Seni & Sukan 10 Feb, 2022

Sumali bakal Presiden keenam PSM! Zuraidin umum tarik diri! Bukan bimbang kalah teruk pemilihan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ZURAIDIN Abdullah mengumumkan penarikan diri daripada persaingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PSM bagi penggal 2022-2025. - Kredit foto: Gastak


BUKAN sebab bimbang kalah teruk. Tetapi kerana menghormati pandangan majoriti presiden ahli-ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Zuraidin Abdullah menjelaskan kedudukan ketika memutuskan penarikan diri daripada menyaingi jawatan Presiden PSM secara satu lawan satu dalam pemilihan Jawatankuasa Tertingginya pada 12 Februari 2022.

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) itu hanya mendapat dua pencalonan sebagai Presiden PSM ketika tarikh tutupnya 6 Februari 2022 dan satu pencalonan bagi Timbalan Presiden menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) pemilihan di ibu kota itu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan sepak takraw

MOHD. Sumali Reduan bakal muncul Presiden PSM keenam yang akan disahkan oleh ahli-ahli gabungan persatuan dalam AGM di Kuala Lumpur pada 12 Februari 2022. 


“Saya telah membuat keputusan untuk menarik diri dan tidak bertanding bagi jawatan-jawatan lain (termasuk Timbalan Presiden PSM) pada mesyuarat berkenaan.

“Keputusan ini adalah untuk memberi laluan kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip), Datuk Mohd. Sumali Reduan untuk menerajui PSM,” katanya dalam kenyataan media pada 10 Februari 2022. 

Keputusan Zuraidin itu bakal membolehkan Sumali yang kini Naib Presiden PSM, menang tanpa bertanding, sekali gus muncul Presiden badan induk kebangsaan itu yang keenam sejak penubuhannya pada 25 Jun 1960.

Hanya nama mereka yang dicalonkan ahli-ahli gabungan PSM bagi kerusi No. 1 itu yang kekosongan ekoran peletakan jawatan oleh Datuk Seri Ahmad Ismail pada 5 Jun 2021.

Sumali beroleh tujuh pencalonan antaranya dari Persewip, Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Persatuan Sepak Takraw Sabah (Astaka) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT). 



"Timbalan Presiden PSM yang layak ialah Datuk Abdul Halim Suleiman dan Datuk Abdul Puhat Mat Nayan sebab mendapat sokongan yang banyak (lapan dan tujuh pencalonan)," katanya.

Halim juga ialah bekas Naib Presiden PSM yang meletakkan jawatan itu ketika menarik keluar Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ) yang diterajuinya pada 10 Mei 2021 manakala Puhat, Presiden Persedar.   



"Ya, saya tetap hadir sebagai perwakilan dari Gastak," kata Zuraidin ketika ditanya mengenai kehadirannya ke AGM badan induk kebangsaan itu biarpun sudah mengumumkan penarikan diri daripada pertandingan. 

Katanya lagi, “saya percaya dengan kewibawaan dan pengalaman Sumali, sepak takraw negara akan dapat ditadbir dengan baik. Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira semua perkara dan pandangan.”

Gastak katanya, turut akan terus menyokong PSM dalam menangani segala isu sehingga PSM dapat diterima semula menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang menyingkirkannya pada 20 Mei 2021.

“Dengan keputusan ini juga, saya akan memberi tumpuan lebih kepada Gastak dan pembangunan sepak takraw di Kelantan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Chetok, Kelantan ini yang menerajui Gastak sejak 2019.


ZURAIDIN Abdullah (berdiri, tengah) bersama pasukan Kelantan dalam persiapan menghadapi liga kebangsaan 2022. - Kredit foto: Gastak

sse

12
9
0
10
0
You will be interested