Seni & Sukan 13 Dec, 2025

Tetap mantul! Kenderaan 4x4 separuh abad ungguli podium! Rainforest Challenge Grand Final 2025!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Tempuhi 11 hari perlumbaan ‘off road’ Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2025 yang berakhir di pedalaman Gua Musang, Kelantan pada 10 Disember 2025; GG 4x4 membuktikan jentera berusia bukan halangan besar untuk meraih podium di pentas kejuaraan antarabangsa edisi ke-28 ini.


Land Rover Defender Series 3 88 yang berusia hampir separuh abad menjadi taruhan pasukan GG 4x4 yang berpangkalan dari Terengganu untuk mengungguli podium Rainforest Challenge Grand Final 2025 di tempat ke-3 bagi kategori R3 setelah menempuhi 11 hari perlumbaan yang berakhir di Gua Musang, Kelantan pada 10 Disember 2025. 


Walaupun hanya sekadar meraih tempat ke-3 bagi kategori R3, pengurus pasukan GG 4x4, Azili Safeei tetap berpuas hati di atas kemampuan jentera Land Rover Defender Series 3 88 yang telah membantu pasukan untuk berentap dengan jentera-jentera lain yang lebih berkuasa termasuk jentera dari pasukan luar negara.

“Bukan mudah buat kami untuk menamatkan perlumbaan ini di mana kami juga turut berdepan dengan masalah mekanikal seawal hari pertama perlumbaan di Gua Musang yang menyebabkan kami ketinggalan untuk memungut mata perlumbaan sepenuhnya.

“Podium untuk tahun ini sudah cukup bagus daripada langsung tiada walaupun di tempat ke-3 setelah berentap dengan pasukan dari Poland dan pencabar tempatan yang turut mempunyai reputasi tinggi.

“Sekurang-kurangnya kami menamatkan kalendar perlumbaan musim ini dengan sesuatu yang boleh dibanggakan,” ujar Azili yang juga merupakan bekas pelumba RFC dalam beberapa edisi terdahulu.


Gandingan Tengku Khairul A Rahman (kiri) bersama Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili selaku juruarah pasukan GG 4x4 berjaya menamatkan 11 hari perlumbaan lasak Rainforest Challenge Grand Final 2025 di tempat ke-3 bagi kategori R3. 


Manakala bagi pemandu pasukan, Tengku Khairul A Rahman kekal optimis jentera berusia ini masih mampu untuk kembali beraksi pada edisi seterusnya di pentas kejuaraan antarabangsa ini.

“Realiti, kelajuaan bukan faktor utama menentukan siapa juara di pentas RFC ini. 

"Pengalaman dan taktikal perlumbaan menjadi taruhan utama untuk terus mengejar podium seperti mana kami buktikan pada hari ini (10 Disember 2025).

“Begitu juga sokongan pasukan teknikal sama ada barisan mekanik yang berhempas pulas siang dan malam untuk membaiki jentera dan juga pengurusan pasukan yang menjadi penghubung kepada penaja-penaja musim ini yang konsisten membantu pasukan lumba ini,” katanya yang bergandingan bersama Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili selaku juruarah pasukan yang berpangkalan dari Terengganu ini.



Untuk rekod, kategori R3 dijuarai pasukan dari Poland yang dipacu oleh Rafal Stanislaw Osmolski bersama pemandu arah Kamil Mariusz Majerczyk. Manakala tempat kedua milik pasukan tempatan ‘Otai Racing Team’ yang dipandu oleh Kamarozaman Jusoh bersama juruarah Muhd Khairy Kamid yang mempunyai reputasi besar dalam arena sukan permotoran lasak ini.

Rusia mendominasi podium bagi kategori R1 setelah meraih di tempat pertama dan kedua, manakala tempat ke-3 kategori ini berjaya dicuri oleh pasukan tempatan dari Sabah setelah menafikan dua lagi pasukan dari Rusia yang berada di tempat ke-4 dan ke-5.

Bagi kategori R2, hanya dua buah pasukan bertanding di mana tempat pertama milik pasukan ‘107’ dari Johor dan Cameron 4x4 di tempat kedua.


Azili Safeei (dua dari kanan) bersama pasukan setelah menamatkan perlumbaan peringkat cabaran (SS) terakhir Rainforest Challenge Grand Final 2025 di Gua Musang, Kelantan.


Rainforest Grand Final 2025 edisi ke-28 kali ini yang bermula sejak 29 November 2025 lalu dari Sungai Buluh, Selangor dan berakhir di Gua Musang, Kelantan pada 10 Disember 2025 untuk 11 hari.

Perlumbaan tersebut mempertaruhkan tiga kategori iaitu R1(Prototype), R2 (Modified Production) dan R3 (Production) yang disertai tiga negara iaitu Rusia, Poland dan Latvia, di samping menghimpunkan keseluruhan sebanyak 22 jentera lumba termasuk dari pasukan tempatan. - KitaReporters/Kenyataan Media


GG 4x4 yang berpangkalan dari Terengganu raih tempat ke-3 bagi kategori R3 Rainforest Challenge Grand Final 2025 dalam satu majlis yang telah berlangsung di Dewan KESEDAR, Gua Musang pada 10 Disember 2025. 

8
12
0
13
0
You will be interested