Seni & Sukan 17 Oct, 2023

Video| ASGV: Ayai ada magis, Liza Hanim patut menang! Tapi Noryn Aziz juara, Aishah pula tersingkir!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

Nampaknya Ayai Ilusi adalah antara tiga peserta yang menjadi ‘perhatian’ dalam All Star Gegar Vaganza (ASGV) pada minggu ke-4 kerana memiliki beberapa ciri menarik seperti peserta paling berusia iaitu berumur 62 tahun dan masih bertenaga walaupun sudah lanjut usia dan kreatif  dalam memberikan persembahan menghiburkan.

Ayai membuktikan dia sebagai penyanyi yang boleh memberi cabaran sengit. Dan dia membuktikan mampu mencabar setelah menduduki tangga terakhir pada minggu ke-3 ASGV. 

Namun dalam minggu ke-4 ini, beberapa peserta gagal memberi persembahan baik seperti pada minggu-minggu sebelumnya. Antaranya ialah Jaclyn Victor, Hady Mirza dan Naqiu.



Minggu ke-4 ASGV atau Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10) bagai menyaksikan peringkat akhir dan menghiburkan penonton. Para peserta memperlihat kehebatan masing-masing berduet dengan penyanyi-penyanyi popular dan hebat. 

Namun sesuai dengan situasi berduet, peserta perlu mengatasi persembahan penyanyi undangan bagi memikat para juri dan ia adalah tugas yang sukar.

Seperti kata ketua juri, Datuk Ramli MS, peserta diberi pilihan untuk berduet dengan penyanyi mana satu. 

Mereka diberi lima pilihan penyanyi yang diinginkan dan pihak Astro cuba mendapatkan penyanyi pilihan pertama terlebih dahulu.

Tiga peserta yang mempunyai markah tertinggi memperlihat kemampuan luar biasa. 


Persembahan memukau Noryn Aziz dan Liza Aziz

Selain Ayai, Noryn Aziz iaitu juara GV musim 5, memperlihat persembahan memukau berduet dengan Liza Aziz iaitu penyanyi bernada tinggi dan mampu mengolah cara nyanyian dengan baik. 

Noryn mampu menseimbangkan persembahan Liza menjadikan persembahan mereka memukau dan mendapat tepukan berdiri (standing ovation) penonton ketika menyampaikan lagu ‘I'm Every Woman’ nyanyian asal Chaka Khan.

Ia membolehkan Noryn menjuarai minggu ke-4 dengan memperoleh 85.25 markah. 


Liza Hanim (kiri) menantang vokal padu Ziana Zain dan layak jadi juara minggu ke-4 ASGV

Liza Hanim juga memberi persembahan memukau ketika berduet dengan Ziana Zain ketika menyampaikan lagu ‘Madah Berhelah’. 

Seperti kata Ramli MS dalam pertemuan dengan media selepas pertandingan, ketiga-tiga juri terpaksa memotong lima markah kerana Ziana sudah terlalu biasa, lebih 30 tahun menyanyikan lagu ‘Madah Berhelah’.

Jika Ziana menyanyi lagu orang lain, kemungkinan tempat pertama mungkin menjadi milik Liza Hanim. Ini kerana jika lima markah tidak dipotong, naib juara GV musim ke-4 ini akan mengatasi markah Noryn yang cuma berbeza 0.5 markah.

Sementara itu, Ayai seperti memiliki magis kerana mampu menyampaikan lagu ‘Raikan Cinta’ dengan baik dan kreatif ketika digandingkan dengan Datuk M Nasir. Persembahannya berubah terus berbanding ketika latihan.

Ketika mengulas persembahan Ayai Illusi, Ramli MS berkata, dia menasihatkan peserta Gegar Vaganza sejak musim pertama untuk elak menyanyi lagu yang dibawa oleh dua penyanyi iaitu Datuk Sudirman dan M Nasir kerana mereka mempunyai aura tersendiri yang sukar ditandingi.

Namun Ramli MS memuji cara Ayai memperseimbang persembahan M Nasir hingga mampu menghiburkan juri dan penonton.

/

Ayai mampu memberi persembahan luar biasa ketika digandingkan dengan M Nasir

Dalam pada itu, penyingkiran Datuk Aishah dapat dibayang sejak minggu kedua. Dia menjadi sasaran kritikan juri iaitu Ramli Ms, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat kerana gagal memberi persembahan sebaik ketika menjuarai GV4 lalu.

Bagi persembahan duet, Aishah gagal mendapatkan penyanyi Hafiz Suib sebagai pilihan pertamanya.

Dan Aishah gagal memberi persembahan baik ketika menyampaikan lagu ‘Terlanjur Cinta’ nyanyian asal Rossa dan Pasha Ungu. 

Menurut Ramli MS pasangan duetnya Vince Chong juga tidak memberikan persembahan baik bagi membantu Aishah.


/

Aishah gagal memberi persembahan memuaskan sehingga menjadi peserta ketiga tersingkir dari ASGV

Zamani pula gagal mengatasi kemampuan vokal Datuk Jamal Abdillah ketika menyampaikan lagu ‘Aku Penghibur’. Suaranya ditenggelamkan nyanyian padu Jamal.

Jika ada dua penyingkiran pada minggu ke-4, Siti Nordiana turut akan tersingkir kerana cuma memperolehi 49.75 markah.

Namun Siti Nordiana berada dalam radar juri untuk penyingkiran dalam minggu ke-5 atau seterusnya jika tiada peningkatan persembahan. 

Siti Nordiana perlu mempertingkat persembahan ketika membawa lagu ‘Ngajat Tampi’ yang dipopular Noraniza Idris.

Persembahan Siti Nordiana semakin kurang  bermaya dan mungkin dia merupakan peserta keempat yang bakal tersingkir daripada ASGV pada minggu depan (minggu ke-5).

Aishah ternyata kecewa menjadi peserta ketiga tersingkir. Aishah selepas keputusan diumumkan berkata secara sarkastik, ada pihak yang gembira melihat dia tersingkir.

Persembahan hos ASGV tetap mantap tanpa kehadiran Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom. - KitaReporters


Keputusan All Star Gegar Vaganza (ASGV) minggu ke-4:

01. Noryn Aziz - 85.25 (pasangan Liza Aziz)

02. Liza Hanim - 85 (pasangan Ziana Zain)

03. Ayai Ilusi - 83.25 (pasangan M Nasir)

04. Tomok - 74 (pasangan Stacy)

05. Nikki Palikat - 66.75 (pasangan Wani Kayrie)

06. Aliff Aziz - 66 (pasangan Aisyah Aziz)

07. Naqiu - 65.5 (pasangan Mishah Omar)

08. Ezad Lazim - 63 (pasangan Mamat Exist)     

09. Azharina Azhar - 62.5 (pasangan Azmi Caliph Buskers) 

10. Jaclyn Victor - 62.25 (pasangan Idayu)

11. Zamani Slam - 61.5 (pasangan Jamal Abdillah)    

12. Hardy Mirza - 60.25 (pasangan Marsha Milan)

13. Siti Nordiana - 49.75 (pasangan  Amir Masdi)

14, Datuk Aishah - 43.75 (pasangan Vince Chong) - tersingkir


14
15
0
10
0
You will be interested