Seni & Sukan 04 Jun, 2021

Harimau Malaya dibaham UAE 4-0! Penyokong marah, pemain naturalisasi jadi sasaran lepas geram!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


Bangun pagi, buka media sosial, sebagaimana diduga, ia dipenuhi dengan luahan kekecewaan penyokong bola sepak Malaysia ekoran kekalahan 0-4 Harimau Malaya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, di Stadium Zabeel, Dubai, awal pagi tadi, Jumaat 4 Jun 2021.

Rata-rata penyokong yang menaruh harapan tinggi kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini terpaksa menelan kekecewaan dengan prestasi hambar skuad negara terutama pada hujung babak apabila dibolosi tiga gol.

Tidak dinafikan, dengan kemasukan tiga pemain naturalisasi ditambah dengan kehadiran saat akhir pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools, Harimau Malaya diharap dapat memberi saingan kepada UAE walaupun kedudukan ranking dunia menunjukkan jurang antara kita dengan lawan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya


Kredit foto-foto: FB FAM 


Dalam perlawanan semalam, Khamis 3 Jun 2021 (waktu UAE), Malaysia dibolosi gol pertama pada minit ke-19 hasil jaringan Ali Mabkbout. Walaupun mampu bertahan sehingga penghujung babak kedua, namun Harimau Malaya terkulai dengan tiga gol UAE dalam tempoh enam minit, bermula minit ke-83 melalui rembatan Fabio De Lima, dituruti olehjaringan Fabio dan Ali pada minit-minit akhir.

“Tak tahu nak sedih ke nak gembira, punye la tunggu game ni harap ada saingan, menang tu tak la harap sangat…tapi hmmm saingan takdop…team spirit takdop,” tulis  seorang penyokong, Helmi Patnam.

Atas kertas nampak kuat, nampak garang. Atas padang lain macam jadinya. Sudah-sudahlah promo sampai over-hyped. Mengecewakan. Biar kalah tapi main cantik, main dengan semangat juang yang tinggi,” tulis Yusri Yusof pula. 


De Paula menjadi sasaran kemarahan penyokong kerana gagal memberi impak diharapkan dalam perlawanan menentang UAE, awal pagi tadi. - Foto: FAM


Kebanyakan  penyokong merpersoalkan kredibiliti pemain naturalisasi yang ‘diimport’ untuk memperkuatkan skuad kebangsaan. Pada ketika Mohamadou Sumareh dilihat terselamat daripada serangan itu, dua lagi pemain, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula menjadi sasaran penyokong melepaskan geram.

Penyokong ternyata tidak berpuas hati dengan sumbangan kedua-dua pemain itu yang dianggap hanya setaraf pemain tempatan malah ada yang mempertikaikan semangat mereka sebagai ‘rakyat Malaysia’ selepas mendapat kerakyatan negara ini untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Liridon dan De Paula didakwa tidak menunjukkan kesungguhan serta tahap sebenar sesuai dengan taraf mereka sebagai pemain naturalisasi.

“De Paula takde fungsi langsung… baik ko join ultras UAE marhaban je reramai" 



Paling teruk menerima kecaman adalah De Paula, pemain kelahiran Brazil yang merupakan rekrut terbaharu atas tiket naturalisasi. Kekecewaan penyokong terhadap pemain itu sangat jelas sehingga ada yang mengeluarkan kata-kata kesat malah mencarut ke atasnya.

“Memang sakit hati sangat-sangat aku tengok mamat ni…Camne (Macam mana) la coach boleh tengok dia power,” luah Raz Is melalui Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“De Paula takde fungsi langsung…baik ko join ultras UAE marhaban je reramai,”tulis Azril Huzairi pula.

“Pemalassss… bukan main sebab lencana di dada, tak profesional,” tulis seorang penyokong pula.

Man of the match De Paula, berjogging dan bersiar-siar sambil menghirup udara segar di atas padang,” sindir Ezad Legeba.


Sumareh (kiri) terlepas daripada kecaman peminat sementara persembahan Corbin Ong mendapat pujian walaupun Malaysia dibolosi empat gol- Foto: FAM


Banyak lagi ungkapan-ungkapan kurang enak diluahkan dan ia sudah tentu ditulis akibat kekecewaan yang melampau kerana tidak dapat menerima kekalahan Malaysia.

Malah, ada yang tidak dapat membendung kemarahan sehingga mencadangkan agar kerakyatan De Paula dan Liridon ditarik balik.

“Da (Dah) boleh tarik balik ic (kad pengenalan) De Paula,” tulis Amir Nazrith Wahed menggambarkan betapa kecewanya beliau dengan prestasi pemain itu malam tadi.

“Suruh tarik balik warganegara  Liridon ngan Depola (De Paula), apa bendalah main bola takde jiwa takde semangat " - Amir Soffian.


Sumareh mengawal bola daripada direbut pemain UAE sambil Liridon dan De Paula bersedia untuk membantu. Foto: FAM


“Suruh tarik balik warganegara  Liridon ngan Depola (De Paula), apa bendalah main bola takde jiwa takde semangat, orang lain bukan main susah nak mohon kerakyatan, ko main bola orang lain yang buatkan untuk ko, still jogging dengan melenggang atas padang?” kata Amir Soffian pula.

Sudah tentulah ungkapan sedemikian tidak sepatutnya diucapkan, namun ia cukup untuk menggambarkan kekecewaan rakyat Malaysia atas kekalahan itu.

Begitu pun masih ada yang bersifat rasional serta menerima kekalahan itu dengan hati terbuka mengakui Harimau Malaya belum setanding UAE yang kini menduduki ranking ke-74 dunia sedangkan Malaysia pada kedudukan ke-153.



Mereka tidak menuding jari kepada Liridon dan De Paula sebaliknya menganggap kelemahan ketara Malaysia adalah bahagian tengah yang turut ditunjangi Lirion bersama Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Azih.

BigBang Fishery menulis: “UAE  tak dinafikan memang solid tapi tengok game tadi, midfield mati akal, press pun tak nak. Better lawan Bahrain aritu nampak Mat Don sedap main, malam ni hampehh.”

Malah ada yang memberi kata-kata semangat kepada Harimau Malaya agar dapat bangkit apabila menentang Vietnam dan Thailand dalam baki dua perlawanan nanti. 


 Shafiq Ahmad cuba merebut bola dari kaki pemain UAE dalam perlawananan yang berkesudahan Malaysia tunduk 0-4. Foto: FAM


Mohamad HazRani Harun menulis: “Team kita rasanya dh makin ok dan padu. Cuma perlu terima hakikat dan realistik, team UAE memang lagi solid…Tapi insyaAllah next game, kita boleh bagi saingan...Teruskan usaha tingkatkan prestas!”

Komen itu mendapat sambutan positif daripada peminat yang menamakan dirinya , Muin yang menulis: “Betul, nak tengok Vietnam dan Thai ja… UAE memang dah tahap lain…lambat lagi nak boleh fight…xpa next game, lawan Vietnam dan Thailand buat sehabis baik.”

Ekoran kekalahan semalam, Malaysia kini menduduki tangga ke-4 dalam Kumpulan G dengan sembilan mata. Kita akan menentang Vietnam pada 12 Jun, disusuli pertemuan dengan Thailand pada 16 Jun ini. - KitaReporters


Malaysia kini menduduki tangga ke-4 Kumpulan G dengan sembilan mata selepas tewas kepada UAE di Stadium Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun 2021. 

0
0
1
0
2
You will be interested