Seni & Sukan 03 Jul, 2022

Video| Mahu jadi seorang penulis? Boleh bermula di Akademi Sanggar Nurimas! Bagi serlahkan bakat!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: ainalmarhaton63@gmail.com

Share this

Sebahagian penulis bergambar kenangan selepas Majlis Pelancaran Buku dan Apresiasi Alumni ASN di Erya by Suria Cherating Resort, Kuantan. 


DUNIA penulisan penuh dengan warna warninya yang tersendiri. Malah menulis bagi seorang penulis sudah menjadi 'makanan jiwa' mereka. Sehari tidak menulis, hati tidak akan tenang. 

Sesetengah penulis versatil mampu untuk merencanakan apa sahaja yang mahu digarapkannya. Bukan setakat menulis, mereka juga pasti seorang pembaca tegar yang memliki puluhan, ratusan atau ribuan naskhah pelbaga genre sebagai bahan bacaan, rujukan dan ilmiah. 
Ia bukan sesuatu yang mustahil bagi seorang penulis untuk proaktif dalam dunia pembukuan jika sudah ditakdirkan hayatnya dihabiskan dalam industri itu. 
Selain itu, pengalaman sebagai guru dan wartawan turut membantu penulis pemula melakar hasrat bergelar penulis atau pengkarya serba boleh.

Lagi cerita-cerita menarik berkaitan buku-buku

Peneraju Akademi Sanggar Nurimas, Samiron Rahmat
Tidak terkecuali seorang penulis prolifik, Samiron Rahmat, 61, yang sudah bergelumang dalam dunia pembukuan negara sejak lebih 25 tahun lalu.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Nurimas SN atau Cikgu Abah juga adalah pengasas dan pengajar utama Akademi Sanggar Nurimas (ASN) yang bertapak di Kemaman, Terengganu.
Menurut Samiron, ASN kini memiliki keahlian sekitar 200 orang hasil berbengkel dan mengikuti kelas dalam media sosial Facebook sejak dua tahun lalu.
Beliau yang pernah diundang sebagai tenaga pengajar dan penyelaras bersama antaranya Pena Padu, Taiko Seni dan Syahida Hassan Enterprise (SHE) dalam puluhan projek antologi.

Majlis Pelancaran Buku dan Apresiasi Alumni ASN yang dirasmikan oleh Che Alias Hamid (empat dari kanan) di Erya by Suria Cherating Resort, Kuantan.

Samiron mempunyai banyak pengalaman menulis dalam pelbagai genre bermula daripada penulisan karya peringkat kanak-kanak seperti puisi, cerpen, buku cerita ke novel, skrip drama, berita/rencana, penulisan teks - syarahan, pidato, ucapan, deklamasi puisi, syair dan pengacaraan.

Samiron juga menganjurkan kelas dan bengkel penulisan cerpen, puisi, novel, rencana dan berita. 
Antara buku solo yang telah diterbitkan ialah novel Bidadari Mimipi (1995), Jurai-jurai Cinta (1997), Bitaranya Cinta (2019), Sukarelawan Nan Lima (2021) dan Sahabatsejati.com (2021). 
Beliau turut menghasilkan kumpulan cerpen termasuk Kalau Abah Dapat Gaji (2018), Baju Raya Sedondong Awanis (2019), Aki Popular (2020), Sup Meletup (2121), dan Tioga Dekad Mengintai Bulan (2121).

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid (dua dari kanan) memotong pulut kuning sebagai simbolik Majlis  Pelancaran Buku dan Apresiasi Alumni ASN di Erya by Suria Cherating Resort, Kuantan pada 25 Jun 2022.


Samiron yang memiliki pengalaman sebagai guru Bahasa Melayu selama 17 tahun tidak menafikan bahawa seseorang yang ingin menjadi penulis perlu memiliki minat dan asas penulisan.
Dua elemen ini penting untuk memulakan karier sebagai penulis. Namun begitu, mereka yang 'kosong' juga boleh menjadi penulis berjaya jika mengikuti bengkel dan kelas-kelas penulisan yang diadakan," katanya.
Menurutnya, penularan pandemik Covid-19 sedikit sebanyak mempengaruhi perjalanan dunia penulisan apabila banyak aktiviti tidak dapat diadakan secara fizikal.

“Saya terpaksa tangguhkan pelancaran buku dan penubuhan Alumni ASN secara fizikal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bengkel juga terpaksa diadakan secara online.

“Apabila PKP ditamatkan dan pertemuan fizikal boleh diadakan, saya segera menubuhkan jawatankuasa ad-hoc untuk menjalankan urusan majlis pelancaran buku ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku 

dan Apresiasi Alumni ASN yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid di Erya by Suria Cherating Resort, Kuantan pada 25 Jun 2022.

Datin Salimah Abdullah menerima anugerah Karyawan Kersani


Dalam majlis penuh meriah itu, pelbagai hadiah disediakan termasuk 24 hadiah untuk penulis dan karya terbaik menerusi tujuh buku yang dilancarkan iaitu Pena Bertinta Citra, Berikan Aku Waktu itu, Mahkota Dewa Menangis, Mimpi Rindu Amalina, Dunia Keriangan Kanak-kanak, Mengurai Impian dan Balada Angka-angka.

ASN turut menyampaikan lima anugerah utama Ikon Malar Segar yang diberikan kepada Dr Sakinah Abu Bakar, Ikon Malar Segar (Mohd Khairul Asraf Ahmad), Karyawan Kersani (Datin Salimah Abdullah), Penulis Humaniti (Mazziah Wahab) dan Alumni Prolifik (Melor Nur Ain Idris).

Mazziah Wahab menerima Anugerah Penulis Humaniti


Katanya, ASN dibentuk untuk memacu dunia sastera tanah air kembali menjadi idola para pembaca terutamanya remaja. 

Justeru, katanya, dia sentiasa berusaha merekrut penulis baharu dalam kalangan yang tidak kenal langsung erti sastera untuk dilatih sebagai penulis.

"ASN ingin membawa sastera tanah akhir ke pentas global sebagaimana motonya, 'Aksara Melakar Buana' supaya nilai-nilai estetika dalam dunia pembukuan dan kesusasteraan di Malaysia terus dikenali dan diingati.

“Kepada semua penulis pemula yang masih kosong ilmu, jangan segan untuk memulakan perjalanan dalam dunia penulisan ini,”  katanya yang pernah memenangi pelbagai anugerah utama penulisan pada peringkat negeri dan kebangsaan termasuk Hadiah Sastera Darul Iman dan Sayembara Gapura Terengganu. 

Jom meriahkan dunia pembukuan di Malaysia. 

Untuk penulis pemula, jangan risau untuk menonjolkan bakat anda. Belum cuba belum tahu sejauh mana kekuatan tulisan kita boleh meresap di hati pembaca. Mulakan langkah pertama dengan menyertai bengkel penulisan. - KitaReporters  


Penulis bergambar kenangan bersama Che Alias Hamid (empat dari kiri) dan Samiron Rahmat (dua dari kanan) selepas Majlis  Pelancaran Buku dan Apresiasi Alumni ASN yang dirasmikan di Erya by Suria Cherating Resort, Kuantan pada 25 Jun 2022. 

19
12
0
15
0
You will be interested