USAHAWAN kosmetik sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, 35, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan membuat dan memulakan video bersifat sumbang atau jelik pada April 2022 lalu di Mahkamah Sesyen, Sepang pada Khamis, 13 Oktober 2022.
Aliff sebagai orang kena saman (OKS), membuat pengakuan tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah, dan minta dibicarakan.
Menurut Aliff dia membuat klip video itu sekadar sebagai hiburan mengikut caranya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan selebriti kontroversi Aliff Syukri
Usahawan kosmetik ini didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 (Akta 588), secara sedar melakukan kesalahan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022, yang dilihat pada 24 April 2022 di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya.
Jika sabit kesalahan, Aliff boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fazril Sani Mohamed Fadzil menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam mewakili Aliff, Hasshahari Johari Mawi ketika merayu pengurangan jumlah jaminan, berkata, Aliff, bekerja sendiri dan sudah berkahwin serta mempunyai lima anak tidak mungkin akan melarikan diri daripada menghadiri prosiding.
Beliau berkata, sebagai seorang yang rapat dengan keluarga, anak guamnya sedar perbuatan melarikan diri itu akan menyebabkan kepayahan kepada keluarganya.
Selain itu, katanya, sebagai ahli perniagaan, Aliff bertanggungjawab terhadap ramai pekerjanya.
Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 November 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Aliff membayar jaminan RM20,000.
Pada April 2022 lalu, Aliff dipanggil ke pejabat SKMM di Cyberjaya untuk membantu siasatan membabitkan penayangan klip video lagu bertajuk ‘Kelepuk Raya’ yang dimuat naik melalui media sosialnya.
Penayangan video itu melalui media sosial mendapat kecaman ramai pihak berikutan ia memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut dengan tarian mencolok mata.
Aliff yang tiba di mahkamah memakai baju putih sempat bertegur dengan petugas media sebelum dilihat memasuki ke dewan perbicaraan mahkamah.
"Hari ini amat bermakna buat hidup saya. Saya akan ke mahkamah. Jadi doakan yang terbaik untuk saya," katanya.
Perbicaraan Aliff Syukri mendapat perhatian pihak media dan usahawan sensasi ini memberi layanan baik kepada petugas media.
Klip video 'Kelepak Kelepuk' yang mula ditayang 5 bulan lalu dan telah diubahsuaikan dengan membuang kandungan yang ditakrif sebagai sumbang atau jelik itu telah ditonton 2.6 juta kali. - KitaReporters