untuk bekerjasama dalam satu projek muzik. 


Kolaborasi antara Azharina Azhar (kanan) dan Nana Karia dari Singapura terjalin buat pertama kalinya.


"Bila Nana cakap dia nak kolaborasi, saya terus rasa ada sesuatu yang kuat dalam lagu ni. Bila saya dengar demo lagu ni, saya terus jatuh cinta.

“Rasa macam lagu ni memang ditulis untuk saya. Kami pertama kali bertemu secara bersemuka pada Disember 2023 di Kuala Lumpur dan dari situ, semuanya berjalan dengan lancar," kata Azharina. 

Sample lagu dihantar sekitar Mac 2024 dan kedua-dua artis memasuki studio rakaman di Kuala Lumpur dalam bulan yang sama. 

Proses rakaman berlangsung dengan penuh keserasian, hasil keakraban yang telah lama terjalin antara mereka. 

Muzik video pula dirakam di lokasi eksklusif iaitu Mandarin Oriental Kuala Lumpur, yang menambah elemen dramatik dan elegan kepada visual lagu ini. 



Menurut Nana Karia, lagu ini adalah lambang keyakinan, kesabaran dan kesungguhan yang akhirnya membuahkan hasil. 

“Saya percaya kalau ada kemahuan, pasti ada jalan. Kami melalui pelbagai proses, dari jarak jauh sehinggalah akhirnya dapat bersatu dalam studio.

“Biar Gambar Bicara merupakan lagu berbentuk realiti kehidupan yang dilalui oleh semua manusia. Saya sangat terharu dapat bekerjasama dengan Azharina, seorang penyanyi yang saya kagumi sejak dulu. Lagu ini benar-benar dekat di hati kami berdua,” ujar Nana yang dikenali dengan jolokan 'Rock Chick' di Singapura. 

Lagu ini merupakan hasil ciptaan Nana Karia sendiri, manakala lirik ditulis oleh Faizal Sapuan. 

Ia diterbitkan oleh gabungan tenaga kreatif dari Jebon Osman, Azharina Azhar dan produksi bersama antara Azharina Entertainment dan Soulitaire Production. - KitaReporters


12
13
0
8
0
You will be interested