Seni & Sukan 21 Sep, 2022

Terkejuz sangat! Peserta corot bolot hadiah utama! Jom Bowling 3.0! Usaha Kelab Alumni Karangkraf!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Seramai 90 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan Jom Bowling 3.0 anjuran Kelab Alumni Karangkraf (KAK) di Wangsa Bowl pada 18 September, 2022. - Kredit foto: KAK.


PESERTA veteran, Mohd Saad Salleh, 75, terperanjat apabila beliau diumumkan sebagai pemenang hadiah utama pertandingan Jom Bowling 3.0 yang berlangsung di Wangsa Bowl, Wangsa Walk, Kuala Lumpur pada Ahad, 18 September, 2022.

Saad yang sebelum itu dipilih memenangi kategori ‘Pemain Paling Senior’, seolah-olah tidak percaya beliau memenangi pakej penginapan 3 hari 2 malam di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis, Perlis, yang merupakan hadiah utama untuk pertandingan anjuran Kelab Alumni Karangkraf (KAK) itu. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti persatuan alumni

Peserta veteran, Mohd Saad Salleh (kiri) membawa pulang hadiah kategori 'Juara Longkang' dan 'Pemain Paling Senior'. - Kredit foto: KAK 


Saad memenangi hadiah itu melalui kategori ‘Juara Longkang’ selepas muncul peserta lelaki paling corot dengan jatuhan pin sebanyak 145 pin menerusi tiga perlawanan. 

“Saya menyertai pertandingan ini hanya sekadar suka-suka dengan niat memeriahkan acara dan bertemu kawan-kawan lama. Saya tidak mengharapkan apa-apa hadiah kerana sedar kemampuan diri dan kemenangan ini memang luar jangkaan,” kata Saad. 

Sementara itu, Wan Nur’Ain Balqis Wan Ahmad Lutfi, 17, pula memenangi ‘Juara Longkang’ wanita dengan 115 jatuhan pin, juga turut menerima pakej penginapan yang sama.


Wan Nur'Ain Balqis Wan Ahmad Lutfii menerima hadiah pakej penginapan 3H2M daripada Rodly Fadly selepas muncul sebagai 'Juara Longkang' wanita. - Kredit foto: KAK


Pemilihan ‘Juara Longkang’ sebagai pemenang hadiah utama adalah kemuncak kepada pertandingan itu. Ia turut mencetuskan elemen kejutan kepada semua peserta kerana lazimnya pemain yang mendapat mata tertinggi akan dipilih memenangi hadiah utama berbanding peserta corot.

Menurut Presiden KAK, Rodly Fadly, elemen kejutan itu sengaja diwujudkan sebagai salah satu cara memeriahkan pertandingan dan semua peserta menerimanya dengan hati terbuka tanpa sebarang bantahan. 

“Peserta memahami pertandingan ini lebih bersifat santai, suka-suka dan untuk menjalinkan ukhuwah dalam kalangan ahli KAK. Elemen kejutan sebegini sebenarnya menjadikan pertandingan lebih menarik dan meriah.

“Sejak awal peserta memang tahu ada kategori ‘Juara Longkang’ tapi pa yang mereka tidak jangka adalah pemenang kategori ini akan memenangi hadiah utama,” katanya.


Mizan Mat Tamin yang muncul juara High Score individu sedang menerima hadiah daripada Timbalan Presiden KAK, Sarimah Husin. - Kredit foto: KAK


Beberapa kategori lain turut dipertandingkan seperti ‘High Score’ individu dan berpasukan, ‘High Game’ individu, ‘Team Havoc’, ‘Famili Paling Sporting’ dan ‘Penyokong Paling Sporting’

Pertandingan itu disertai 90 pemain yang terdiri daripada ahli KAK serta keluarga mereka. Ia merupakan penganjuran kali ketiga selepas turut dianjurkan pada 2017 dan 2018.


Muhammad Nasir Hamzah melakukan 'roll off' bagi merasmikan pertandingan Jom Bowling 3.0. - Kredit foto: KAK


Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf (KMK), Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga merupakan Penasihat KAK melakukan ‘roll off’ bagi merasmikan pertandingan itu.

Turut hadir memeriahkan pertandingan itu adalah Pengerusi KMK, merangkap Penaung KAK, Datuk Hussamuddin Yaacub dan CEO Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim.

Hussamuddin dalam ucapan ringkasnya memuji usaha KAK menganjurkan pertandingan itu sebagai salah satu cara merapatkan ukhuwah dalam kalangan bekas kakitangan KMK serta mencadangkan agar ia dijadikan acara tahunan. 


Kehadiran Hussamuddin memeriahkan lagi acara Jom Bowling 3.0 anjuran Kelab Alumni Karangkraf. - Kredit foto: KAK


Sementara itu, Rodly berpuas hati dengan perjalanan pertandingan itu dan menganggap ia mencapai matlamat sebenar KAK. 

“Tujuan kami bukan hendak mencari siapa jaguh dalam sukan ini sebaliknya lebih bermatlamat beriadah sambil merapatkan hubungan sesama ahli serta keluarga mereka.

“Saya gembira kerana ada ahli sanggup datang sejauh dari Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan semata-mata mahu mengambil bahagian dalam pertandingan ini,” katanya.- KitaReporters


Senarai pemenang Jom Bowling 3.0:

Juara High Score Lelaki: Mizan Mat Tamin

Juara High Score Wanita: Nadiya Ahmad

Juara High Game Lelaki: Abdul Malek Wahab

Juara High Game Wanita: Haslina Kamaludin

Juara High Score Berpasukan: Majalah PC

Juara Longkang Lelaki: Saad Salleh

Juara Longkang Wanita: W Nur’Ain Balqis W Ahmad Lutfi

Famili Paling Sporting: Keluarga W Muriza W Mohamad

Penyokong Lelaki Paling Sporting: Baki Ali

Penyokong Wanita Paling Sporting: W Nur’Ain Batrisya W Ahmad Lutfi.

Hadiah Khas: Fauziah Abdul Samad


Pasukan Majalah PC menerima hadiah daripada Baha Azuwan sebagai juara High Score Kumpulan. - Kredit foto: KAK


Baki dipilih sebagai Penyokong Paling Sporting, menerima hadiah daripada Norazlina Abd Rahman. - Kredit foto: KAK

19
11
0
10
0
You will be interested