Seni & Sukan 12 Dec, 2025

Video| Sepohon bunga emas, 24 keping dinar emas satukan Erra-Mr E! Anak-anak hadir tanda restu!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Majlis pernikahan antara selebriti popular Erra Fazira (Fazira Wan Chek), 52, dan usahawan Ezwan Zain, 44, lebih dikenali sebagai Mr E memperlihat kelainan dengan dijalankan lebih ringkas dan praktikal bagi memberikan kenangan abadi kepada mereka dan hadirin.


Barang hantaran pihak lelaki diletakkan dalam sebuah talam besar berisi aksesori serta kelengkapan peribadi seperti sepersalinan barangan emas, tas tangan, jam tangan serta sepasang kasut. 

Ia diangkat dengan tandu yang dibawa masuk oleh sahabat-sahabat Ezwan.

Pengantin menuju ke pelamin terbuka dengan diiringi anak-anak masing-masing sebagai melambangkan hubungan mereka direstui anggota keluarga. 

Erra Fazira sah menjadi isteri Mr E pada jam 9.19 pagi Jumaat, 12 Disember 2025 dengan sekali lafaz sahaja.

Mas kahwin berupa sepohon bunga emas seberat 102 gram dengan 24 keping dinar emas. Turut diberikan ialah sebentuk cincin berlian berjenama Cartier bernilai RM80,000.





Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Noordin di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor.

Majlis akad nikah yang berlangsung penuh hikmah tetapi secara tertutup itu dihadiri kira-kira 300 tetamu terdiri daripada keluarga terdekat serta rakan rapat pasangan berkenaan. 

Hadir sama ialah ibu Erra, Azizah Zaik.  

Erra dan Mr E tampil sedondon dengan mengenakan persalinan warna biru cair rekaan pereka terkenal, Rizman Ruzaini.  



Erra atau nama penuhnya Fazira Wan Chek bergelar ibu tunggal selama 10 tahun selepas bercerai dengan Engku Emran pada 17 Februari 2014.

Walaupun sang suami 8 tahun lebih muda, namun Erra yakin Mr E mampu membahagiakannya ketika meniti usia emas. 

Perkahwinan pertama Erra dengan Datuk Yusri Abdul Halim KRU pada 2003 namun bercerai pada 2006. Menerusi perkahwinan kedua, dengan Engku Emran Engku Emran Engku Zainal Abidin (2007 -2014), mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun.



Ketika ditanya petugas media mengapa ada pengunaan 24 keping dinar dalam mas kahwin itu, Mr E menyatakan ia cuma untuk melengkapkan nilai mas kahwin kerana 1 dinar bersamaan dengan 4.25 gram emas.  

Sementara itu Erra menyatakan semua persiapan majlis akad dilakukan oleh Mr E dan dia bersyukur cuaca baik kerana majlis berlangsung di tempat terbuka. - KitaReporters


Mr E menyerahkan pohon bunga emas kepada Erra



11
11
0
18
0
You will be interested