Seni & Sukan 02 Aug, 2022

Grammy Malaysia kembali! Pencalonan untuk AIM23 dibuka! 2 kategori baharu ditambah, 1 digugurkan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


SETELAH menyepi selama 5 tahun sejak 2016, Anugerah Industri Muzik (AIM) kembali melancarkan edisi ke-23 dengan penambahan dua kategori utama yang baharu meliputi anugerah 'Lagu Cina Tempatan Terbaik' dan 'Lagu India Tempatan Terbaik' manakala kategori ‘Lagu Paling Banyak Dimuat Turun’  digugurkan.

Selain itu penganjurnya, Persatuan Industri Rakaman Maalaysia (RIM) mengembalikan semula kategori ‘Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Asing’ demi mencerminkan keluasan muzik yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan anugerah muzik


Rosmin Hashim (kanan) bersama Norzeha Mohd Salleh pada majlis pelancaran AIM 23 di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2022.


“Kami amat teruja untuk menganjurkan AIM yang ke-23 selepas sekian lama menyepi dan juga amat gembira melihat industri muzik tempatan menuju ke arah pemulihan selepas tempoh pandemik.” ujar Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim pada majlis pelancaran AIM23 di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada Isnin, 1 Ogos 2022.

Rosmin turut  mengumumkan penyertaan pencalonan bagi kesemua kategori anugerah AIM23  dibuka untuk Lagu/Album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang telah dikeluarkan di Malaysia dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022. 

Tempoh pencalonan telah dibuka pada hari Rabu, 27 Julai 2022  lalu dan akan berakhir pada hari Jumaat, 5 Ogos 2022 jam 5.00 petang.

Borang pencalonan boleh diisi dan diserahkan di https://aim.org.my/online-submission-2/.

Hadir bersama Rosmin pada majlis berkenaan adalah Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Ria, Prima dan Warna, memandangkan ini julung kalinya RIM berkolaborasi bersama penyiar rasmi Astro bagi penganjuran majlis anugerah AIM23 yang bakal disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Astro RIA dan radio Era pada hari Ahad, 11 September 2022 pada jam 9.00 malam (Karpet Merah pada 8.30 malam).



Berkongsi lanjut. Rosmin menyenaraikan sebanyak 26 kategori keseluruhannya akan dipertandingkan meliputi 19 kategori Anugerah Utama. 6 kategori Pra-Anugerah dan Anugerah Khas Sri Wirama, dikhususkan kepada penerima anugerah pencapaian seumur hidup yang akan ditentukan oleh Ahli Majlis RIM. 

“Terdapat perubahan besar dalam cara muzik digunakan dan didengari orang awam. Untuk mencerminkan keluasan muzik yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, kami telah menambah anugerah 'Lagu Cina Tempatan Terbaik' dan 'Lagu India Tempatan Terbaik' dalam kategori anugerah utama.

“Kami juga telah mengembalikan semula kategori ‘Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Asing’, manakala kategori ‘Lagu Paling Banyak Dimuat Turun’ telah digugurkan memandangkan penggunaan muzik pilihan orang ramai adalah melalui penstriman,” tambah Rosmin.

Sambung beliau, sudah agak lama pengamal industri muzik tempatan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya, terutama penghormatan yang diperoleh dengan memenangi anugerah AIM.

“Sejak 1993, AIM telah dikenali sebagai Anugerah Grammy Amerika yang setaraf di Malaysia, satu-satunya persembahan anugerah tempatan yang memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada pengamal industri muzik tempatan termasuk penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit dan jurutera bunyi, berdasarkan merit dan kualiti di samping membantu merangsang kreativiti dan kecemerlangan dalam penciptaan muzik yang boleh menembusi pasaran antarabangsa”, kata Rosmin Hashim.

Seperti amalan bagi anugerah AIM, penghakiman untuk pencalonan yang diterima akan dikendalikan oleh panel hakim terpilih yang terdiri daripada pengamal dihormati dan pakar terkemuka daripada pelbagai disiplin dalam industri muzik tempatan, diketuai oleh Ketua Hakim yang akan dilantik oleh Jawatankuasa Penganjur AIM. 

Markah yang diberikan oleh hakim-hakim ini akan dijadualkan dan diaudit oleh juruaudit bebas sebelum keputusan dikeluarkan dan diumumkan. 

Keputusan 5 Calon Akhir AIM23 dijangka diumumkan tidak lama lagi.



Sementara itu, Norzeha melahirkan rasa terujanya apabila Astro dapat menjadi sebahagian daripada AIM23 bagi mengiktiraf bakat-bakat luar biasa yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam industri muzik. 

“Sebagai penyiar rasmi, ia merupakan sesuatu keistimewaan bagi kami untuk mempamerkan pengkarya-pengkarya yang telah memberi impak berkekalan terhadap industri sepanjang tahun lalu. 

“Astro amat kagum untuk melihat industri muzik terus berkembang sehingga ke hari ini walaupun telah menghadapi pelbagai kekangan sejak dua tahun lalu,” jelas Norzeha.

Tambahnya, sebagai sebuah syarikat penyiaran terkemuka Malaysia, Astro akan terus menyokong usaha-usaha yang memartabatkan industri muzik tempatan apatah lagi  AIM telah menjadi penanda aras dalam mengiktiraf bakat-bakat dalam bidang muzik untuk bertahun-tahun lamanya, termasuk penggerak dan pengolah industri, serta bintang-bintang yang sedang meningkat naik.

“Kami berharap para peminat dan penyokong akan bersama-sama menantikan penganjuran semula AIM dengan memberikan sokongan kepada artis kegemaran mereka di Astro menerusi saluran Astro Ria (104) dan Era. Pelanggan Astro turut boleh strim AIM23 menerusi On Demand dan aplikasi Astro Go,” akhiri Norzeha. - KitaReporters


Berikut senarai penuh kategori anugerah yang dipertandingkan:

KATEGORI ANUGERAH UTAMA:

1.   ARTIS BAHARU TERBAIK

2.  PERSEMBAHAN  VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU  (LELAKI)

3.   PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU (WANITA)

4.   PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU (BERKUMPULAN

5.   PERSEMBAHAN VOKAL DUO/KOLABORASI TERBAIK DI DALAM LAGU

6.   VIDEO MUZIK TERBAIK 

7.  RUNUT BUNYI (OST) TERBAIK DI DALAM FILEM/DRAMA

8.  LAGU ROCK TERBAIK

9.   LAGU POP TERBAIK

10. LAGU R&B/HIP HOP TERBAIK

11. LAGU POP ELEKTRONIK/DANCE TEBAIK

12. LAGU INGGERIS TEMPATAN TERBAIK

13. LAGU CINA TEMPATAN TERBAIK

14. LAGU INDIA TEMPATAN TERBAIK

15. LAGU MELAYU TERBAIK YANG DIPERSEMBAHKAN OLEH ARTIS LUAR NEGARA

16. LAGU NASYID TERBAIK 

17. LAGU POP ETNIK TERBAIK

18. ALBUM TERBAIK

19. LAGU TERBAIK

ANUGERAH KHAS:

1.  ANUGERAH SRI WIRAMA

KATEGORI PRA-ANUGERAH:

1.  .KULIT SINGLE/ALBUM TERBAIK

2.  .RAKAMAN ALBUM TERBAIK

3.   RAKAMAN LAGU TERBAIK

4.   SUSUNAN MUZIK TERBAIK DI DALAM LAGU

5.   LAGU PALING TINGGI DI STRIM

6.  .LAGU NADA DERING JUALAN PALING TINGGI


Throwback...  Pada AIM22, Dato Seri Siti Nurhaliza mendominasi Anugerah dengan 5 kemenangan iaitu

bagi kategori Lagu Nasyid Terbaik (Mikraj Cinta), Album Terbaik (Dato' Siti Nurhaliza Unplugged), Persembahan

Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu 'Menatap Dalam Mimpi', Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Menatap dalam Mimpi) dan Anugerah Penyanyi Pilihan Malaysia. 

5
12
0
12
0
You will be interested