
Beliau ditemui media pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia Specialist Centre (UKMSC) dan FAM di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad 14 Disember.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali dan Pengarah Perubatan UKMSC, Prof. Madya Datuk Dr. Badrul Akmal Hisham Md Yusoff.
Mohd Yusoff menjelaskan bahawa urusan FAM dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah selesai sepenuhnya dan CAS kini menjadi saluran terakhir dari sudut perundangan sukan.
“Saya fikir kita sudah habis pada peringkat FIFA dan tidak ada lagi membabitkan apa-apa lagi berkenaan FIFA.
"Di CAS, ini adalah proses terakhir kita untuk mencuba dan ia terpulang kepada CAS sebagai satu badan bebas,” katanya.
Beliau turut menegaskan kedudukan CAS sebagai badan bebas memberi ruang keadilan yang lebih seimbang kepada semua pihak, tanpa terikat kepada struktur pentadbiran FIFA.
“CAS tidak terikat dengan FIFA dan apa-apa keputusannya, mesti dipatuhi sama ada oleh kita ataupun FIFA. Muktamad,” jelasnya.
Dalam nada yang lebih terbuka, Mohd Yusoff mengakui tindakan membawa kes ini ke CAS bukan soal keberanian mengambil risiko, sebaliknya satu keperluan bagi melengkapkan proses perundangan sepenuhnya.
“Jika kita tidak pergi ke CAS, kita tidak menghabiskan prosesnya dari segi perundangan. Kita tidak fikir soal risiko kerana kita cuma menjalani proses sehingga habis,” katanya.

CAS bersedia menilai semula keputusan FIFA, khususnya jika wujud kelemahan prosedur, tafsiran peraturan yang terlalu ketat atau ketidakseimbangan dari sudut keadilan substantif.
Dari sudut analisis, peluang FAM di CAS tidak boleh dianggap tipis mahupun mudah, namun terdapat beberapa preseden sebelum ini yang menunjukkan CAS bersedia menilai semula keputusan FIFA, khususnya jika wujud kelemahan prosedur, tafsiran peraturan yang terlalu ketat atau ketidakseimbangan dari sudut keadilan substantif.
Dalam beberapa kes terdahulu melibatkan pendaftaran pemain, CAS pernah mengurangkan hukuman atau meminda keputusan asal FIFA apabila pihak perayu berjaya membuktikan niat baik, kesilapan pentadbiran yang tidak disengajakan atau ketidakjelasan peraturan yang digunakan.Namun begitu, CAS juga terkenal dengan pendekatan tegas dalam isu kelayakan pemain dan integriti pertandingan, menjadikan beban pembuktian terhadap FAM amat tinggi, khususnya dalam menjelaskan proses dokumentasi tujuh pemain warisan itu secara terperinci dan meyakinkan.
Keupayaan pasukan perundangan FAM untuk membezakan kes ini daripada kes penipuan kelayakan yang lebih serius bakal menjadi faktor penentu sama ada hukuman dapat diringankan atau dikekalkan.
Dalam konteks ini, tindakan FAM meneruskan rayuan ke CAS dilihat sebagai langkah membina, bukan sahaja untuk membela kepentingan semasa, tetapi juga untuk mendapatkan kejelasan perundangan yang lebih kukuh bagi pengurusan pemain warisan pada masa depan.
FAM sebelum ini mengesahkan telah mengemukakan rayuan kepada CAS susulan hukuman yang dikenakan FIFA berkaitan isu dokumentasi tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.Rayuan itu dibuat selepas FIFA mendedahkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat, susulan keputusan pada 3 November lalu yang menolak rayuan FAM dan pemain terbabit.
Keputusan berkenaan mengekalkan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,000) setiap seorang ke atas tujuh pemain berkenaan.
Sementara itu, fokus FAM tidak hanya tertumpu kepada isu perundangan, apabila badan induk itu turut memperkukuh aspek kebajikan dan kesihatan pemain melalui kerjasama strategik bersama UKMSC.
Menerusi MoU berkenaan, UKMSC dan FAM komited meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan pemain bola sepak negara, termasuk penilaian risiko kecederaan, pembangunan protokol kecemasan serta pengukuhan pemahaman berkaitan kecederaan kardiovaskular, trauma neurologi dan kecederaan muskuloskeletal.
Langkah itu dilihat selari dengan keperluan bola sepak moden yang bukan sahaja menuntut prestasi, tetapi juga tadbir urus dan perlindungan pemain yang lebih menyeluruh.
Kini, segala tumpuan terarah kepada keputusan CAS, yang bukan sahaja akan menentukan nasib tujuh pemain terbabit, tetapi turut menjadi penanda aras penting terhadap pengendalian kes pemain warisan Malaysia pada masa hadapan. - KitaReporters