Seni & Sukan 12 Jun, 2025

Al-Fatihah buat para syuhada UPSI! Peter berhati emas! Hormati tragedi 15 pelajar maut di Gerik!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

“AL-Fatihah buat para syuhada UPSI”, antara sepanduk yang dipamerkan Ekor Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil ekoran tragedi di Gerik pada 9 Jun 2025. - Kredit foto: FAM/MNT 


TIDAK disangka-sangka dalam wajah serius Peter Cklamovski dan sibuk mengendalikan Harimau Malaya sejak 18 Mei 2025 lalu, dia turut berhati emas dan berjiwa prihatin dengan perkembangan semasa negara angkatnya ini.

Warga Australia ini turut menyatakan simpati dan penghormatannya kepada semua keluarga 15 pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi bas sewa khas terbabas dan terbalik di Jalan Raya Timur-Barat, Tasik Banding, Gerik, Perak pada 9 Jun 2025 lalu.

Peter hanya mula menjejak bumi Malaysia pada 21 Januari 2025 lalu untuk mengambil alih ‘kerusi panas’ ketua jurulatihnya hasil gagasan Revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak pertengahan Disember 2024.


PETER Cklamovski menyatakan penghormatan dan simpatinya dalam sidang media pascaperlawanan Malaysia-Vietnam. - Kredit foto: FAM/MNT


“Saya menujukan penghormatan kepada semua keluarga yang terkesan akibat tragedi itu.

“Bagus untuk menang (menewaskan Vietnam 4-0 pada 10 Jun 2025). (Semoga) bola sepak membawa serba sedikit kegembiraan (kepada negara ini yang berdukacita dengan tragedi itu),” kata Peter, 47, dalam sidang media pascaperlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu pada 10 Jun 2025.

Kesebelasan utama Harimau Malaya dan Pahlawan Bintang Emas juga memberikan penghormatan membacakan Al-Fatihah dan bertafakur selama seminit di tengah padang sejurus sebelum perlawanan menjelang menghadapi Vietnam dalam Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Kumpulan F ini.

Turut menyertai mereka ialah barisan pemain dan pegawai pasukan masing-masing di tepi padang selain tetamu kenamaan seperti Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan para pembesar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang antara 61,512 hadirin stadium.


KESEBELASAN utama Harimau Malaya (kuning) dan Vietnam memberikan penghormatan secara bertafakur seminit kepada keluarga 15 mangsa tragedi jalan raya di Gerik. - Kredit foto: FAM/MNT


Di celah-celah tempat duduk ribuan Ekor Harimau Malaya ini, terdapat juga kalangan yang menayangkan sepanduk yang berbunyi, “Doa buat semua mangsa kemalangan di Gerik” dan “Al-Fatihah buat para syuhada UPSI”.

Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, La’Vere Corbin-Ong dan Dion Cools menyumbat kesemua gol perlawanan ini, sekali gus menamatkan rekod sedekad Malaysia tidak pernah menang dengan Vietnam sejak 11 Disember 2014 lalu ketika separuh akhir kedua Piala AFF di Hanoi.

Pertemuan akhir mereka di Bukit Jalil pun berkesudahan terikat 2-2 pada 11 Disember 2018 ketika final pertama Piala AFF.

Inilah kemenangan kedua tim Peter dalam kempen kelayakan selepas menumpaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 lalu, hasil jaringan Hector Hevel dan Corbin yang sekali gus meletakkan mereka sebagai teraju baharu Kumpulan F.


SEORANG penyokong Harimau Malaya turut mengangkat sepanduk sebagai tanda simpati kepada mangsa tragedi di Gerik. - Kredit foto: FAM/MNT


Namun masih ada empat perlawanan secara timbal balik yang menanti pasukan pimpinan Matthew Davies ini sebelum memastikan tiket pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Laos yang menewaskan Nepal 2-1 di Vientiane juga pada 10 Jun 2025, akan melayan kunjungan Harimau Malaya pada 9 Oktober 2025 ini ke Stadium KM16 Nasional Laos sebelum Si Gajah Juta atau Thim Xad menjadi tetamu Bukit Jalil, lima hari berikutnya.

Nepal yang digelar Si Gurkha pula menanti di Kathmandu pada 18 November 2025 ini lantas disusuli perhitungan buku dan ruas yang kembali menjemput Vietnam dan Malaysia di Hanoi tanggal 31 Mac 2026.  

Ranking ke-131 dunia sekarang milik Malaysia dijangka melonjak ekoran kemenangan besar itu mahupun Laos, ke-190.

Namun penurunan anak tangga pasti menjejaskan Vietnam, ke-109 dan Nepal, ke-175 apabila dikemaskinikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 10 Julai 2025 ini. - KitaReporters


HARIMAU Malaya bergandingan bahu menyampaikan penghargaan kepada 61,512 hadirin Stadium Nasional, Bukit Jalil yang meraikan kejayaan membelasah Vietnam 4-0. - Kredit foto: FAM/MNT 

11
14
0
14
0
You will be interested