Seni & Sukan 07 Aug, 2022

Video| Rock jiwang kembali sinari industri muzik! 4 nyanyikan semula Mengusung Rindu kumpulan Spin!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this

Kumpulan Spin


SEKARANG ini seakan sudah menjadi trend pula, bila lagu-lagu lama dirakam semula oleh penyanyi baharu. Lagu yang menjadi pilihan generasi baharu untuk dirakam semula adalah lagu-lagu era 80-an dan 90-an.

Tidak dinafikan lagu-lagu rock jiwang sentiasa tersemat di hati pendengar era tersebut mahupun generasi baharu. Lagu-lagu sedemikian cukup popular dalam kalangan peminat karaoke.

Mengikuti perkembangan semasa, pihak FMC Music tidak ragu-ragu untuk merakamkan semula lagu lama terutama lagu popular kumpulan Spin.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan penyanyi


Lagu Mengusung Rindu versi orkestra dendangan empat penyanyi ini sedang hit ketika ini.


Sebelum ini lagu kumpulan Spin, dendangan Allahyarham Achik seperti Malam Semakin Dingin dan Resah Kerinduan yang dinyanyikan semula oleh Tajul dan Afieq Shazwan mendapat sambutan hangat.

Melihat kepada fenomena tersebut, FMC tidak melepaskan peluang untuk merakamkan semula lagu Spin yang lain iaitu Mengusung Rindu.

Kali ini, Tajul dan Afieq Shazwan tidak lagi berdua, mereka turut didampingi Haqiem Rusli dan Zack Zakwan yang popular dengan lagu Kenangan itu.

Keempat-empat penyanyi itu mendendangkan lagu tersebut dalam versi orkestra dan ini menjadikan lagu ciptaan Abd Hamid Adnan dan lirik Aminah Abdul Rahman itu lebih menarik.


Merakam semula lagu popular kumpulan Spin merupakan langkah terbaik buat FMC Music.



Pengarah Urusan FMC Music, C.F Ho berkata, pihak FMC sentiasa berusaha mencari kelainan agar lagu yang dinyanyikan semula terus mendapat perhatian ramai.

"Kami sengaja mencipta kelainan demi kelainan supaya karya yang pernah popular itu mendapat sentuhan berbeza daripada sebelumnya.

“Susunan muzik yang baharu menampakkan lagu tersebut lebih segar dan pasti indah didengar oleh peminat muzik lagu-lagu lama,” katanya.

Tambah C.F Ho, jika keadaan mengizinkan, pihak FMC Music bercadang untuk mengadakan satu mini konsert khas bersama semua barisan artis FMC Music yang lain sebagai tanda menghargai sokongan pendengar dan peminat muzik tanah air pada kami," ujarnya tentang hasrat syarikat rakaman tersebut.

Mengusung Rindu mencatat jumlah tontonan tinggi yang cepat. Dalam tempoh lapan hari jumlah tontonan dalam YouTube FMC Music mencatat jumlah tontonan sehingga lebih 1.5 juta kali.


Jumlah tontonan untuk lagu dendangan empat penyanyi ini melonjak naik dalam tempoh singkat.


Kumpulan Spin


Sementara itu, Haqiem Rusli, 24, yang meraih tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke 36 (AJL36) sebelum ini, menganggap peluang yang diberi satu cabaran untuk dirinya.

Haqiem yang juga seorang komposer itu berkta, ini kali pertama dia digabungkan dengan rakan penyanyi lain untuk menjayakan projek khas ini.

“Saya suka mencuba sesuatu yang baharu, eksperimentasi yang dilakukan dalam lagu ini membuatkan saya sangat teruja. Tambahan pula apabila melibatkan gabungan empat vokal penyanyi lelaki yang masing-masing mempunyai karektor suara yang berbeza," katanya. 


Haqiem Rusli gembira diberi peluang menjayakan projek ini.


Bagi Afieq Shazwan pula, ini merupakan lagu ketiga yang dia nyanyikan semula. Selain lagu Spin, dia juga pernah menyanyikan semula lagu kumpulan Rio iaitu Layu Di Hujung Mekar dan sambutannya amat menggalakkan.

“Saya rasa ini seperti projek mega apabila muzik lagu ini di okestrakan dan disampaikan di dalam gabungan empat vokal, ianya merupakan sesuatu yang bukan biasa-biasa.

“Sebelum ini saya sampaikan Layu dihujung Mekar secara solo Dan Malam semakin dingin berduet dengan Tajul sahaja, tetapi kali ini melibatkan gabungan yang luar biasa. Dan saya rasa teruja bila dapat tahu Haqiem mahu terlibat sama di dalam projek lagu Mengusung Rindu versi 2022 ini," katanya terus terang.


Mengusung Rindu merupakan lagu ketiga yang Afieq Shazwan rakamkan semula.


Perasaan yang berbeza pula bagi Tajul yang merupakan adik kepada Allahyarham Achik Spin itu. Tajul melahirkan rasa bangga kerana karya kumpulan Spin terus diminati, biarpun abangnya sudah tiada.

"Saya rasa bangga bila tiga orang lagi rakan saya sudi menyanyikan kembali lagu abang saya. Saya rasa seolah-olah semangat Achik sentiasa ada bersama kami sewaktu pembikinan lagu ini.

“Terima kasih Haqiem, Afieq dan Zack kerana mewarnai Mengusung Rindu ini dengan cara kalian tersendiri," kata Tajul terharu.  

Tajul bangga dapat merakam semula lagu nyanyian abangnya, Allahyarham Achik.


Sebagai pendatang baharu tentunya Zack Zakwan orang yang paling teruja bila dapat menjayakan projek ini bersama rakan-rakan lain yang terlebih dahulu menimba pengalaman.

Tidak dinafikan saya rasa tidak percaya apabila diberi kepercayaan oleh FMC Music untuk turut bergabung di dalam projek ini. Awalnya saya rasa terlalu kerdil untuk berada sepentas bersama Haqiem Rusli, Afieq dan Tajul.

“Apapun perasaan itu berubah setelah proses rakaman dan muzik video siap, saya rasa lebih yakin dan bersemangat dengan kerjasama serta galakan yang mereka bertiga berikan pada saya. Sokongan daripada mereka itu membuat saya jadi kuat dan keyakinan saya bertambah," akui Zack Zakwan. - KitaReporters


Zack Zakwan teruja dapat bergabung suara dengan rakan penyanyi lain.


15
14
0
18
0
You will be interested