Seni & Sukan 24 Sep, 2021

Video| Perlu Berani! Dolla mahu wanita berani berubah hadapi cabaran! Tidak sekadar jual rupa!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


KUMPULAN Dolla pasti tidak memerlukan lagi pengenalan apatah lagi baru-baru ini wajah mereka sudah terpampang pada papan iklan digital New York Times Square, menjadikan mereka  satu-satunya ‘band girl’ (kumpulan penyanyi wanita) dari Malaysia yang berjaya ke tahap itu.

Pendek kata, Dolla menjadi artis ketiga tanah air muncul di Billboard New York Times Square pada 20 September 2021 lalu selepas artis solo, Yuna dan bintang baharu, Layla Sania

Pada masa sama, Dolla turut dilantik sebagai antara duta Spotify Equal SGMY. Terdahulu, pada bulan Mei 2021 lalu, Dolla menerima penghargaan daripada Samsung apabila wajah mereka telah diabadikan sebagai lukisan mural yang terletak di Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Dolla



Hakikatnya, bakat dan keunikan yang dimiliki Wan Sabrina Wan Rusli (Sabronzo); Tabitha Ariel Lam (Tabby); Angelina Chai Ka Ying (Angel); dan Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya) sekali gus menepis tanggapan segelintir pihak yang melihat kemunculan mereka menganggotai Dolla tidak hanya sekadar ‘menjual’ rupa dan penampilan semata-mata. 

Siapa sangka, tanggapan itu meleset berdasarkan pencapaian yang diraih menerusi beberapa single yang dilancarkan selepas itu. 

Malah, single ‘Raya Raya Raya’ yang dilancarkan sempena sambutan Aidilfitri lalu menjadi siulan ramai selain trending dalamYouTube dan pelantar muzik digital.




Terbaharu, tidak mahu membiarkan peminat ternanti-nanti apa lagi kelainan yang bakal ditampilkan, Dolla muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul 'Berani'.

“Lagu 'Berani' ini ditujukan kepada wanita kerana kami mahu mengangkat martabat wanita itu menerusi semangat juang dengan bangkit melawan penindasan dan ketakutan. 

"Pada zaman ini, seseorang wanita sudah perlu keluar dari segala ketakutan dengan menggantikannya dengan berani dan menunjukkan kepada dunia bahawa dia tidak takut, dia berani dan berdikari. Wanita perlu berani,” ujar Sabronzo, 26, mewakili Dolla pada majlis sidang media secara maya yang berlangsung pada 23 September 2021.

Turut hadir Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim. 

Mendapat anggukan daripada rakan-rakan kumpulannya, Sabronzo menambah kata, tema yang ingin disampaikan dan diketengahkan menerusi lagu tersebut  adalah menaikkan semangat dan membangkitkan keberanian dalam diri seseorang wanita.


Kumpulan Dol, dari kiri: Angel, Syasya, Tabby dan Sabronzo pada sidang media secara maya pada 23 September 2021.


“Bukan apa, hari ini masih ramai wanita yang takut untuk berubah kerana berasakan diri mereka lemah. Disebabkan itu, wanita perlu sentiasa ada sokongan yang kuat dari orang sekeliling,” ujarnya.

Menujukan lagu ini khas buat peminat setia mereka yang sudah banyak memberikan sokongan dari awal pembabitan Dolla, ‘Berani' dicipta khas untuk mereka.

“Dolla menjadikan lagu 'Berani' ini sebagai lagu dedikasi buat seluruh peminat kami yang digelar iDolla yang  setia memberikan sokongan dan sentiasa berada bersama kami. 

“Itu sudah cukup memberikan motivasi dan inspirasi kepada kami untuk terus berjaya dan memberikan yang terbaik dalam bidang muzik ini.

“Jadi, harapan Dolla adalah semoga iDolla dan peminat muzik tempatan boleh menghargai dan ‘enjoy’ dengan lagu 'Berani' ini. Paling penting juga harapnya pendengar dapat menerima sisi lain Dolla dalam lagu ini,” sambung Sabronzo.

Mungkin peminat Dolla akan tertanya-tanya kenapa single kali ini berbeza dari segi susunan muziknya?

“Bagi saya, Dolla juga nak tunjukkan sisi lain yang selama ini ramai tidak tahu terutama dalam muzik ini. Paling penting, kami mahu buktikan Dolla juga versatil sebagai grup M-Pop,” sambung Tabby.



Berkongsi lanjut mengenai video muzik (MV) 'BeranI' yang diarahkan oleh Thaqif Saadon, Dolla memberitahu, terdapat beberapa faktor yang menjadikan MV ini lain daripada yang lain.

“Pertama adalah pengunaan medium animasi dalam mengambarkan Dolla dalam suatu alam yang berbeza. Dengan masa yang diberikan, kami sepenuh tenaga mengumpulkan segala kudrat untuk menghasilkan MV yang kami percaya akan mengangkat martabat MV berkonsepkan animasi kepada aras yang lebih tinggi,” ujar Syasya pula.

Dan menurut Angel, dari segi teknikal, mereka mengaplikasikan beberapa teknik baharu dalam membolehkan dan membuka kunci kepada apa yang ingin disampaikan daripada imaginasi mereka ke dalam bentuk visual. 

“Perkara itu adalah pengunaan Projeksi 2D ke atas bahan 3D membolehkan kami melakukan adegan dan juga animasi yang kami tidak boleh sebelum ini,” tambah Angel yang berharap penonton dapat menghurai dan inpretasikan diri mereka sendiri terhadap jalan cerita fantasi yang digambarkan.

Dalam perkembangan lain, majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Platinum dari Universal Music Malaysia kepada Dolla atas pencapaian single terdahulu, ‘Impikan’ yangg berjaya meraih lebih RM200,000 jualan strim dialam Malaysia. - KitaReporters

11
8
0
13
0
You will be interested