ADUN Tenang, Haslinda Salleh (empat dari kanan) menyerahkan kek sambutan Hari Guru kepada guru di salah sebuah sekolah di Parlimen Labis sempena sambutan Hari Guru tahun 2022.
Kek sambutan Hari Guru sebagai tanda penghargaan Haslinda Salleh (kanan) terhadap sumbangan guru dalam usaha melahirkan generasi berilmu.
GURU merupakan golongan yang telah memainkan peranan besar dalam usaha melahirkan tokoh ilmuwan serta pemimpin yang mampu membentuk serta menentukan hala tuju pembangunan negara selama ini.
Tanpa mengira apa juga ungkapan yang merujuk kepada golongan tersebut, guru atau cikgu mahu pun pendidik, kesemua mereka merupakan antara 'hero tidak didendang' yang bukan sedikit jasanya kepada negara.
Menyedari hakikat tersebut, Pusat Khidmat ADUN Tenang, bersama Pusat ADUN Bekok dan MCA Labis mengambil inisiatif menyantuni dan mengedar kek sambutan Hari Guru kepada warga pendidik di 42 buah sekolah di dalam kawasan Parlimen Labis sempena sambutan Hari Guru pada16 Mei 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Hari Guru
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh berkata, sekolah di Parlimen Labis yang dikunjungi sempena penyerahan kek sambutan Hari Guru terdiri daripada 12 buah sekolah kebangsaan (SK), sembilan sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan lima sekolah menengah.
"Antara lain tujuan penganjuran program ini adalah untuk menzahirkan penghargaan kepada golongan pendidik yang telah banyak mengorbankan tenaga, masa dan ada kalanya wang ringgit mereka sendiri dalam usaha mendidik serta melengkapkan generasi baharu hari ini dengan ilmu pengetahuan.
"Pada masa sama saya berharap usaha ini akan memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai dan menggangkat kerjaya perguruan kepada satu tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan selaras dengan peranan serta tanggngjawab yang telah dimainkan oleh mereka selama ini," katanya semasa menyantuni guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labis.
Katanya, sempena sambutan Hari Guru yang mengangkat tema Guru Tunjang Sekolah Sejahtera pada tahun ini diharapkan dapat mengikis sikap prejudis serta pandangan sinis terhadap guru dalam kalangan segelintir masyarakat disebabkan perbezaan pandangan mahu pun tindakan guru tidak selari dengan kehendak mereka.
Sementara itu, ADUN Bekok, Tan Chong berkata, selain sebagai penghargaan terhadap jasa guru, program tersebut juga merupakan kesempatan terbaik untuk masyarakat serta pemimpin mendekati dan memahami tanggungjawab serta cabaran yang dihadapi guru dalam mendepani pelajar di era globalisasi ketika ini.
Menurutnya, kemajuan teknologi dengan dasar 'langit terbuka' ketika ini menjadi cabaran terbesar kepada guru dalam usaha membentuk sahsiah diri pelajar berbanding guru-guru era terdahulu.
Oleh yang demikian, kerjasama mantap antara guru, masyarakat dan pemimpin setempat dalam segala aspek adalah perlu bagi menjamin agenda melahirkan generasi mampan dapat dilaksanakan.
Selain itu program seumpama ini juga merupakan salah satu kaedah terbaik yang mampu merintis jalan ke arah kerjasama tersebut dalam kalangan maayarakat.
Ketua MCA Labis, Datuk Chua Yee Yong (kiri) menyampaikan kek sambutan Hari Guru kepada guru salah sebuah sekolah SJKT Tamil di Parlimen Labis sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan peranan guru sempena sambutan Hari Guru.
Ketua MCA Labis, Datuk Chua Tee Yong yang juga mantan Ahli Parlimen Labis pula berkata, hubungan baik warga sekolah dengan masyarakat serta pemimpin mampu menjamin usaha untuk menjadikan sekolah sebagai gerbang ilmu dapat dijayakan.
"Dengan adanya program sebegini sedikit sebanyak akan memudahkan pihak pentadbiran sekolah menyampaikan sebarang masalah serta keperluan mereka kepada pemimpin sekali gus akan memudahkan usaha untuk menyalurkan sebarang bantuan kepada pihak sekolah.
"Saya harap usaha untuk mewujudkan hubungan baik antara masyarakat dan pemimpin dengan pihak sekolah selain dapat dijadikan satu budaya dalam kalangan anggota masyarakat di sini bagi memastikan institusi pendidikan ini dapat memainkan peranannya dengan sebaik mungkin dan mampu memberi manfaat kepada generasi muda," katanya. - KitaReporters
Haslinda Salleh (tujuh dari kanan) menyampaikan kek sambutan Hari Guru kepada pengetua SMK Labis.