CALON juara, Vietnam tidak berhadapan masalah besar untuk menundukkan Laos 6-0 dalam aksi pembukaan Piala AFF 2022 kumpulan B di Stadium Nasional New Laos pada 21 Disember 2022.
Perlawanan dilihat begitu berat sebelah apabila Vietnam lebih menguasai permainan seakan-akan berada dalam latihan. Anak buah Park Hang-seo tidak menunjukkan belas kasihan terhadap lawan mereka.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan Piala AFF
Pemain utama Vietnam, Nguyen Tien Linh membuka pesta jaringan pada minit ke-15 dan dua minit sebelum tamat permainan, Do Hung Dung pula menambah gol kedua.
Bermula babak kedua, skuad Hang-seo terus bernafsu untuk mencari jaringan kerana dalam kejohanan seperti ini jaringan sudah tentu memainkan peranan untuk menentuan kedudukan dalam kumpulan.
Laos dilihat sukar untuk membendung larian deras serta gerakan daripada pemain Vietnam menyebabkan mereka bolos empat lagi gol.
Pesta jaringan diteruskan menerusi dua jaringan pantas daripada Ho Tan Tai dan Doan Van Hai pada minit ke-55 dan pada minit ke-58.
Pada 10 minit terakhir, Vietnam sempat menambah dua lagi jaringan menerusi Nguyen Van Toan dan Vu Van Thanh untuk melengkap kemenangan besar mereka.
Untuk perlawanan kedua nanti, mereka akan menanti skuad negara di halaman sendiri dan sudah pasti ini penemuan yang dinantikan untuk melihat siapa lebih hebat.
Kemenangan akan membuatkan laluan ke pusingan seterusnya lebih cerah. - KitaReporters