
SUPOT Tumpracha (kiri) mengetuai barisan Thailand, naib juara regu Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025 yang termasuk jurulatih Somporn Jaisinghol, Sittipong Khamchan, Jakkrit Thinbangbon, Yodsawat Uthaijaronsri, Varayut Jantarasena dan Sutthikiart Panseankaew. - Kredit foto: We Are Sepaktakraw
“MALAYSIA
pasukan yang amat kuat. Kami pula hanya jadikan Piala Asia Sepak Takraw Astaf
2025 ini medan uji kaji ketahanan mental pemain-pemain baharu.”
Kata-kata Supot
Tumpracha mungkin cuba melindungi kekalahan mengejut Thailand 12-15, 9-15 kepada
gandingan Malaysia - Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam dalam perlawanan
akhir acara regu di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 15 Mei 2025.
Pemain-pemain
pilihan utama atau terkuat Thailand katanya ialah seperti yang membolot tiga
acara Piala Dunia Istaf (beregu, kuadran dan kuadran campuran) di Bihar, India
pada Mac 2025 lalu.
Mereka yang dimaksudkannya ialah Pornthep Tinbangbon, Kritsanapong Nontakote, Seksan Tubtong, Phutawan Sopa, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan.

SUTTHIKIART Panseankaew (kanan) bertempur di udara dengan Azlan Alias (5), antara muka baharu Thailand dalam acara regu Piala Asia Astaf 2025 biarpun sudah berpengalaman Liga Sepak Takraw (STL) Malaysia. - Kredit foto: ST
Pengurus pasukan Si Gajah Putih ini turut memberikan alasan penukaran peraturan servis tiga kali berturut-turut kepada sekali bergilir-gilir dan 15 mata daripada 21 mata, menjejaskan tahap prestasi tekong utamanya, Sittipong Khamchan.
Peraturan yang dikuatkuasakan pada 2024 itu katanya, “saya mengesan penurunan prestasinya sejak itu. Dia mesti buktikan dia boleh kembali jadi pemain yang handal.
“Dalam final regu itu, ada pemain yang tidak kuat mentalnya. Jadi siapa yang berjaya, yang kuat macam juara berpasukan Piala Dunia Istaf 2024 lalu dan yang gagal kami nilai sekarang untuk dibawa ke Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand (King’s Cup) dan Sukan SEA Thailand (Julai dan Disember 2025).
“Kami pun tidak sasarkan juara regu kerana kami fikir gandingan Malaysia amat kuat. Kali ini kami uji sahaja beberapa muka baharu dalam kejohanan antarabangsa,” katanya yang juga ketua jurulatih Thailand menggantikan Kamol Tankimhong mulai 2024.

SITTIPONG Khamchan menurut Supot Tumpracha, terkesan dengan penukaran sistem kiraan mata dan giliran servis sejak Piala Dunia Istaf 2024 di Kuala Lumpur. - Kredit foto: ST
Final regu yang disaksikan lebih 2,000 hadirin menyaksikan tumbangnya Sittipong (Jakkrit Thinbangbon), Varayut Jantarasena (Sutthikiart Panseankaew) dan Yodsawat Uthaijaronsri hanya dalam pertarungan 51 minit tanpa terheret ke set penentuan seperti tradisinya.
Mengenai prestasi tekong dan perejam Malaysia, Syahir dan Azlan yang mencipta banyak mata menerusi servis, libasan dan adangan katanya, “amat bagus dan saya fikir mereka kini di kemuncak sepak takraw dunia.” - KitaReporters
SYAHIR Rosdi (kiri) meraikan kemenangan pingat dan trofi regu Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025 bersama-sama Azlan Alias, Farhan Adam, Khairul Aman Rosdi dan Haziq Hairul Nizam. - Kredit foto: We Are Sepaktakraw