Gaya Hidup 12 Nov, 2021

Suku Akhir Piala Malaysia: JDT, Terengganu miliki kelebihan! Derby Selangor-KL jadi tumpuan!

@rodli nayan @ rodly fadly
Berpengalaman hampir 40 tahun dalam bidang kewartawanan, antaranya sebagai pengarang majalah Arena Bolasepak, Mingguan Sukan dan Bola Perdana, juga bertugas sepenuh masa serta sambilan bersama Berita Harian, Harian Metro, Mingguan Perdana dan Sinar

Share this


PERTANDINGAN Piala Malaysia 2021 memasuki peringkat suku akhir dengan lapan pasukan bakal membuat perhitungan untuk memburu tiket ke separuh akhir.

Ia mempertembungkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC sambil Terengganu FC bertemu Sarawak United FC (SUFC), Melaka United FC menentang Sabah FC dan juara 33 kali, Selangor FC bakal membuat perhitungan dengan kelab tetangga, Kuala Lumpur City FC (KL City).

Dua pertembungan dijangka menjadi tumpuan membabitkan JDT-Kedah dan Selangor-Kuala Lumpur atas beberapa faktor, sama ada sejarah silam atau perkembangan terkini keempat-empat pasukan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala Malaysia

 


Bagi bekas pemain kebangsaan, Mat Zan Mat Aris, beliau begitu teruja untuk menyaksikan perlawanan antara Selangor dengan KL City kerana ia bakal mengimbas kembali sejarah pertembungan kedua-dua pasukan itu pada era 1980-an yang digelar sebagai ‘Klang Valley Derby’.

“Ketika saya mula mewakili Kuala Lumpur pada 1980, Selangor adalah sebuah pasukan yang gah dengan nama-nama besar seperti Datuk Mokhtar Dahari, (Datuk) Soh Chin Aun, (Datuk) Santokh Singh, (Datuk) R Arumugam dan ramai lagi.

“Mereka bukan sahaja Raja Lembah Kelang tapi gergasi bola sepak Malaysia sedangkan KL sebuah pasukan kerdil yang selalu menjadi ‘mangsa buli’ Selangor dalam liga atau Piala Malaysia. 

“Saya masih ingat betapa gementarnya saya ketika diarahkan jurulatih untuk mengawal Mokhtar Dahari dalam perlawanan pertama saya bersama KL menentang Selangor. Ketika itu saya baru berusia 22 tahun dan masih mentah.

“Tapi, pada pertengahan hingga akhir tahun 1980-an apabila Kuala Lumpur mula bangkit, setiap pertembungan dengan Selangor menjadi sangat menarik sehingga dilabel sebagai ‘Klang Valley Derby’ yang mencetuskan suasana bagai perlawanan akhir.


Mat Zan pernah terbabit dalam 'Kelang Valley Derby' antara Kuala Lumpur dengan Selangor pada era 1980-an.


“Ketika itu, kami bukan sahaja perlu berlawan dengan pemain di atas padang tapi juga terpaksa berdepan dengan puluhan ribu penyokong mereka yang fanatik di dalam dan di luar stadium.

“Saya masih ingat, jika KL kalah, penyokong-penyokong mereka sengaja melakukan provokasi dengan berlegar-legar di Kelab Sukan Dewan Bandaraya (DBKL) di Brickfield sambil mengibar bendera Selangor ketika kami menjalani latihan di situ. 

“Tapi, itulah yang menghidupkan suasana bola sepak ketika itu menyebabkan perlawanan antara Selangor dan Kuala Lumpur sentiasa dinantikan dan jadi tumpuan.

“Atas faktor itu, saya jangka pertembungan kali ini juga akan menjadi tumpuan penyokong kedua-dua pasukan apatah lagi ia adalah saingan suku akhir,” kata Mat Zan.

Namun, bekas pemain tengah yang digelar ‘Orang Besi’ itu berkata, pada pertembungan kedua-dua kelab kali ini, tidak ada pasukan yang boleh diangkat sebagai pilihan.

“Berdasarkan prestasi musim ini, Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai kekuatan yang setara apabila seri 1-1 dalam kedua-dua perlawanan liga.

“Dari segi kedudukan dalam liga juga, ia tidak banyak beza apabila Selangor di tangga ke-5 dan KL ke-6 dengan dipisahkan jurang tiga mata sahaja. Jadi, peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50,” ujar Mat Zan.


Shahrel Fikri Md Fauzi (jersi kuning) baru pulih daripada kecederaan dan menjadi pertaruhan Selangor untuk perlawanan menentang Kuala Lumpur. - Kredit foto: MFL


Ia berbeza dengan satu lagi pertembungan menarik antara JDT dengan Kedah yang mana pada pandangan Mat Zan lebih memihak kepada pasukan Harimau Selatan.

“JDT adalah sebuah pasukan yang konsisten serta berada satu tahap lebih tinggi berbanding pasukan-pasukan lain dalam liga Malaysia. Buat masa ini, kita boleh letakkan mereka sebagai Raja Bolasepak Malaysia.

“Kedah pula walaupun menduduki tangga kedua Liga Super dan merupakan naib juara Piala Malaysia 2019 namun mereka belum sampai ke tahap JDT.

“Rekod pertemuan dengan JDT musim ini juga tidak memihak kepada Kedah. Mereka tewas (0-2) pada perlawanan Piala Sumbangsih dan (0-1) dalam liga.

“Apatah lagi prestasi mereka dalam Piala Malaysia tidak konsisten pada peringkat kumpulan. Untuk itu saya tidak ragu-ragu untuk memilih JDT ke separuh akhir,” katanya.

JDT menewaskan Kedah 3-0 pada final Piala Malaysia 2019. Pertandingan itu tidak dipertandingkan pada 2020 kerana negara dilanda Covid-19.


Kipre Techetche (kiri) ayam tambatan Kedah. - Kredit foto: Kedah FC


Mengenai pertemuan Terengganu dengan Sarawak United, Mat Zan cenderung memilih pasukan bimbingan Nafuzi Zain sebagai pemenang berdasarkan konsistensi mereka sepanjang musim ini.

“Terengganu agak bergelut pada akhir musim Liga Super tapi kembali bangkit dalam Piala Malaysia. Walaupun Sarawak memililiki ramai pemain berpengalaman, namun lawan mereka mempunyai kombinasi pemain lebih mantap di setiap bahagian.”

Mat Zan menjangkakan Sabah di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee pula mampu memberi saingan kepada Melaka United pada satu lagi perlawanan suku akhir.


Terengganu pasukan pilihan ke separuh akhir Piala Malaysia 2021. - Kredit foto: Terengganu FC


“Namun, berdasarkan prestasi semasa, saya melihat Melaka memiliki sedikit kelebihanan, mungkin peluang 60-40 untuk pasukan itu ke separuh akhir.

“Walau bagaimanapun, bola itu bulat dan elemen kejutan tidak boleh dinafikan boleh berlaku. Saya meramalkan berdasarkan permerhatian tapi siapa tahu pada hari perlawanan, sesuatu luar jangkaan berlaku,” kata Mat Zan.

Untuk rekod, Mat Zan mewakili Kuala Lumpur selama 13 tahun bermula pada 1980 dan membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia tiga tahun berturut pada 1987, 1988 dan 1989.

Beliau juga membimbing Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada 2001 semasa menjadi jurulatih pasukan itu. – KitaReporters.


JDT menjadi pasukan pilihan untuk mempertahankan Piala Malaysia yang mereka juarai pada 2019.


JADUAL SUKU AKHIR PIALA MALAYSIA 2021

Ahad 14 November, 2021 (Perlawanan pertama)

SABAH FC lwn MELAKA UNITED

KEDAH FC lwn JDT

TERENGGANU FC lwn SARAWAK UNITED

SELANGOR FC lwn KL CITY FC

Khamis 18 November, 2021 (Perlawanan kedua)

MELAKA UNITED lwn SABAH FC

JDT lwn KEDAH FC

SARAWAK UNITED lwn TERENGGANU

KL CITY FC lwn SELANGOR FC

19
16
0
12
0
You will be interested

Video| Takut kena saman? Cuba ini! Wanita guna coli, seluar dalam tutup nombor plat motosikal!

Gara-gara takut kena tindakan atas kesalahan trafik, seorang penunggang motosikal tutup nombor plat gunakan coli warna kelabu, seluar dalam warna merah jambu

Video| Syabas Ayez Shaukat-Fonseka! Ahli gusti Malaysia muncul di TV Amerika! Reality of Wrestling!

Ayez Shaukat-Fonseka Farid berada di Texas, Amerika Syarikat untuk terbabit dalam 6 episod rancangan Reality of Wrestling bagi tayangan di televisyen negara itu
Khadijah Ibrahim in Gaya Hidup 7 hours ago

Video| Puteri Sarah vs Ira Kazar! Saman selepas 4 tahun diam diri, pulang umrah, solat istikarah!

Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin akhirnya ambil tindakan undang-undang terhadap Ira Kazar sebagai orang ketiga yang ganggu rumah tangga dan kehidupannya
Fauzan Uda Ahmad in Gaya Hidup 15 hours ago

Tolong kami! Bantu Ooi Eow Jin! Perlu rawatan Alzheimer! Anak hidapi tumor otak! Positif Covid-19!

Sebak hati tatkala menatap foto Ooi Eow Jin, 84, dan anaknya, Raymond Ooi, 57. Eow Jin hidap Alzheimer, manakala Raymond hidap tumor otak. Kini positif Covid-19
Khadijah Ibrahim in Gaya Hidup 1 day ago