Seni & Sukan 09 Sep, 2022

Apa nak jadi? Aaron Aziz runsing fikir masa depan anak-anak! Kos hidup tinggi! Fitnah media sosial!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Setiap zaman mempunyai cabaran hidup tersendiri. Jadi, jangan sesekali beranggapan zaman anda adalah yang paling mencabar. Cabaran dan ujian setiap zaman itu sama cuma caranya berbeza.

Pada zaman kini atau lebih dikenali sebagai zaman serba moden dengan pelbagai teknologi dan pembangunan, ia bukan jaminan bahawa anda terkecuali daripada melalui cabaran dan ujian hidup.

Kegetiran datang dari pelbagai sudut. Paling ketara, terpaksa berdepan dengan kos hidup yang semakin meningkat. Ini bermakna, anda kena memerah keringat dan tenaga untuk bersaing demi menyara hidup.

Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelakon Aaron Aziz

Sebagai isteri, Diyana Halik banyak membantu Aaron menguruskan rumah tangga.


Itu dari segi ekonomi. Bagaimana pula dari segi sosial? 

Perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat seperti media sosial membuka pekung perilaku manusia. Kalau bijak menggunakannya, maka positiflah ia. Namun sebaliknya, maka pincanglah ia. 

Hakikatnya, media sosial sering disalahgunakan untuk mengadu domba dan menyebarkan fitnah. Pahit untuk ditelan, tetapi itukah hakikat yang terpaksa dilalui. 

Pernahkah terfikir bagaimana dan mampukah generasi baru iaitu anak serta cucu anda melalui zaman ini?

Itulah yang berlegar dalam fikiran pelakon terkenal, Aaron Aziz. Bapa kepada tiga orang anak ini meluahkan rasa bimbang tentang masa depan anak-anak dalam media sosial miliknya.

Seperti bapa-bapa lain, Aaron turut merasai bimbang mengenai masa depan anak-anaknya.


Dia memuat naik gambarnya sedang termenung dalam Instagram dengan kapsyen yang membuatkan ramai orang bersetuju termasuk rakan-rakan artis.

''Tengah fikir masa depan anak-anak. Macam mana agaknya mereka nak hadapi hidup yang kos semakin naik dan media sosial yang penuh dengan fitnah. Ya Allah lindungilah anak-anak kami. Amin,'' tulisnya.

Apa yang dibimbangi oleh Aaron itu ada asasnya. Sebagai ketua keluarga, menjadi tanggungjawabnya memastikan masa hadapan anak-anak dalam keadaan baik. 

Kebimbangan itu turut dirasai pelakon jelita, Lisa Surihani. Menurut Lisa, dia turut mengalami situasi tersebut.

''Ia antara kerisauan saya juga abang. Semoga abang dan kakak Diyana serta anak-anak dalam keadaan baik,'' tulis Lisa.

Rakan-rakan artis turut merasai perkara yang sama dengan Aaron.


Sementara itu seorang lagi pelakon wanita, Shima Anuar turut meluahkan perkara yang sama. Dia juga menitipkan kata-kata semangat untuk Aaron Aziz.

''Sama juga di sini abang. Semoga semua baik-baik sahaja. Insya-Allah,'' titip Shima.

Manakala seorang netizen turut meninggalkan komen positif dan memberi cadangan bernas. Menurutnya, ilmu sangat penting untuk generasi seterusnya bertahan menghadapi cabaran.

''Masa kita kecil, abah kita pun risaukan kita. Tapi apabila kita besar dan ada anak-anak, kita pula yang risaukan anak-anak. Insya-Allah mereka boleh berkembang maju seperti kita. Apa yang penting kita jalankan tanggungjawab bekalkan ilmu kepada mereka,'' tulis netizen tersebut.

Menurut seorang netizen, ilmu sangat penting untuk generasi akan datang mengharungi cabaran.


Sebenarnya, bukan sahaja Aaron yang berfikiran begitu tetapi semua ibu bapa tidak kira pada zaman bila mereka hidup. Itulah namanya kehidupan. Sehebat manapun cabaran, kita tetap kena harungi. - KitaReporters

14
8
0
13
0
You will be interested