Murid perempuan SekTaJ cuba mempraktikan permainan lompat getah bersama rakan-rakan.
BANYAK sukan atau permainan tradisional semakin dilupai masyarakat termasuklah dalam kalangan generasi muda sekarang. Menyedari hakikat itu Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak Jawa (SeKTaJ), Jeram, Selangor memperkenal permainan lompat getah kepada muridnya.
Inisiatif yang tercetus daripada idea Guru Besar SeKTaJ, Nor Mahali Mohamad Torman itu diperkenalkan kepada murid dan warga sekolah berkenaan bagi memenuhi aktiviti kokurikulum bersempena Sambutan Bulan Kecergasan, Kesihatan dan Sukan Tradisional pada 18 Oktober 2023 lalu.
Nor Mahali, berkata permainan itu dipilih bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti kecergasan yang bermula dari sekolah, maka unit kokurikulum mengambil peluang untuk memperkenal serta mendedahkan sukan tradisional berkenaan kepada murid.
Seorang guru SeKTaJ (kiri) memberi tunjuk ajar kepada murid perempuan teknik mencantum getah.
Hal ini demikian kerana, menurut Nor Mahali, langkah itu juga secara tidak langsung dapat memperkenal beberapa jenis sukan tradisional lain yang bersesuaian untuk dimainkan oleh murid kerana rata-rata dalam kalangan mereka tidak tahu bermain seperti permainan lompat getah bahkan ada yang tidak pernah mendengar pun nama sukan berkenaan.
Tambahnya, dengan adanya program sambutan seperti itu, ia memberi peluang bagi menambahkan pengetahuan murid mengenai sukan tradisional yang semakin dilupakan akibat penggunaan gajet yang semakin berleluasa sekarang.
Sehubungan dengan itu, jelasnya murid juga perlu sedar bahawa sukan tradisional itu sangat bermanfaat untuk
mencergaskan minda dan fizikal tidak seperti permainan atau ‘game’ dalam talian yang banyak mendatangkan
kemudaratan seperti menyebabkan rabun dan sebagainya.
“Saya memilih permainan lompat getah ini kerana membantu dalam merangsang minda murid supaya sentiasa aktif, produktif dan bermotivasi disamping memupuk semangat kerjasama dalam pasukan, mengeratkan hubungan silaturahim antara guru, murid, warga sekolah serta komuniti setempat.
“Lompat getah juga memberi pendedahan kepada murid untuk sama-sama rasa bertanggungjawab untuk memelihara sukan tradisional yang semakin dilupai ini dan mereka boleh mempraktikannya untuk bermain bersama rakan sekampung atau menetap satu taman perumahan dengan mereka,” ujar Nor Mahali.
Nor Mahali Mohamad Torman (kanan) memberi tunjuk ajar kepada murid mengenai permainan lompat getah bersempena Sambutan Bulan Kecergasan, Kesihatan dan Sukan Tradisional pada 18 Oktober 2023.
Penyelaras Program Menggamit Memori Permainan Lompat Getah SeKTaJ, Cikgu Rahana Ismail, berkata apabila dimaklumkan kepada murid antara aktiviti kokurikulum itu adalah permainan lompat getah yang menyebabkan sebahagiannya kelihatan gembira dan keterujaan untuk mencuba.
Tambahnya, bagi murid terbabit lompat getah merupakan permainan yang baharu kepada mereka dan berasa seronok
apabila turut diajar cara bermain malah mereka ditunjukkan bagaimana untuk mencantumkan getah menjadi panjang sebelum permainan berkenaan dimainkan.
Menurutnya, pada ketika itu wujud semangat kerjasama yang erat antara murid ketika berusaha mencantum getah sebelum bermain yang jelas terpancar pada wajah mereka serta kelihatan berlumba-lumba untuk menyiapkan cantuman getah.
Beliau berkata, selepas murid ditunjukkan cara mencantum getah dan bermain lompat getah mereka dengan cepat belajar serta memahami kaedah permainan itu malah berasa begitu gembira apabila turut disertai warga SeKTaJ termasuk guru besar.
“Walaupun ada sesetengah murid mendakwa pernah mencuba permainan ini bersama ahli keluarga mereka namun keterujaan serta keseronokan lebih terasa apabila dapat bermain bersama-sama rakan di sekolah,” kata Rahana.
Murid perempuan SeKTaJ begitu teruja bermain lompat getah.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SeKTaJ, Abdul Halim menyifatkan permainan itu menanamkan semangat patriotisme dalam diri murid supaya mencintai dan memelihara sukan tradisional yang diwarisi daripada nenek-moyang kita.
Seorang guru, Nurismawati pula berkata program itu bukan setakat menjurus ke arah kemenjadian murid malah sangat
memotivasikan diri murid dan guru supaya sentiasa berusaha bagi mempertahan sukan tradisional yang semakin luput ditelan zaman, selain dapat memupuk sifat kerjasama erat antara warga sekolah.
Jelasnya, program seperti itu wajar diadakan setiap tahun malah membabitkan ibu bapa murid bagi melahirkan rasa bersyukur serta semangat juang untuk memelihara warisan sukan yang begitu terkenal pada masa dahulu bagi mengisi masa terluang. - KitaReporters
Murid lelaki SeKTaJ menunjukkan aksi mencantum getah.