
BARISAN 15 pemain Piala Asia Malaysia dengan jersi utama kuning (depan) dan kedua hitam. Depan (dari kiri), Noraizat Nordin, Zarif Marican Ibrahim Marican, Haziq Hairul Nizam, Norfaizzul Razak, Amirul Zazwan Amir, Khairul Aman Rosdi dan Redwan Hakim Muhammad. Belakang (dari kiri), Azlan Alias, Aidil Aiman Azwawi, Fetri Azwadi, Zulkifli Razak, Syahir Rosdi, Afifuddin Razali, Shahalril Aiman Halim dan Farhan Adam. - Kredit foto: MOM
SEPERTI nama, pasti ada angka yang menjadi pilihan kegemaran atlet-atlet tertentu pada jersi mereka menyimpan makna atau sebab tertentu buat masing-masing.
Supermokh, Pele dan Diego Maradona popular dengan
No. 10 di arena bola sepak, CR7 tentulah milik Cristiano Ronaldo yang dicontohi
pula ‘Mickey’ Faisal Halim termasuk perayaan golnya ‘Siuuuu!’.
Ada juga kaum tertentu yang melabelkan 13 sebagai angka yang kurang elok sehingga diamalkan dalam kehidupan harian mereka termasuk pemilihan nombor lif dan alamat rumah mahupun plat kereta tetapi legenda hoki, Mirnawan Nawawi dan kapten sepak takraw negara, Farhan Adam terpaling menyukainya.

KitaReporters mengajukan soal selidik ringkas berkaitan nombor jersi pilihan segelintir pemain skuad sepak takraw negara yang akan beraksi pada Piala Asia Sepak Takraw Astaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 10 hingga 18 Mei 2025.
Ada yang kekal dengan nombor itu sehingga sekarang kerana
orang tersayang dan terdekat dengan mereka. Tidak kurang juga yang disebabkan
idola mereka menggunakannya sejak masing-masing sedang mencari tapak membina
nama dan memasang cita-cita besar menjadi sepertinya.
Secara kebetulan, berlangsung Majlis Minum Petang Bersama Penaja dan Memperkenal Jersi dan Pemain Malaysia ke kejohanan itu, di sebuah hotel di ibu negara pada 4 Mei 2025.

MOHD. Sumali Reduan (kiri) menyampaikan jersi utama sepak takraw Malaysia kepada Mohamad Norza Zakaria. - Kredit foto: MOM
Majlis yang dihadiri Presiden Majlis Olimpik
Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Persatuan Sepak
Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan ini menyaksikan jersi pasukan
negara tajaan Puma berwarna kuning (termasuk seluar) sebagai home (utama/tempat
sendiri/kandang) dan serba hitam (kedua/tempat lawan/tandang).
Bezanya dengan ketika Piala Dunia Istaf 2024 juga di
stadium sama, jersi utama negara tajaan Kronos ialah kuning kejinggaan atau
pinang masak, di samping seluar hitam manakala jersi biru dan seluar putih bagi
jersi pilihan kedua.
Dengan Puma, kali ini juga hanya logo PSM yang dipamer pada dada kiri yang berlainan dengan sebelumnya, Jalur Gemilang. Barulah menepati Demi Jalur Gemilang atau Bendera Di Dada, bukannya Demi Lencana Di Dada.

SKUAD negara yang menjuarai acara regu dan beregu Piala Dunia Istaf 2024 di Kuala Lumpur dengan jersi tajaan Kronos berwarna kuning pinang masak dan berseluar hitam. - Kredit foto: ST

SKUAD negara dengan jersi pilihan kedua atau away tajaan Kronos berwarna biru dan berseluar putih. - Kredit foto: ST
Khairul Aman Rosdi, perejam (11): Sejak bermain zaman
sekolah menengah lagi, saya sudah pakai dan pilih nombor 11. Tiada apa sebab
lain pun, hanya menggemarinya dan lekat sampai sekarang.
Syahir Rosdi, tekong (23): Emak saya lahir 23 September jadi saya ambil nombor itu. Saya menggunakannya sejak menyertai pasukan Malaysia pada Sukan Asia Incheon 2014 (baru berusia 18 tahun).
Azlan Alias, perejam (5): Pemain idola saya, Futra Ghani. Dia pun gemar pakai nombor itu. Saya cakap pada diri, selepas dia bersara (2010), biarlah saya gantikannya. Sudah 10 tahun saya pegang nombor ini sejak Sukan SEA Singapura 2015. Ada juga pernah saya tukar nombor lain apabila main peringkat kebangsaan.

FARHAN Adam (13) mengetuai barisan regu Malaysia yang dianggotai Khairul Aman Rosdi (11), Azlan Alias (5), Syahir Rosdi (23) dan Haziq Hairul Nizam (20). - Kredit foto: PS
Zarif Marican Ibrahim Marican, tekong (2): Nombor ini jadi pilihan saya sebab saya amat meminati Suebsak Phunsueb (bekas tekong legenda Thailand pemenang tujuh pingat Sukan Asia dari 1998 hingga 2010 yang kini pengurus pasukan wanita negaranya).
Noraizat Nordin, perejam (3): Emak saya yang sarankan
guna nombor 3. Sejak bersekolah di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI),
Bandar Penawar, Johor, saya sudah gunakannya.
Shahalril Aiman Halim, perejam (22): Saya berkongsi nombor 22 yang turut dipakai bakal isteri, Siti Zulaikha Husain yang juga pemain hoki wanita negara. Juga ketika saya dipanggil melapor diri kali pertama dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dengan adik kembar (Shahalril Aimin Halim), nombor ini jugalah yang diberi kepada saya. - KitaReporters

SHAHALRIL Aiman Halim (22) bersama-sama Zarif Marican Ibrahim Marican, Amirul Zazwan Amir, Afifuddin Razali, Norfaizzul Razak dan Fetri Azwadi. - Kredit foto: PSM
