"Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.."
Begitulah peribahasa yang dirasakan sesuai diterjemahkan kepada penyanyi Ernie Zakri apabila namanya diumumkan sebagai penerima anugerah tertinggi, Bintang Paling Popular pada Malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37 yang berlangsung pada Jumaat malam. 12 Disember 2025 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.
Malam berkenaan menjadi saksi kepada kejutan manis yang sukar dipercayai buat Ernie Zakri waima dilihat sudah pun menukar persalinan dan bersedia untuk mengakhiri malam anugerah apabila namanya tiba-tiba diumumkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH.
Sebelum itu, beliau hadir dalam busana rona ungu muda, mencerminkan warna pihak penaja utama majlis iaitu Daia namun ketika naik ke pentas beliau sudah pun bersalin pakaian dengan hanya berblaus merah jingga, bertudung lilit dan sandal memandangkan beliau mahu pulang menemui suaminya Syamel bersama anaknya di sebuah restoren bagi meraikan kejayaannya.
"Ketika saya dah keluar dan berada di dalam kereta pihak produksi menghubungi saya untuk datang semula.
"Disebabkan jam dan sangkut dekat lampu isyarat saya terpaksa turun dan berlari ke lokasi acara dan tak sangka dapat menang Bintang Paling Popular," ceritanya.

Gambar kiri: Ernie sebak menerima anugerah Bintang Paling Popular ABPBH dengan berpakaian santai berbandihg ketika menerima trofi Penyanyi Wanita Popular dalam gaun rona ungu muda (kanan). - Kredit foto: NSTP
Tidak hairanlah kelihatan Ernie seperti tidak berdaya dan longlai menerima kejutan yang beliau sendiri tidak sangka sehingga terpaksa dipimpin ke pentas sambil menitiskan air mata.
Nampak sangat, kejayaan meraih anugerah dambaan ramai artis tanah air itu benar-benar hadir sebagai satu kejutan besar buat Ernie, yang mengakui beliau langsung tidak menjangka akan kemenangan tersebut, menewaskan pesaingnya iaitu Sweet Qismina, Emma Maembong, Wani Kayrie, dan Tracie Sinidol dalam kategori berkenaan.
Ernie menerima trofi pewter berbentuk skor muzik dengan ukiran lengkuk motif 'reel' filem seberat 1 kilogram, dihasilkan oleh Tumasek Pewter, berserta wang tunai RM30,000.
Bezanya tahun ini, tiada hadiah kereta diberikan seperti ABPBH terdahulu walaupun Ernie memecah rekod undian tertinggi sebanyak 124 juta yang dipegang oleh Janna Nick pada ABPBH ke-33 pada 2020 dengan 86.3 juta undian.
Undian tertinggi diterima Ernie itu sekali gus membuktikan sokongan padu yang diberikan oleh peminatnya, yang mesra dipanggil Ernienators.
Terdahulu Ernie diumumkan sebagai Penyanyi Wanita Popular beberapa jam sebelum itu dan pastinya kemenangan berganda ini melengkapkan malam gemilang beliau.

Mengulas saat kemenangannya, Ernie meluahkan rasa syukur yang mendalam dan mengakui bahawa segala kejayaan ini adalah hasil sokongan tidak berbelah bahagi peminat dari Malaysia dan Indonesia.
“Alhamdulillah, perasaan sangat-sangat happy, sangat-sangat bersyukur sebenarnya. Saya bersyukur dengan kehadiran peminat-peminat yang mengundi dan yang sentiasa mendoakan kejayaan saya. Sebenarnya anugerah ini memang untuk peminat, yang sangat-sangat insist untuk saya at least merasa Anugerah ‘Top 10 Penyanyi Wanita Popular ini,” ujar Ernie.

Beliau turut menambah, “Saya rasa sangat-sangat happy kerana setelah beberapa tahun kita bersama-sama berusaha, Alhamdulillah, peminat saya dapat anugerah Penyanyi Wanita Popular serta Bintang Paling Popular.
"Saya takkan dapat pengiktirafan ini kalau peminat-peminat saya tidak mengundi. Jadi saya nak buat special shout out to Ernienators kerana sudi memberikan saya merasa anugerah ini.
"Alhamdulillah, this is one of my achievements yang saya akan kenang sampai bila-bila. Alhamdulillah.”
Tahun 2025 turut menyaksikan deretan kejayaan besar buat Ernie Zakri.
Selain momentum kukuh daripada 'Perjalanan', single hit beliau 'Masing Masing' yang telah mencapai status 3x Platinum di Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu vokalis paling berpengaruh di Malaysia.
Dengan vokal yang mantap, dedikasi tinggi dan personaliti yang dekat di hati peminat, kemenangan di ABPBH 37 ini menambah lagi kekuatan jenama seni Ernie dalam industri muzik tempatan.

Kim Lim (kiri) komited untuk terus memacu kerjaya Ernie Zakri tembusi pasaran Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, mengucapkan tahniah dan menyifatkan kemenangan ini sebagai pengiktirafan sewajarnya atas dedikasi dan bakat vokal luar biasa Ernie.
“Kami di Universal Music Malaysia amat berbangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ernie Zakri atas kejayaan gemilang meraih anugerah Bintang Paling Popular dan Penyanyi Wanita Popular pada ABPBH37.
"Kemenangan berganda ini adalah pengiktirafan sewajarnya atas dedikasi, bakat vokal luar biasa, serta hubungan erat beliau dengan peminat yang sentiasa menyokong. Ini adalah satu pencapaian yang memberi inspirasi, bukan sahaja untuk Ernie, tetapi juga kepada seluruh industri muzik tempatan,” ulas Kim.
Mengambil momentum daripada kejayaan ABPBH 37, Universal Music Malaysia komited untuk terus memacu kerjaya Ernie dengan merancang untuk mengeksport karya-karya beliau ke peringkat serantau, terutama di Asia Tenggara, bagi menembusi pasaran baharu.
“Kami melihat potensi besar untuk muzik Ernie menembusi pasaran baharu, mengikut jejak kejayaan seperti lagu 'Masing Masing' yang telah mendapat tempat di hati peminat Nusantara.
"Kami percaya bakat beliau memiliki potensi global yang besar, dan kami tidak sabar untuk melihat Ernie terus mengukir nama sebagai duta muzik Malaysia yang disegani,” tambah Kim Lim.

Sebagai kesinambungan kejayaannya pada ABPBH 37, Ernie Zakri juga sedang bersiap sedia untuk acara terakhir sebelum melangkah ke tahun baharu dengan ‘Nostalgia NYE Concert’ yang bakal berlangsung di Le Meridien Petaling Jaya pada 31 Disember 2025 ini.
Beliau turut mencetuskan keterujaan apabila memberi bayangan bakal hadir dengan sebuah single Hari Raya yang baharu pada tahun hadapan (2026), sekali gus menambah lagi keterujaan peminat terhadap projek-projek beliau akan datang.- KitaReporters