Seni & Sukan 09 Jun, 2025

Nasib pemain tempatan Harimau Malaya? 5 warisan masuk, 8 watan keluar! Syamer dan Dominic tercicir!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

SYAMER Kutty Abba yang pernah memimpin Harimau Malaya, digugurkan daripada menentang Vietnam, 10 Jun 2025 ini  dengan tujuh lagi pemain. - Kredit foto: MNT/FAM


GARA-GARA kemasukan lima pemain warisan yang baharu yang cuba diadun persis resipi mi segera, tiba-tiba lapan anak jati Malaysia pula ‘dianaktirikan’ ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.

Kalangan warganet terutama dari Vietnam dan Indonesia, mereka turut mempertikai bagaimana susur galur mereka berlima yang sejauh Argentina, Brazil dan Sepanyol boleh ada kaitan dengan sekurang-kurangnya datuk atau nenek yang berdarah Malaysia.

Pada mata 'pejuang papan kekunci' ini, mereka tidak layak lagi menyarung jersi Harimau Malaya selagi belum memenuhi syarat menetap di Malaysia sekurang-kurangnya lima tahun sebagai pemain naturalisasi. 

Facundo Garces, Jon Irazabal, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo terus disahkan Peter dalam skuad 30 pelatih Harimau Malaya bagi fasa ketiga persediaan menghadapi Vietnam dalam Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 pada 10 Jun 2025, biarpun hanya mula memasuki kem latihan pusat pada awal Jun 2025.  

Sedangkan menjelang empat hari lagi ke perlawanan Kumpulan F di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, Syed Nasrulhaq Bidin, Safwan Mazlan, Dominic Tan, Ahmad Zikri Khalili, Syamer Kutty Abba, Nathaniel Hong Wan, Haqimi Azim Rosli dan Fergus Tierney yang terpaksa meninggalkan kem latihan pusat.

Yang mengejutkan dan bertanda tanya pastilah terpinggirnya Syamer, perantara dan Dominic, bek tengah yang kerap membarisi Harimau Malaya dalam sebahagian besar musim 2024 dan bagaimana Peter masih berkenan untuk mengekalkan Junior Eldstal yang begitu jarang dalam kesebelasan utama kelabnya, Johor Darul Tazim FC. 


DOMINIC Tan yang kali akhir beraksi buat Harimau Malaya dalam Kejohanan ASEAN 2024-2025 menentang Singapura tanggal 20 Disember 2024 di Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM


Senarai berkenaan disiarkan laman sosial Malaysia NT dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 6 Jun 2025.

Peter mengecilkan saiz skuad pelatih di kem Kuala Lumpur ini daripada 38 orang malah bakal berkurangan kepada hanya 23 pemain apabila Harimau Malaya, penghuni ranking ke-131 dunia berdepan Pahlawan Bintang Emas (ke-109) kendalian Kim Sang-sik dari Korea Selatan di Bukit Jalil.

Pengguguran lapan pemain itu dipercayai hasil saringan prestasi mereka sejak kem fasa pertama dibuka di Johor Bahru, Johor dari 18 hingga 26 Mei 2025 lalu dan setelah melalui perlawanan antarabangsa tahap 1 dan perlawanan latihan tertutup menentang Cape Verde.

Harimau Malaya menambat ‘Sang Jerung Biru’ dari Afrika yang di ranking ke-72 dunia, 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei 2025 lalu menerusi jaringan penyamaan penyerang naturalisasi kelahiran Brazil, Paulo Josue, namun tewas 0-3 dalam perlawanan secara tiga babak di Bukit Jalil, 3 Jun 2025 lalu.


JUNIOR Eldstal (5)  diragui kemampuannya oleh para peminat terutama ketika Malaysia ditewaskan Cape Verde 3-0 di Bukit Jalil tetapi Peter Cklamovski dan barisan penolong jurulatih masih mempunyai pandangan yang berbeza. - Kredit foto: MNT/FAM


Kini kalangan ekor Harimau Malaya (penyokong setia) yang dilaporkan telah membeli 29,400 tiket perlawanan kelayakan berharga RM70, RM60, RM40 dan RM5 setakat 7 Jun 2025 menurut laman sosial FAM, pasti cuba berteka-teki mengenai siapa anggota kesebelasan (XI) utamanya.

Juga sama ada bek kanan kacukan Australia-England, Matthew Davies atau bek tengah bakal berpangkalan di Jepun, Dion Cools yang memimpinnya atau Peter turut meyakini kewibawaan Faisal Halim, sayap kiri 100 peratus anak watan Malaysia - seperti yang digilir-gilirkan jurulatih itu ketika menentang Cape Verde di Bukit Jalil. 

KitaReporters membayangkan barisan utama negara menghadapi Vietnam seperti berikut:

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (penjaga gol), Matthew Davies (bek kanan), Gabriel Palmero (bek kiri), Dion Cools, Facundo Graces, Jon Irazabal (bek tengah), Stuart Wilkin (perantara pusat), Hector Hevel (perantara menyerang), Arif Aiman Hanapi (sayap kanan), Imanol Machuca (sayap kiri), Rodrigo Holgado (penyerang). - KitaReporters


HAQIMI Azim Rosli (24) semakin sukar menambat hati pengurusan dan jurulatih pasukan negara apatah lagi dengan kehadiran terbaharu Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo di barisan serangan biarpun telah diberikan peluang berdepan Cape Verde, 3 Jun 2025 lalu. - Kredit foto: MNT/FAM 


SKUAD 30 PEMAIN HARIMAU MALAYA FASA 3 (6 - 10 JUN 2025)

Penjaga gol: Azri Ghani (Kuala Lumpur City FC), Haziq Nadzli (Perak FC), Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Selangor FC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Johor Darul Ta’zim FC).

Benteng: Harith Haiqal Adam Afkar, Quentin Cheng (Selangor FC), Junior Eldstal, Shahrul Saad, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong (Johor Darul Ta’zim FC), Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Daniel Sang Ting (Sabah FC), Jon Irazabal (Sabah FK, Azerbaijan), Dion Cools (Cerezo Osaka, Jepun), Gabriel Palmero (CD Tenerife B, Sepanyol), Facundo Garces (Deportivo Alaves, Sepanyol).

Perantara: Afiq Fazail, Nazmi Faiz Mansor (Johor Darul Ta’zim FC), Nooa Laine (Selangor FC), Stuart Wilkin (Sabah FC), Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City, Vietnam), Hector Hevel (Portimonense SC, Portugal).

Sayap: Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim FC), Safawi Rasid (Terengganu FC), Faisal Halim (Selangor FC), Imanol Machuca (CA Velez Sarsfield, Argentina).

Penyerang: Romel Morales (Johor Darul Ta’zim FC), Paulo Josue (Kuala Lumpur City FC), Rodrigo Holgado (CD America de Cali, Colombia), Joao Figueiredo (Basaksehir FK, Turkiye).


IMANOL Machuca (kanan) bersaing dengan Facundo Garces dalam sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 6 Jun 2025. - Kredit foto: MNT/FAM

10
16
0
9
1
You will be interested