Seni & Sukan 01 Dec, 2021

Video| Drama selepas JDT tewas! Sesak nafas, tak jadi bogel! Sanusi tabur garam di atas luka!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


"Dari Kedah ke Singapura

Singgah di KL membeli gula

Saya membawa berita gembira

JDT kalah lawan bola"


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala Malaysia

Kuala Lumpur City FC muncul juara Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan JDT 2-0 pada perlawanan akhir. - Kredit foto: MFL


Serangkap pantun yang disampaikan secara spontan dan bersahaja oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada satu majlis disambut tepukan serta sorakan oleh mereka yang hadir.

Sepintas lalu, pantun itu hanyalah sebuah usikan nakal Muhammad Sanusi yang mengundang ketawa tapi dari sudut lain, ia berunsur sinikal yang pasti menambahkan kepedihan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) ekoran kekalahan 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada final Piala Malaysia 2021.

JDT sekarang ibarat harimau yang sedang luka dan pantun Muhammad Sanusi itu pula boleh diumpamakan bagai garam yang ditabur di atas luka itu yang mana sudah pasti amat memedihkan.


Video Tiktok pantun Muhammad Sanusi yang mencuit hati penyokong bola sepak.


Rasanya, Muhammad Sanusi memang menunggu ‘bola tanggung’ untuk membuat libasan maut dalam siri berbalas ‘serangan’ melalui media sosial antara beliau dengan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kejayaan KL City pada perlawanan sedikit sebanyak turut memberi kepuasan dan kemenangan moral kepada Muhammad Sanusi walaupun beliau tidak ada kena mengena dengan pasukan warga kota itu.

Pantun Muhammad Sanusi itu adalah sebahagian daripada ragam yang mewarnai suasana selepas final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, 30 November, 2021.

Kejayaan KL City itu jelas memeriahkan sambutan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia. 

Memetik kata-kata bekas pemain kebangsaan, Ahmad Yusof menjelang perlawanan akhir itu, kalau JDT yang menang ia dianggap biasa tapi kalau KL juara pasti auranya lebih terasa.


Video kenyataan seorang penyokong yang mahu berbogel jika KL City kalahkan JDT turut tular.


Turut menarik perhatian peminat bola sepak adalah penularan video yang memaparkan kenyataan seorang yang didakwa penyokong JDT yang berkata sanggup berbogel dari Kuala Lumpur ke Johor jika KL City mengalahkan JDT!

Video berdurasi 33 saat dimuat naik melalui laman sosial TikTok yang menggunakan akaun @tintedoffer2 sebelum perlawanan JDT - KL City FC.

"Malam ini (Selasa, 30 November, 2021) Johor lawan KL. Ok bro macam ini bro, kalau KL boleh kalahkan Johor, aku bogel dari KL sampai Johor.

"Bogel tau. Aku bogel. Serius cakap punya. Bukan sembang. Tak pernah dalam sejarah KL boleh kalahkan Johor. Aku bogel dari KL sampai Johor," katanya.



Ekoran kekalahan JDT, netizen mula ‘memburu’ individu yang membuat kenyataan itu untuk menuntut agar dia menunaikan janjinya.

Tapi, individu berkenaan kemudian memuat naik sekeping gambar menunjukkan dia sedang menerima bantuan oksigen dengan menulis "minta maaf..tak jadi bogel KL ke Johor..saya ada sesak nafas."

Tidak pasti apakah pemuda itu benar-benar sesak nafas atau sekadar helah untuk melepaskan diri daripada terus dikecam peminat terutama penyokong KL City.

Ada juga yang mendakwa individu yang mengeluarkan kenyataan itu sebenarnya adalah penyokong KL City yang membuat troll kepada penyokong JDT. Walau bagaimanapun, ramai yang percaya, siapa pun dia, individu berkenaan sekadar berniat memeriahkan suasana perlawanan akhir.


Kenyataan penyokong JDT yang mahu pasukannya menjadikan KL City sebagai 'sayur' turut mendapat perhatian peminat bola sepak selepas kekalahan Harimau Selatan.


Sementara itu petikan temu bual sebuah media dengan seorang penyokong JDT turut ditularkan melalui laman sosial TikTok atas akaun @azroyhisyam. Antara lain penyokong itu dengan yakin meramalkan JDT akan muncul juara dan akan menjadikan KL City ‘sayur’.

Pada akhir temu bual itu, penyokong berkenaan berkata dia akan menggunakan cuti sempena kemenangan JDT untuk bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur sambil membawa bendera Johor.

Dalam pada itu, gambar baju yang dicetak dengan tulisan "Champions Malaysia Cup 2021' serta tertera bendera negeri Johor turut menjadi bahan bualan peminat.


Gambar baju dicetak dengan tulisan "Champions Malaysia Cup 2021' yang tertera bendera negeri Johor .


Gambar yang tertulis kapsyen "Awai print x kalut kan... kakaka" menjadi bahan gurauan serta bualan hangat netizen. Kebanyakan peminat menyelar pasukan JDT yang begitu yakin akan menjulang Piala Malaysia sehingga didakwa mencetak baju berkenaan lebih awal.

Sementara itu, seorang pengguna Twitter yang menggunakan akaun @khairizukfadhli sinis mentertawakan pasukan JDT selepas kekalahan itu.

Susulan itu, Tunku Ismail atau TMJ terus membalas sindiran berkenaan dengan mengatakan 'status' beliau tidak berubah walaupun gagal membawa pulang Piala Malaysia.

"Encik, esok pagi saya masih Tunku Mahkota Johor (TMJ), masih mempunyai wang, 18 piala dalam masa lapan tahun.

"Allah kurniakan saya dengan empat orang anak dan isteri, anda boleh ketawa hari ini atau sementara tetapi saya ketawa pada hari-hari berikutnya, Saya bersyukur kerana diberkati," katanya melalui Twitter.



Pemain-pemain KL City meraikan jaringan Zhafri Yahya pada minit ke-66. - Kredit foto: MFL


Rembatan Paulo Josue yang menghasilkan gol kedua KL City pada minit ke-74. - Kredit foto: MFL


Pada perlawanan akhir itu, KL City FC yang dianggap bukan pasukan pilihan mengejutkan barisan bintang JDT apabila meledak dua gol dalam tempoh lapan minit pada babak kedua untuk mengakhiri kemarau kejuaraan selama 32 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, Zhafri Yahya meletakkan KL City FC di depan pada minit ke-66 sebelum kapten pasukan, Paulo Josue mengukuhkan kedudukan pada minit ke-74 untuk mencipta malam gemilang buat skuad warga kota. - KitaReporters


Penyerang KL City, Romel Morales dikawal ketat oleh pertahanan JDT, Shane Lowry dalam aksi final Piala Malaysia 2021. - Kredit foto: MFL


Penyerang muda JDT, Arif Aiman Hanapi sentiasa dibayangi pemain pertahanan KL City, Muhammad Kamal Azizi Mohamad Zabri. - Kredit foto: MFL

11
14
0
23
0
You will be interested