.

Suasana kemeriahan dan keterujaan bakal memuncak di bandar raya Kuantan tidak lama lagi apabila Pesta Kuantan 188 kembali dengan edisi paling gah dan terbesar dalam sejarahnya.
Dijenamakan semula sebagai acara kemuncak kalendar perayaan Pahang, pesta tahunan anjuran Infiniti Indah Sdn. Bhd. (Kuantan 188) – anak syarikat di bawah payung Hospitality 360 Sdn. Bhd. dan cabang hospitaliti MAA Group Berhad ini, bakal menggegarkan bandar terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu dari 25 hingga 27 Julai 2025.
Tarikh ini dipilih bersempena sambutan hari keputeraan rasmi Sultan Pahang, menjanjikan satu gabungan sempurna antara tradisi diraja dan keriangan kontemporari.

Dari kiri: Maskot Manja, Man Bai, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Naresh Mohan, Tomok, Zulkifli Mohamad (belakang) dan Maskot Wira pada majlis sidang media Pesta Kuantan 188 2025.
“Acara tahunan ini semakin berkembang, hasil sokongan padu para penaja, agensi kerajaan dan juga masyarakat tempatan khususnya. Pesta Kuantan 188 bakal menampilkan pelbagai aktiviti keluarga yang mencerminkan budaya dan komuniti Pahang.
"Kami menjangkakan dapat menarik lebih 60,000 pengunjung pada tahun ini (2025),” ujar Dato Seri Omar Naresh Mohan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Infiniti Indah pada sidang media Pesta Kuantan 188 2025 yang diadakan pada 8 Julai 2025 lalu bertempat di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Turut hadir Ketua Sekretariat Visit Malaysia 2026, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitality 360, Dato Seri Naresh Mohan; artis Tomok serta Man Bai; Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan Hospitality 360, Dato Zulkifli Mohamad dan Pengurus Besar Kuantan 188, Khalisa Azman.
Tidak ketinggalan menyerikan majlis adalah maskot rasmi ‘Visit Malaysia 2026’ Tourism Malaysia. iaitu Manja dan Wira.

Dari kiri: Khalisa Azman, Naresh Mohan, Mohd Amirul Rizal, Tomok dan Man Bai,
Dengan Menara Kuantan 188 (K188) yang ikonik kekal sebagai mercu tanda utama, festival kali ini akan menampilkan 11 acara utama, beberapa daripadanya merupakan konsep baharu yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Daripada peminat sukan ekstrem, penggemar muzik, sehinggalah kepada aktiviti yang berorientasikan keluarga, Pesta Kuantan 188 2025 bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai festival bandar utama di Pahang.
Penganjuran berskala besar ini turut mendapat sokongan penuh daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Kerajaan Negeri Pahang, Tourism Pahang, dan Kementerian Belia dan Sukan.
Edisi tahun ini (2025) akan menyaksikan pengenalan julung kalinya Cabaran Towerton K188 (K188 Towerthon Challenge) pada 26 Julai 2025, di mana para peserta akan menempuh cabaran mendaki 524 anak tangga ke puncak menara kedua tertinggi di Malaysia itu.
Acara ini mendapat pengiktirafan rasmi daripada Persatuan Larian Menara Malaysia (MTA) malah akan diserikan dengan penyertaan jaguh tower running antarabangsa, Soh Wai Ching, (gambar bawah, kiri) menjanjikan persaingan sengit dan aksi memukau.

Di sepanjang tiga hari sambutan pesta yang penuh aksi, peminat sukan lasak bakal disajikan dengan Kejohanan Powerboat F3000 Diraja Pahang di mana jentera berkuasa tinggi akan beraksi membelah Sungai Kuantan, menjanjikan tontonan mendebarkan buat para pengunjung.
Selain itu, aksi terjunan BASE oleh penerjun tempatan dan antarabangsa dari puncak menara Kuantan 188 menjadi salah satu tarikan yang pastinya juga akan memukau ribuan pengunjung.
Turut tidak ketinggalan, acara Regatta Perahu Naga Diraja Pahang 2025 akan kembali pada 25 Julai 2025 dengan kerjasama MBK, menampilkan 12 pasukan untuk kategori Terbuka Pahang dan 12 pasukan kategori Tertutup Pahang.
Perlumbaan bermula di Jeti Jabatan Laut Kuantan dan tamat di hadapan Menara Kuantan 188.
Sebagai tarikan baharu pada tahun ini, orang ramai yang hadir berpeluang merasai pengalaman menaiki paramotor dari Padang MBK 1, membolehkan mereka menikmati pemandangan panoramik bandar Kuantan dari udara buat julung kalinya.
Pesta Kuantan 188 tidak hanya tertumpu kepada hiburan semata-mata tetapi turut menyertakan inisiatif khidmat masyarakat (CSR) melalui kerjasama dengan The Driverz Club Malaysia.
Seramai 60 anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Rapha dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman akan diraikan dengan pengalaman menaiki kereta mewah sebagai tetamu VIP ke temasya yang penuh dengan hiburan, muzik dan inspirasi itu.
Gelanggang e-sukan turut tidak dilupakan apabila K188 E-Battle kembali sebagai medan pertemuan pemain Mobile Legends terbaik dari rantau ini.
Acara ini menawarkan ganjaran hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 dan mendapat sokongan padu daripada Persekutuan E-Sukan Malaysia (MESF), yang mana ia akan disalurkan secara langsung bagi peminat sukan e-sports.

Temasya Pesta Kuantan diteruskan dengan acara K188 Challenge: Ada Bran? THR X Gegar pada jam 8 malam, 25 Julai 2025 – satu pertandingan mencungkil bakat untuk mengetengahkan permata seni tempatan dalam muzik, tarian dan persembahan.
Manakala pada 26 Julai 2025 jam 8.30 malam, pentas utama akan dimeriahkan dengan Konsert Percuma yang menampilkan barisan artis legenda Malaysia seperti Ella, Dayang Nurfaizah, Tomok dan Akim.
Persembahan memukau ini akan diakhiri dengan tarikan pertunjukan dron yang julung kalinya diadakan di bandar raya Kuantan, disusuli dengan pertunjukan bunga api yang menakjubkan, pasti meninggalkan kenangan indah..
Bagi meraikan ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (30 Julai 2025), dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (5 Ogos 2025), sebuah Majlis Makan Malam Gala akan diadakan pada 27 Julai 2025 di Hotel Zenith Kuantan. - KitaReporters
