Seni & Sukan 07 Sep, 2025

Bakat muda menyinar! Kejohanan Golf Remaja Pahang cungkil permata tersembunyi! Jadi bintang golf!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Kejohanan Golf Remaja Pahang 2025 bagi merebut Piala Tengku Arif Bendahara Pahang bukan sekadar pentas persaingan, tetapi medan melahirkan bintang baharu apabila Muhammad Afiq Darwisy dan Farisha Adila muncul juara kategori lelaki dan perempuan bawah 18 tahun (B-18).



Persembahan cemerlang kedua-dua remaja itu membuktikan bahawa bakat muda dari Pahang terus menyinar dan berpotensi ke peringkat lebih tinggi.

Bagi Afiq, kemenangan itu adalah detik paling bermakna dalam karier mudanya.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur. Walaupun agak gementar di awal permainan, saya cuba kawal diri dan akhirnya segalanya menjadi,” katanya dengan penuh teruja.

Farisha pula tidak dapat menyembunyikan rasa terharu selepas dinobatkan juara.

Saya tak sangka mampu menewaskan peserta lain kerana mereka semua sangat hebat. Saya hanya cuba bermain dengan tenang dan nikmati permainan,” ujarnya yang mengakui ini adalah kejayaan terbesar dalam hidupnya setakat ini.

Kemenangan mereka bukan sahaja memberi keyakinan baharu buat diri masing-masing, malah menjadi bukti bahawa sukan golf semakin mendapat tempat dalam kalangan remaja Pahang. 



Dengan dedikasi dan latihan berterusan, Afiq dan Farisha diyakini mampu melangkah lebih jauh ke pentas kebangsaan, malah antarabangsa.

Kategori bawah 14 tahun menyaksikan kebangkitan Julius Lee Wei Xuan dan Nur Mysara, manakala kategori bawah 11 tahun diungguli oleh Muhamad Harith Luqman dan Pavithirah.

Terdahulu, seramai 64 pemain golf remaja dari seluruh Pahang turun dengan penuh semangat pada kejohanan berkenaan yang berlangsung di Mahkota Golf & Country Club (MGCC), Jalan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang pada 2 September 2025 lalu.

Kejohanan julung-julung kali diadakan itu secara tidak langsung berjaya membuka satu lembaran baharu dalam pembangunan sukan berprestij ini yang juga lebih dikenali sebagai suka 'orang kaya' di negeri ini.


Muhamad Harith Luqman menerima hadiah selepas menjuarai kategori lelaki bawah 11 tahun

Wakil Unit Pembangunan Bakat Murid (Sukan) JPN Pahang, Abdul Rahman Abdullah, berkata usaha itu bukan sahaja mencungkil potensi remaja, tetapi juga memperluas peluang pembangunan golf di negeri Pahang.

"Kejohanan ini bukan sekadar merebut piala semata-mata sebaliknya adalah usaha gigih dan perancangan jitu dalam melahirkan bintang golf negara. 

“Program pembangunan sukan ini sudah ada, cuma ia akan diperluas bagi menyokong perkembangan sukan golf di negeri ini,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah.

Kejohanan yang mendapat kerjasama syarikat swasta MF Niaga Sdn Bhd itu turut diserikan dengan kehadiran Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sekali gus memberi suntikan semangat kepada semua peserta.


Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bergambar bersama pemain di Kejohanan Golf Remaja Pahang 2025.


Dengan kejohanan sulung ini, Pahang seakan-akan membuka pintu menuju masa depan, di mana barisan remaja berbakat ini mungkin suatu hari nanti akan mengibarkan Jalur Gemilang di kejohanan antarabangsa.

Semoga kejohanan itu terus jadi batu loncatan dalam melahirkan bintang golf negara. Syabas diucapkan kepada semua 'golfer' berbakat. - KitaReporters

10
9
0
9
0
You will be interested