Seni & Sukan 18 Jan, 2026

Video| Jawab kontroversi! Jika konsert saya tak diperkata, Itu lebih membimbangkan! - Siti Nurhaliza

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Di sebalik kejayaan konsert mega, “Legacy 30 Siti Nurhaliza’ yang mencipta sejarah apabila berjaya menghimpunkan hampir 65,000 penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil tenang namun tegas menjawab pelbagai kritikan dan polemik yang tercetus selepas persembahan tersebut.



Biduanita Negara itu mengakui, sebagai figura besar dalam industri, setiap langkahnya pasti menjadi perhatian dan tidak terlepas daripada penilaian umum termasuk kritikan.

“Dalam industri hiburan, apabila sesuatu konsert diberi perhatian, dinilai dan diperkata, itu bermakna ia diambil berat. 

"Jika saya buat konsert tetapi tiada siapa bercakap mengenainya, itu yang sebenarnya membimbangkan,” kata Siti ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-47 dan apresiasi media, berlangsung di Dewan Monstera, Forest Valley Cheras pada malam 16 Januari 2026 yang dihadiri sepenuhnya pengamal media tempatan sahaja.

Siti menegaskan bahawa kritikan bukan lagi sesuatu yang mampu menggugat emosinya.

“Selepas 32 tahun dalam industri, saya telah melalui cabaran yang jauh lebih besar daripada ini. Jadi semua ini tidak menjadi isu buat saya. 

"Saya sedar mustahil untuk memuaskan hati semua orang,” katanya sambil menambah kematangan membolehkannya menilai setiap pandangan secara rasional.



Mengulas kritikan terhadap pelbagai aspek konsert, Siti berkata beliau memilih untuk bersikap selektif.

“Yang baik saya ambil, yang membina saya perhalusi. Tetapi komen yang tidak berlandaskan pemahaman sebenar, saya pilih untuk abaikan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa polemik berpanjangan tidak membawa manfaat dalam industri hiburan tempatan yang bersifat kecil dan saling mengenali antara satu sama lain.

Apabila disentuh mengenai isu-isu sensitif yang turut diperkatakan oleh segelintir pihak, Siti memilih untuk tidak memperbesarkan perkara tersebut.

“Perkara berkaitan agama sangat sensitif. Setiap orang ada tujuan dan perjalanan masing-masing. Saya tidak mahu mengulas secara panjang lebar,” jelasnya.

Menurutnya, beliau menyerahkan segala penilaian kepada Allah SWT dan berdoa agar setiap urusan dipermudah.

Berkongsi kepuasan terhadap konsertnya, Siti menyifatkannya sebagai cabaran besar namun berjaya direalisasikan dengan baik. 

“Sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung, respons penonton amat memberangsangkan. Mengumpulkan hampir 65,000 penonton bukanlah sesuatu yang mudah, begitu juga mengekalkan respons positif pada setiap segmen persembahan.

"Alhamdulillah, kami berjaya melaksanakannya dengan baik,” ujar Siti.

Siti menekankan bahawa setiap segmen dalam persembahan beliau -- daripada balada, muzik tarian, tradisional hingga persembahan lain -- diberi perhatian yang sama.

“Tiada segmen nombor satu, kedua atau ketiga. Setiap segmen mempunyai identiti dan keistimewaannya sendiri supaya penonton dapat mengenali dan merasai kelainan dalam setiap fasa persembahan,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa konsert beliau mendapat perhatian bukan sahaja daripada peminat tempatan, malah mereka yang biasa menonton konsert antarabangsa turut kagum dengan susun atur pentas, set persembahan, serta paparan LED yang melebihi apa yang pernah mereka saksikan sebelum ini. 

“Perkara ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu penanda aras untuk industri muzik tempatan. Kita juga mampu menghasilkan produksi bertaraf dunia,” ulasnya.



Walaupun berdepan kritikan, Siti menegaskan fokus utamanya kini adalah memperkukuh legasi dan masa depan industri muzik tempatan di bawah labelnya, SN Legacy, contohnya Umai dan terbaharu Auddra atau Oddah.

“Bagi Umai, saya melihat potensi yang besar dalam dirinya. Dia telah membuktikan bahawa dia mampu berdiri dengan bakatnya sendiri melalui beberapa pencapaian yang telah dicapai. 

"Apa yang diperlukan kini ialah perancangan strategik untuk memastikan kejayaannya pada masa hadapan. 

“Namun, Umai masih perlu menumpukan perhatian kepada pelajarannya, terutama SPM tahun depan. Selepas itu, kami akan melangkah lebih jauh dalam perancangan kerjaya seni beliau," tambah Siti.

Manakala bagi Auddra pula, kata Siti, dia mempunyai keistimewaan tersendiri. Walaupun bukan penyanyi yang hebat dari segi vokal, karakter dan personalitinya membuatkan orang tertarik untuk melihat dan mengikuti gelagatnya. 

“Muzik yang sesuai dengan diri Auddra juga telah dikenal pasti, dan Insya-Allah perjalanan beliau sebagai anak seni di bawah SN Legacy akan bermula tidak lama lagi,” ujar Siti sambil memaklumkan akan terus mencari bakat-bakat baharu untuk dibimbing termasuk mengadakan konsert artis-artis lain pada masa hadapan.



Mengulas soal persaraan, Siti mengakui tidak pasti sampai bila mampu terus menyanyi.

“Selagi diberi kemampuan, saya akan terus berkarya. Namun seperti semua insan lain, suatu hari nanti saya juga akan berehat,” katanya, sambil menyifatkan waktunya itu sebagai rahsia.

Sekalipun suatu hari nanti beliau tidak lagi aktif menyanyi, Siti percaya legasi itu sudah wujud. 

“Atas sebab itu juga, saya menyiapkan karya-karya ini sebagai satu warisan, supaya selepas ini saya dapat terus menyumbang dengan mengurus dan membimbing artis, serta menyokong penerbitan album artis-artis lain. 

"Itulah bentuk sumbangan yang saya harapkan dapat diteruskan demi kelangsungan industri muzik kita,” ujarnya panjang lebar.


Majlis turut dimeriakan dengan sesi karaoke oleh pihak media.


Beliau juga mengesahkan perancangan untuk kembali mengadakan konsert tradisional berskala lebih besar serta tidak menafikan ada perancangan untuk konsert di Indonesia apabila masanya sesuai untuk memperluas lagi penglibatannya  di sana namun ia memerlukan perbincangan dan persediaan yang lebih rapi, terutama dari segi promosi, kerana generasi muda di sana perlu masa untuk mengenali dirinya lebih mendalam.

Akhir kata mengulangi kerjayanya kata Siti, “Saya telah melalui perjalanan seni sejak usia muda. Ujian dan kritikan sentiasa ada. Ia bukan beban, sebaliknya menguatkan prinsip dan ketenangan saya," sekali gus mencerminkan bahawa kematangan, ketenangan dan keyakinan diri adalah kekuatan sebenar seorang legenda yang bernama Siti Nurhaliza Tarudin dalam usia 47 tahun ini. - KitaReporters


Bersama sebahagian daripada pengamal media yang hadir.

9
10
0
18
0
You will be interested