Sandro (kanan) menjadi watak utama Sarawak United untuk memburu slot ke Liga Super 2022. - Kredit foto: Sarawak United FC.
KEMELUT gaji yang melanda pemain import, Sandro da Silva sudah selesai apabila majikannya, Sarawak United FC melangsaikan tunggakan yang didakwa berlaku malah tidak timbul lagi isu gaji ‘sangkut’ apabila ia kini dibayar tepat pada masanya.
Ia jelas melegakan Sandro sekali gus membolehkan dirinya kini memberi sepenuh tumpuan untuk membantu pasukan itu layak ke Liga Super musim depan (2022).
“Semua dah selesai, soal gaji sudah tidak jadi masalah sekarang, cuma ada beberapa perkara lain perlu dibincang tapi ia hal kecil.
“Kami masih ada lima perlawanan, saya mahu menyelesaikan tugas saya dan bergerak ke depan. Sebagai profesional, saya akan bermain sehingga kontrak saya tamat pada Disember (2021) nanti.
“Saya yakin kami akan layak ke Liga Super malah mampu menjadi juara Liga Perdana. Kita tunggu dan lihat,” kata Sandro.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak
Datuk Posa Majais, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak. - Kredit foto: Utusan Borneo.
Isu tunggakan gaji yang dibangkitkan oleh Sandro sebelum ini mencetuskan suasana ‘panas’ dalam kem pasukan itu apabila ia tidak disenangi Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais.
Sandro menerusi peguamnya, Zhafri Aminurashid, mendakwa hanya menerima 70 peratus gaji bagi bulan Januari dan Februari, sebelum langsung tidak menerima gaji Mac dan April.
Malah, Sarawak United juga didakwa gagal menjelaskan elaun rumah dan kereta bagi bulan Mac dan April dengan nilai keseluruhan tunggakan gaji serta elaun dianggarkan ratusan ribu ringgit.
Ekoran itu, Sandro bercadang membawa kes itu ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika Sarawak United gagal menyelesaikan tunggakan berkenaan pada tempoh yang diberikannya.
Tindakan Sandro mendedahkan perkara itu melalui media kurang disenangi Posa yang kemudian membuat kenyataan bersedia melepaskan pemain itu kepada pasukan lain secara percuma.
Sandro kini dapat memberi tumpuan terhadap kariernya bersama Sarawak United selepas isu tunggakan gaji diselesaikan. - Kredit foto: MFL
“Terserah kepada jurulatih kerana kalau ikutkan hati, saya memang tidak mahu tengok muka dia lagi. Kalau hendak kekal, dia perlu tunjukkan prestasi baik.
“Kalau betul kelab luar nak ambilnya, saya bagi percuma sahaja, cuma bayar gaji sebulannya yang tertunggak. Soal yuran perpindahan saya sedekahkan sahaja,” kata Posa seperti dilaporkan media.
Namun, dengan perkembangan terbaharu, isu itu boleh dianggap selesai apatah lagi Sandro kini adalah antara watak utama pasukan bimbingan E Elavarasan dalam memburu kejayaan musim ini.
Kedudukan Liga Perdana 2021
Berdasarkan kedudukan terkini carta Liga Perdana, Sarawak United mengungguli tangga teratas dengan 31 mata selepas menang sembilan perlawanan, seri empat kali dan kalah dua kali daripada 15 perlawanan yang sudah diharungi.
Mereka dicabar oleh Terengganu FC 2 (TFC2) dan Negeri Sembilan yang masing-masing mengumpul 29 mata sementara Johor Darul Ta’zim 2 (JDT2) di tangga keempat dengan 26 mata, disusuli Selangor FC 2 dengan 22 mata.
Namun, bersandarkan peraturan pertandingan, pasukan sokongan atau feeder club tidak layak ke Liga Super, meskipun mereka menjuarai Liga Perdana atau menduduk tangga kedua.
Empat pasukan sokongan (feeder club) yang menyertai pertandingan tahun ini adalah JDT2, TFC2, Selangor FC 2 dan Perak FC 2, sementara pasukan Projek FAM-MSN melengkapkan jumlah penyertaan sebanyak 11 pasukan.
Sarawak United berpotensi untuk muncul juara Liga Perdana 2021 sekali gus layak ke Liga Super 2022. - Kredit foto: Sarawak United FC.
Justeru dengan kedudukan sekarang, Sarawak United yang menggunakan motto ‘Encang Sampe Champion’, berada pada landasan selesa untuk sekurang-kurangnya menempah slot ke Liga Super malah berpeluang cerah untuk menjuarai Liga Perdana.
Saingan terdekat mereka adalah Negeri Sembilan yang mengumpul 29 mata sambil satu lagi persaing, PDRM FC, berada tangga keenam dengan 22 mata perlu memenangi baki semua perlawanan jika tidak mahu tercicir dalam persaingan ke Liga Super.
Bagi Sandro, peluang yang terhidang luas ini tidak patut disia-siakan oleh Sarawak United malah dia yakin dengan barisan pemain import seperti Taylor Reagan, Lee Chang-hoon, Uche Agba serta bintang tempatan seperti Norshahrul Idlan Talaha, Christie Jayaselan, Muhammad Rizqi Gopi Abdullah dan ramai lagi, pasukan itu memiliki keupayaan untuk melaksanakan misi berkenaan.
Mengenai masa depannya selepas kontrak bersama Sarawak United tamat pada 31 Disember 2021, Sandro berkata dia akan memikirkan selepas tugasannya musim ini disempurnakan.
Norshahrul Idlan Talaha, antara bintang tempatan yang memperkuatkan Sarawak United musim ini. Kredit foto: Sarawak United
“Saya tidak pasti. Jika ada tawaran, mungkin saya akan teruskan tapi jika tidak, saya fikir untuk bersara. Tengoklah bagaimana nanti,” ujar pemain berusia 38 tahun itu.
Menurut Sandro, dalam menentukan hala tuju kariernya, dia mementingkan keseronokan untuk bermain dengan sesebuah pasukan.
“Jika saya hanya memikirkan tentang duit (gaji), sukar untuk saya bermain bola sepak. Saya mesti berasa seronok untuk bermain kerana ia akan memberi motivasi kepada saya.
“Sudah tentu duit juga penting, tapi saya perlukan keseronokan dan motivasi untuk melaksanakan tugas saya. Tahun ini agak mencabar untuk saya tapi saya sudah dapat mengatasinya,” kata Sandro.
Sepanjang tujuh musim beraksi dalam Liga Malaysia, pemain kelahiran Brazil itu pernah mewakili Kedah pada 2015 hingga 2018 dan Selangor (2019-2020) sebelum menyertai Sarawak United musim ini. – KitaReporters
Pemain Korea, Lee Chang-hoon antara bintang import Sarawak United musim ini. - Kredit foto: Sarawak United.